Friday, August 5, 2011

cap jari

Polis temui tiga kesan cap jari

SHAH ALAM 5 Ogos - Mahkamah Tinggi di sini hari ini diberitahu bahawa pasukan forensik polis menemui tiga cap jari pada kad Touch 'n Go dan pewangi di dalam kereta milik peguam, Ahmad Kamil Abd. Karim yang dibunuh bersama jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya dan dua yang lain.

Pegawai Turus Siasatan Tempat Kejadian (CSI) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, Deputi Supritendan (DSP) Sheikh Zainal Abidin Sheikh Omar berkata, calitan kapas turut dibuat ke atas stereng dan tombol gear kereta jenis BMW hitam dengan nombor pendaftaran AAJ 5 itu.

Menurut saksi pendakwaan ke-34 itu, bahan-bahan bukti tersebut ditemui semasa beliau dan pasukannya memeriksa kereta yang diletakkan di parkir Jalan SS12/1B, berhampiran Hotel Grand Dorsett, Subang Jaya pada pukul 10.55 malam, 6 September tahun lalu.

"Hasil pemeriksaan saya tandakan lapan bukti fizikal iaitu kereta itu sendiri, smart tag, iklan TM, kad Touch 'n Go, satu diari dari bonet kereta, calitan kapas pada stereng dan tombol gear bagi mengesan kehadiran asid deoksiribonukleik (DNA).

"Begitu juga akhbar The Sun bertarikh 30 Ogos 2010 di bahagian belakang kereta dan pewangi Lavender di sebelah pintu pemandu belah kanan. Kad Touch 'n Go ada dua kesan cap jari dan satu pada pewangi Lavender," jelas beliau.

Dalam kes ini, bekas peguam, N. Pathmanabhan, 42; bersama tiga pekerja ladangnya, T. Thilaiyalagan, 20; R. Matan, 21; dan R. Kathavarayan, 31; didakwa membunuh Sosilawati, 47, pemandunya, Kamaruddin Shamsuddin, 47; Ahmad Kamil, 32; dan pegawai Bank CIMB cawangan Kampung Baru, Noorhisham Mohamad, 38.

Kejadian didakwa berlaku di Lot No. 2001, Jalan Tanjung Layang, Tanjung Sepat, Banting dekat sini antara pukul 8.30 malam dan 9.45 malam, 30 Ogos tahun lalu.

Menurut Sheikh Zainal Abidin, kesemua bahan bukti itu dibungkus dan dimasukkan ke dalam sampul yang ditutup dengan cop forensik serta ditanda dengan nombor tag masing-masing sebelum diserahkan kepada pegawai penyiasat, Asisten Supritendan (ASP) Mohd. Ishak Yaakob.

Selain memeriksa kereta tersebut, beliau dan pasukannya turut membantu siasatan di sebuah sungai di Kampung Kelanang, Banting dekat sini pada 14 September tahun lalu.

"Saya nampak tiga anggota penyelam mencari sesuatu di dalam sungai dan mereka dapat keluarkan satu persatu zink dari sungai dan tiap-tiap satu diletakkan di tebing sungai sehingga jumlahnya enam keping.

"Saya arahkan seorang anggota saya membuat rajah kasar tempat itu manakala yang lain membantu saya menyusun zink dan membuat tandaan ke atas setiap keping zink," jelas beliau.

Sheikh Zainal Abidin memberitahu kesemua zink itu dibawa balik ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Langat, Banting dan diserahkan kepada Mohd. Ishak.

Semasa ditanya oleh peguam Manjeet Singh Dhillon yang mewakili Pathmanabhan berkali-kali tentang bahan-bahan yang terkandung di dalam kertas yang digunakan untuk membungkus zink, saksi tiba-tiba menjawab:

"Saya memang (ahli) forensik, tapi janganlah bertanya soalan yang tidak sepatutnya kepada saya."

Manjeet bagaimanapun masih berkeras dan menyoal bagaimana Sheikh Zainal Abidin mengetahui soalan tersebut tidak patut, sebelum peguam itu ditegur oleh Hakim Datuk Akhtar Tahir.

Terdahulu peguam itu juga mencadangkan kepada saksi agar pasukan forensik polis menonton siri televisyen popular CSI bagi memperbaiki mutu siasatan.

Saksi dan peguam itu bagaimanapun saling memohon maaf sebelum sesi pemeriksaan balas tersebut berakhir.

Perbicaraan yang masuk hari ke-18 bersambung Isnin ini.
TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:

No comments:

Post a Comment