Bicara dalam perbicaraan tamat, hujah hari ini
N. PATHMANABHAN (depan, tiga dari kiri) bersama tiga pekerja ladangnya hadir pada perbicaraan kes pembunuhan ahli perniagaan Sosilawati Lawiya dan tiga rakannya di Mahkamah Tinggi Shah Alam, semalam.
SHAH ALAM 1 Ogos - Pihak pendakwaan hari ini mengakhiri prosiding bicara dalam perbicaraan (TWT) bagi menentukan sama ada rakaman percakapan pekerja ladang, U. Suresh kepada pihak polis boleh diterima sebagai bahan bukti selepas seorang pegawai penyiasat kes itu selesai memberi keterangan di Mahkamah Tinggi di sini.
Hakim Datuk Akhtar Tahir mengarahkan pihak-pihak terbabit berhujah esok selepas Timbalan Pendakwa Raya, Ishak Mohd. Yusoff memaklumkan pihaknya tidak berhasrat untuk memanggil saksi lain selepas Asisten Supritendan (ASP) Mohd. Ishak Yaakob selaku saksi keempat prosiding tersebut.
Terdahulu, peguam Gurbachan Singh memberitahu bahawa pihak pembelaan sepakat untuk tidak memanggil mana-mana saksi termasuk Suresh atas dakwaan pihaknya tiada kes untuk dijawab kerana pihak pendakwaan gagal membuktikan elemen bahawa Suresh yang memberikan isi kandungan kenyataan tersebut.
Pada prosiding hari ini, Hakim Akhtar turut membenarkan permohonan pihak pembelaan agar cakera padat (CD) yang mengandungi rakaman video sesi rakaman percakapan Suresh tidak diterima masuk sebagai bahan bukti dengan alasan ia tidak lengkap kerana audio yang kurang jelas.
Rakaman percakapan itu dibuat oleh Penyelia Jurugambar Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Alor Gajah, Melaka, Sarjan Abdul Hadi Ismail dengan menggunakan lima keping CD yang setiap satu mempunyai durasi antara 33 minit ke satu jam.
Dalam kes ini, bekas peguam, N. Pathmanabhan, 42; bersama tiga pekerja ladangnya, Thilaiyalagan, 20, Matan, 21, dan Kathavarayan, 31, didakwa membunuh jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya, 47; pemandunya, Kamaruddin Shamsuddin, 47; peguam, Ahmad Kamil Abd. Karim, 32; dan pegawai Bank CIMB cawangan Kampung Baru, Noorhisham Mohamad, 38.
Kejadian didakwa berlaku di Lot No. 2001, Jalan Tanjung Layang, Tanjung Sepat, Banting dekat sini antara pukul 8.30 malam dan 9.45 malam, 30 Ogos tahun lalu.
Mereka dibicarakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.
Sementara Suresh bersama seorang lagi pekerja ladang, K. Sarawanan dihukum penjara 20 tahun bagi kesalahan membakar kesemua mangsa dan membuang abu mayat mereka.
Dia yang merupakan saksi pendakwaan ke-29 dalam kes induk didakwa telah memberi 22 keterangan bercanggah dengan kenyataan yang dirakam di bawah Seksyen 112 Kanun Tatacara Jenayah pada 26 Oktober 2010.
Berikutan itu, pihak pendakwaan memohon untuk mencabar kebolehpercayaan saksi itu yang membawa kepada TWT selepas lelaki terbabit tidak mengakui isi kandungan kenyataan diberikan olehnya.
Terdahulu, Mohd. Ishak dalam keterangannya memberitahu, dia membuat rakaman percakapan kali kedua ke atas pekerja Ladang Gadong itu atas inisiatifnya sendiri terutama selepas mendengar bahawa pihak pendakwaan berhasrat untuk memanggil Suresh sebagai saksi.
Sementara itu, Koperal Kamaluddeen Abdul Kareem yang bertindak sebagai jurubahasa Tamil sewaktu rakaman percakapan dibuat memberitahu, dia mempunyai kelayakan sebagai penterjemah sejak 1999.
Dia juga telah menduduki ujian kelayakan di Mahkamah Kuala Lumpur dan turut menerima elaun bulanan sebagai jurubahasa Tamil.
TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:
No comments:
Post a Comment