4 lelaki buang barang dalam sungai
Oleh NOOR AZMAH IBRAHIM dan SUWARNI MOKHTAR
pengarang@utusan.com.my
SHAH ALAM 4 Ogos - Selepas memberi 23 fakta bercanggah dalam keterangan sebelum ini, pekerja ladang, U. Suresh hari ini tampil pula dengan cerita bahawa dia melihat seorang lelaki Indonesia dan tiga lelaki Melayu membuang barang-barang termasuk zink di beberapa lokasi sekitar Banting pada 4 September tahun lalu.
Semasa disoal balas oleh peguam Manjeet Singh Dhillon, Suresh juga memberitahu, lelaki Indonesia itu turut memberikannya dua telefon bimbit semasa berada di USJ 1, Subang Jaya yang kemudian dibuang di parit besar berhampiran Pasar Besar Banting.
Suresh, 27, yang merupakan saksi pendakwaan ke-29 berkata, dia berjumpa dengan empat lelaki itu yang mahu menyewa lorinya untuk membuang barang-barang kegunaan sembahyang, di pintu masuk sebuah kuil berhampiran Ladang Gadong antara pukul 7 dan 7.30 pagi.
Menurut Suresh yang sedang menjalani hukuman penjara 20 tahun bagi kesalahan melupuskan mayat jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga lagi, dia melihat kumpulan lelaki tersebut membuang satu karung putih dan beberapa barang lain di tiga batang sungai
‘‘Ketika di salah satu lokasi tersebut, Saya tidak nampak apa yang dibuang, semasa melihat cermin sisi, saya dengar bunyi zink dipijak,’’ cerita saksi.
Dalam kes ini, bekas peguam, N. Pathmanabhan, 42; bersama tiga pekerja ladangnya, T. Thilaiyalagan, 20; R. Matan, 21; dan R. Kathavarayan, 31; didakwa membunuh Sosilawati, 47, pemandunya, Kamaruddin Shamsuddin, 47; peguam, Ahmad Kamil Abd. Karim, 32; dan pegawai Bank CIMB cawangan Kampung Baru, Noorhisham Mohamad, 38.
Kejadian didakwa berlaku di Lot No. 2001, Jalan Tanjung Layang, Tanjung Sepat, Banting dekat sini antara pukul 8.30 malam dan 9.45 malam, 30 Ogos tahun lalu.
Dalam keterangannya, Suresh juga mendakwa wang sewa RM300 dibayar oleh seseorang yang menaiki kereta berwarna hitam yang dilihatnya semasa berada di Jalan Kelanang.
Dia kemudian menumpangkan lelaki Indonesia ke USJ 1, Subang Jaya semasa dalam perjalanan ke Puchong dan sebelum beredar, lelaki itu memberikan dua buah telefon bimbit kepadanya walaupun dia pada awalnya menolak pemberian tersebut.
Kedua-dua telefon bimbit itu bagaimanapun dibuang ke dalam sungai memandangkan barang-barang sembahyang juga dibuang di situ selepas Kathavarayan memarahinya serta menyuruh dia berbuat demikian.
Semasa diminta memberi penjelasan tentang percanggahan keterangannya dengan rakaman percakapan kepada polis oleh Hakim Datuk Akhtar Tahir, Suresh menafikan dia tinggal di Ladang Gadong dan hanya datang sekali-sekala apabila ada kerja.
Bagaimanapun dalam keterangannya pada 25 Julai lalu, Suresh mengakui tinggal dalam bilik kedua di sebuah rumah di ladang itu selama dua bulan sebelum ditangkap pada 9 September 2010.
Terdahulu, Hakim Akhtar membenarkan rakaman percakapan Suresh pada 26 Oktober tahun lalu digunakan untuk mencabar kredibiliti saksi itu dengan alasan ia dirakam mengikut keperluan Seksyen 112 dan 113 Kanun Tatacara Jenayah.
Beliau memutuskan demikian bagi bicara dalam perbicaraan (TWT) yang diadakan selepas Suresh tidak mengaku bahawa isi kandungan rakaman percakapan itu diberikan olehnya kepada pihak polis.
Bagaimanapun, permohonan pihak pendakwaan untuk mencabar kebolehpercayaan Suresh sama ada keterangannya di mahkamah akan ditolak atau sebaliknya akan diputuskan di akhir kes pendakwaan kelak.
Perbicaraan yang masuk hari ke-17 bersambung esok.
TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:
No comments:
Post a Comment