Wednesday, August 10, 2011

lokasi

Hakim lawat lokasi kes Sosilawati

SHAH ALAM 10 Ogos - Selepas lawatan pertama ke beberapa lokasi di Banting pada 13 Julai lalu, pihak-pihak yang terlibat dalam perbicaraan kes bunuh Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga rakannya di Mahkamah Tinggi di sini hari ini sekali lagi membuat lawatan ke tempat kejadian.

Rombongan yang terdiri daripada Hakim Datuk Akhtar Tahir, pihak pendakwaan, barisan pembelaan,petugas media dan empat tertuduh dalam kes itu, N. Pathmanabhan, T. Thilaiyalagan, R. Matan dan R. Kathavarayan tiba di lokasi pertama, Jalan Sungai Arak, Kampung Kelanang, Banting pada pukul 10.15 pagi.

Tempat pembuangan sampah itu merupakan lokasi 14 batang sisa kayu yang dikatakan diguna untuk membakar mayat keempat-empat mangsa ditemui oleh pihak polis hasil maklumat daripada Thilaiyalagan.

Kawasan yang terletak di tepi ladang kelapa sawit dan sebuah anak sungai itu agak terpencil serta jauh dari kediaman selain boleh dihubungi melalui sebatang jalan yang memuatkan sebuah kenderaan sahaja.

Rombongan yang turut disertai oleh tujuh kereta peronda dan van polis serta dikawal oleh beberapa motosikal trafik itu tiba ke kawasan tempat letak kereta, Flat Angsana, USJ 1, Subang Jaya kira-kira sejam kemudian.

Ia merupakan lokasi kereta jenis BMW X5 hitam dengan nombor pendaftaran WTL 11 yang dinaiki Sosilawati dan pemandunya, Kamaruddin Shamsuddin ditemui pada 6 September tahun lalu.

Kehadiran rombongan itu telah menarik perhatian penduduk di flat berkenaan apabila mereka keluar beramai-ramai untuk melihat dan mengerumuni kawasan tersebut sehingga terpaksa diminta berundur oleh pihak polis.

Sebuah longkang berhampiran kawasan flat tersebut, iaitu tempat kunci kereta itu dikatakan ditemui turut dilawati.

Kawasan tempat letak kereta di Jalan SS12/1B, Subang Jaya yang dikatakan tempat kereta jenis BMW dengan nombor pendaftaran AAJ 5 milik peguam, Ahmad Kamil Abd. Karim ditemui menjadi lokasi terakhir lawatan hari ini.
TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:

No comments:

Post a Comment