Tuesday, August 16, 2011

xpukul

Berani mengaku kalau pukul

SHAH ALAM – Pegawai penyiasat kes pembunuhan jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya, Cif Inspektor N Govindan memberitahu Mahkamah Tinggi, beliau berani mengaku sekiranya memukul dua pekerja ladang, T Thilaiyalagan dan R Kathavarayan.

Govindan berkata, beliau tidak mempu-nyai sebarang masalah untuk berbuat demikian sekiranya dakwaan yang dibuat oleh mereka adalah benar.

“Saya tak pukul, tak acu pistol dan tak buat ugutan bunuh terhadap mereka,” katanya ketika memberi keterangan bicara dalam bicara berhubung pertikaian cara soal siasat dijalankan pasukan yang diketuainya, 11 hingga 14 September tahun lalu.

Soal siasat itu dilakukan terhadap Thilaiyalagan, R Matan, U Suresh, dan Kathavarayan berkaitan pencarian bukti kes pembunuhan, Sosilawati dan tiga individu lain.

Beliau berkata, soal siasat yang dijalankan ke atas mereka dilakukan setelah beliau dilantik sebagai pegawai penyiasat kes secara lisan pada 10 September kira-kira jam 5 petang.

“Saya telah lantik 13 anggota untuk bantu saya menyempurnakan siasatan yang dijalankan terhadap mereka,” katanya.

Ditanya Peguam Manjeet Singh Dhillon, adakah Govindan ada pengalaman khas atau latihan khusus untuk menjalankan soal siasat, beliau menjawab tiada sebarang kemahiran diperlukan.

Govindan kemudian diarah rujuk buku catatan lokap berhubung jadual keluar masuk banduan akibat percanggahan waktu pengambilan Thilaiyalagan, Matan, Suresh, dan Kathavarayan pada 11 September lalu.

Dalam buku catatan tersebut tercatat Suresh orang pertama dikeluarkan dari lokap Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak, diikuti Thilaiyalagan, Kathavarayan dan Matan.

Bagaimanapun, Govindan berkata, keterangan mengenai perkara itu adalah tepat dan muktamad.

“Saya tidak tahu siapa yang membawa keluar Suresh terlebih dahulu kerana dia (Suresh) bukan di bawah seliaan saya,” katanya.

Menyentuh isu salah seorang anggotanya, Sarjan N Thiagarajan yang memegang kepala Thilaiyalagan dengan kedua belah tangannya, Govindan berkata, tindakan yang dilakukan oleh anggotanya adalah atas permintaan pekerja ladang itu.

“Thilaiyalagan meminta mukanya ditutup supaya media tidak ambil gambarnya, selain atas dasar keselamatan,” katanya.

Pathmanabhan, 42, bekas peguam bersama tiga pekerja ladangnya, Thilaiyalagan, 20, Matan, 21, dan Kathavarayan, 31, didakwa membunuh Sosilawati, 47, pemandunya, Kamaruddin Shamsuddin, 47, peguam, Ahmad Kamil Abd. Karim, 32, dan pegawai CIMB, Noorhisham Mohammad, 38 antara jam 8.30 malam dan 9.45 malam, 30 Ogos tahun lalu.
Jawatan Kosong

No comments:

Post a Comment