Wednesday, August 3, 2011

dengar jeritan nampak api

Saksi dengar jeritan wanita, nampak api

N. PATHMANABHAN (depan) bersama tiga pekerja ladangnya hadir di Mahkamah Tinggi Shah Alam, semalam. - UTUSAN/MOHD NAIM AZIZ

SHAH ALAM 3 Ogos - Seorang pembantu rumah warganegara Indonesia memberitahu dia terdengar suara perempuan menjerit sebanyak dua kali pada pukul 9 malam semasa berada di Ladang Gadong, Banting dekat sini, pada hari Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga lagi dikatakan dibunuh.

Siti Hamidah Karnas, 18, semasa memberi keterangan di Mahkamah Tinggi di sini hari ini berkata, jeritan itu didengar semasa dia sedang menggiling tepung untuk membuat tosai di dalam rumah tertuduh keempat, R. Kathavarayan serta pekerja-pekerja lain yang terletak di dalam ladang tersebut.

Dia yang merupakan saksi pendakwaan ke-33 turut memberitahu ternampak api yang sedang marak setinggi pokok kelapa sawit berhampiran rumah yang diduduki oleh tertuduh kedua, T. Thilaiyalagan semasa keluar dari rumah pada pukul 1 pagi.

''Saya keluar untuk mengambil barang-barang di tempat karaoke. Barang-barang itu bersepah, saya nampak pisau, kunyit campur air, satu bateri telefon, tuala yang lembap kena air dan baju coklat. Baju biru Ravi (Kathavarayan) pakai.

''Sebelum saya masuk ke rumah itu, saya nampak Ravi dan empat pekerja ladang. Pathmanabhan (tertuduh pertama) tidak nampak. Saya juga nampak api besar di belakang dekat rumah Thilaiyalagan duduk. Api itu setinggi pokok sawit,'' jelas saksi tersebut.

Semasa ditanya Timbalan Pendakwa Raya, Idham Abd. Ghani sama ada saksi pernah menyaksikan pembakaran seumpama itu, Siti Hamidah berkata, dia pernah melihat api seperti itu semasa seorang lelaki bernama Raja dari India datang ke ladang itu.

Kata saksi, dia juga pernah melihat pembakaran sedemikian semasa kawan baik N. Pathmanabhan bernama Syafik datang ke ladang yang sama.

Sebelum sempat saksi menghabiskan jawapan, ia telah dibantah oleh peguam Manjeet Singh Dhillon atas alasan jawapannya tidak relevan kerana pertanyaan pihak pendakwaan adalah berhubung api yang pernah dilihat.

Semasa disoal sama ada dia nampak api ketika berada di dalam rumah pada 30 Ogos dan awal pagi 31 Ogos 2010, Siti Hamidah memberitahu, dia pernah nampak api marak seperti itu di Ladang Gadong sebanyak lima kali.

Dalam kes ini, bekas peguam, Pathmanabhan, 42; bersama tiga pekerja ladangnya, Thilaiyalagan, 20; R. Matan, 21; dan Kathavarayan, 31; didakwa membunuh Sosilawati, 47, pemandunya, Kamaruddin Shamsuddin, 47; peguam, Ahmad Kamil Abd. Karim, 32; dan pegawai Bank CIMB cawangan Kampung Baru, Noorhisham Mohamad, 38.

Kejadian didakwa berlaku di Lot No. 2001, Jalan Tanjung Layang, Tanjung Sepat, Banting dekat sini antara pukul 8.30 malam dan 9.45 malam, 30 Ogos tahun lalu.

Ditanya tentang rentetan peristiwa pada 30 Ogos 2010, Siti Hamidah menceritakan isteri Kathavarayan, Jacinta yang mendapat panggilan pada pukul 4 petang mengarahkan semua pekerja berada di dalam rumah pada pukul 5 petang.

Dia kemudiannya diarah mengambil dua bilah parang dan sebilah pisau yang terletak di atas almari di bilik Kathavarayan sebelum ternampak Pathmanabhan tiba di ladang dengan memandu kereta BMW warna kuning keemasan.

Kata saksi, dia juga melihat Kathavarayan memasukkan parang dan pisau ke tempat duduk belakang kereta pacuan empat roda jenis Isuzu Dmax dan berbincang sesuatu dengan Pathmanabhan sebelum kedua-duanya keluar menaiki kenderaan itu seperti dalam kecemasan.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Akhtar Tahir yang masuk hari ke-16 bersambung esok.
TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:

No comments:

Post a Comment