Tertuduh sihat, beri kerjasama
SHAH ALAM 15 Ogos - Seorang pegawai polis memberitahu Mahkamah Tinggi di sini, hari ini bahawa tiga tertuduh yang didakwa membunuh Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga lagi berada dalam keadaan sihat, boleh berbual serta memberi kerjasama yang baik semasa disoal siasat pada September tahun lalu.
Pegawai soal siasat dari Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Cif Inspektor N. Govindan, 45, berkata, T. Thilaiyalagan, R. Matan dan R. Kathavarayan di temu bual di bilik soal siasat, Balai Polis Selayang pada 11 September secara berasingan.
Sementara soal siasat pada 12, 13 dan 14 September pula berlaku semasa mereka berada di tempat-tempat kejadian iaitu Ladang Gadong, Sungai Panchau, jabatan sungai Kampung Endah dan berhampiran sungai di ladang kelapa sawit, Kampung Kelanang, Banting.
‘‘Pada 11 September 2010, temu bual dijalankan ke atas mereka pada mulanya bagi kes pembunuhan berkaitan laporan polis Selayang, tetapi maklumat yang diberi berkaitan kes kehilangan empat orang (Sosilawati dan tiga lagi).
‘‘Semasa Kathavarayan ditemu bual, dia duduk di kerusi dalam keadaan bergari dan saya hanya bersama dia selama 50 minit. Kemudian saya temu bual Thilaiyalagan selama 20 minit sebelum pergi berjumpa suspek-suspek lain,’’ katanya.
Beliau berkata demikian semasa memberi keterangan pada prosiding bicara dalam perbicaraan (TWT) bagi mengetahui keadaan minda serta kemungkinan berlaku tekanan terhadap Thilaiyalagan dan Kathavarayan semasa disoal siasat sehingga membawa kepada penemuan barang-barang kes.
Menurut Govindan, beliau dan pasukannya menggunakan kaedah soal jawab yang mana suspek akan turut disoal semula berdasarkan jawapan diberikan oleh mereka.
Beliau juga menafikan berlaku sebarang kekerasan, paksaan atau penggunaan senjata semasa kesemua tertuduh disoal siasat, selain tidak pernah meminta Thilaiyalagan mengaku membunuh keempat-empat mangsa.
Di samping makanan dibekalkan untuk kesemua tertuduh termasuk semasa berada di tempat kejadian, beliau juga memberitahu bahawa Sarjan N. Thiagarajan memegang kepala Thilaiyalagan semasa berada di atas jambatan Sungai Kampung Endah atas permintaan tertuduh yang mahu mengelakkan wajahnya dirakamkan oleh media.
‘‘Kita sendiri tidak tahu dia buat atau tidak. Jadi sebab itu kita guna kaedah soal jawab. Semasa soal siasat tidak dibenarkan membawa senjata api. Saya memang dibekalkan senjata tetapi sudah lima atau enam tahun saya tidak pakai senjata api.
‘‘Segala tohmahan dalam laporan polis yang dibuat oleh Thilaiyalagan dan Kathavarayan juga tidak pernah berlaku. Semua tuduhan itu tidak berasas,’’ jelas beliau.
Dalam kes ini, N. Pathmanabhan, 42, bekas peguam serta, tiga pekerja ladangnya, Thilaiyalagan, 20; Matan, 21, dan Kathavarayan, 31, didakwa membunuh Sosilawati, 47; pemandunya, Kamaruddin Shamsuddin, 47; peguam, Ahmad Kamil Abd. Karim, 32, dan pegawai bank CIMB, Noorhisham Mohammad, 38.
Kejadian didakwa berlaku di Lot No. 2001, Jalan Tanjung Layang, Tanjung Sepat, Banting dekat sini antara pukul 8.30 malam dan 9.45 malam, 30 Ogos tahun lalu.
Terdahulu, Kathavarayan semasa memberi keterangan mengakui laporan polis yang dibuat pada 6 Julai lalu ditulis oleh peguamnya. Ravi Nekoo dengan isi kandungan diberikan olehnya.
Tertuduh keempat itu juga mengakui dalam laporan tersebut tidak menyebut dia dipukul selama satu setengah jam di Balai Polis Selayang walaupun dia memberitahu perkara itu dalam keterangannya di mahkamah.
Dia yang pada mulanya memberitahu tidak dapat mengecam kerana ramai yang memukulnya semasa di ladang, bagaimanapun mengatakan bahawa ramai yang berada di ladang dan bukan memukulnya semasa ditanya oleh Timbalan Pendakwa Raya, Saiful Edris Zainuddin.
Walaupun mendakwa Govindan mengugut untuk menembaknya sehingga mati, Kathavarayan mengaku pegawai polis itu tidak pernah menunjukkan pistol kepadanya.
Sementara itu, tertuduh kedua, Thilaiyalagan tidak berada di kandang tertuduh sepanjang prosiding hari ini selepas Hakim Datuk Akhtar Tahir membenarkan permohonannya untuk berada di lokap mahkamah.
Permohonan itu dibuat oleh lelaki itu kerana merasa amat sedih berikutan kematian bapanya akibat terjatuh di Ampang dekat sini, malam semalam.
Perbicaraan yang masuk hari ke-23 bersambung esok.
No comments:
Post a Comment