Wednesday, August 24, 2011

kekal 20

Pekerja ladang kekal dipenjara 20 tahun

PUTRAJAYA 24 Ogos - Hukuman penjara 20 tahun terhadap dua pekerja ladang atas kesalahan melupuskan mayat jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga individu lain, kekal selepas Mahkamah Rayuan hari ini menolak permohonan mereka bagi mendapatkan kebenaran merayu.

Panel tiga hakim diketuai oleh Datuk Ramly Ali memutuskan demikian selepas berpuas hati bahawa permohonan yang dikemukakan oleh K. Sarawanan, 20, dan U. Suresh, 27, gagal menepati kehendak Seksyen 50(2) Akta Mahkamah-Mahkamah Kehakiman.

Seksyen itu menghendaki pemohon mengemukakan persoalan undang-undang baru yang belum pernah diputuskan oleh mahkamah bagi membolehkan mereka layak mendapat kebenaran merayu.

Antara isu undang-undang yang diketengahkan pemohon ialah sama ada majistret telah memastikan pengakuan bersalah kedua-duanya dibuat mengikut peraturan serta penjelasan terperinci diberikan supaya mereka mengetahui sebab dan akibat pengakuan itu.

Keputusan sebulat suara tersebut turut dicapai oleh Datuk Syed Ahmad Helmy Syed Ahmad dan Datuk Mohamed Apandi Ali.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Ishak Mohd. Yusof berhujah agar permohonan itu ditolak kerana mereka telah mengaku bersalah di Mahkamah Majistret dan persoalan-persoalan yang dikemukakan itu pernah dihujahkan dan diputuskan sebelum ini.

Beliau berhujah, dalam kes terhadap kedua-duanya, Mahkamah Tinggi telah memastikan bahawa majistret berkenaan mematuhi peraturan yang ketat ketika merekodkan pengakuan bersalah pemohon-pemohon yang diyakini dibuat secara sukarela.

Menurut Ishak, pemohon-pemohon tidak pada bila-bila masa memfailkan rayuan terhadap pengakuan bersalah melainkan Mahkamah Tinggi yang menggunakan kuasa semakan untuk menyemak hukuman penjara itu.

Timbalan Pendakwa Raya, Saiful Edris Zainuddin turut menghujahkan, kebenaran merayu harus ditolak kerana Mahkamah Tinggi dalam keputusannya berpuas hati bahawa majistret itu telah merekodkan bahawa pertuduhan dibaca dan difahami serta diakui benar oleh pemohon-pemohon.

Sementara itu, peguam Datuk Harpal Singh Grewal berhujah, Mahkamah Tinggi tersilap arah ketika menimbang fakta kes dan kemudiannya menggunakan kuasa semakan dengan meminda hukuman penjara kepada 20 tahun.

Beliau menyatakan, kebenaran merayu harus diberikan bagi membolehkan penghakiman Mahkamah Tinggi itu diteliti sekali gus memberi peluang Mahkamah Rayuan memperbetulkannya.

Sarawanan dan Suresh memohon kebenaran merayu setelah tidak berpuas hati dengan keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 21 Februari lalu yang meminda hukuman mereka kepada 20 tahun.

Pada 15 Oktober tahun lalu, mereka dihukum penjara tujuh tahun oleh Mahkamah Majistret Telok Datok, Banting setelah mengaku bersalah atas keempat-empat tuduhan.

Bagi setiap tuduhan, mereka mengaku mengangkat, membakar dan membuang abu mayat Sosilawati, 47, pegawai bank Norhisham Mohammad, 38, peguam Ahmad Kamil Abdul Karim, 32, dan pemandu Sosilawati, Kamaruddin Shamsuddin, 44.

Majistret Hurmain Hussain menjatuhkan hukuman penjara tujuh tahun bagi setiap tuduhan serta diperintah berjalan serentak bermula tarikh tangkapan pada 9 September tahun lalu.

Bagaimanapun, Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Wira Mohtaruddin Baki meminda hukuman itu dan menjatuhkan hukuman penjara lima tahun bagi setiap tuduhan serta diperintah berjalan berasingan.

Sarawanan mengaku melakukan kesalahan itu di Lot 2001 Jalan Tanjung Layang Tanjung Sepat, Banting pada 30 Ogos tahun lalu manakala Suresh mengaku berbuat demikian di Sungai Panchau, Jalan Morib, Banting pada 31 Ogos tahun lalu.
TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:

No comments:

Post a Comment