Friday, August 19, 2011

tidak mengadu

Tiga tertuduh tidak buat aduan

Oleh NOOR AZMAH IBRAHIM
pengarang@utusan.com.my

SHAH ALAM 19 Ogos - Lima anggota polis mengesahkan bahawa tiga tertuduh yang didakwa membunuh Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga lagi tidak pernah mengadu dipukul atau meminta rawatan semasa mereka ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak pada September tahun lalu.

T. Thilaiyalagan, R. Matan dan R. Kathavarayan serta seorang lagi pekerja ladang, U. Suresh yang ditahan pada 9 September 2010 juga didakwa tidak mengadu tidak diberi makanan dan minuman semasa berada di lokap Balai Polis Selayang.

Timbalan Ketua Balai Polis Selayang, Sarjan Mejar Ranjit Singh dan tiga penyelia lokap balai tersebut, Koperal S. Yoganathan, Koperal Rizauzain Ishak, Koperal Azhar Yaakop serta Koperal Amir Abdullah memberitahu perkara itu semasa memberi keterangan di Mahkamah Tinggi di sini hari ini.

"Semasa lalu dari sel ke sel, tidak ada sebarang aduan. Saya tidak bertanya. Pandang mata kasar pun sudah tahu tahanan ada masalah atau tidak. Kalau ada yang sakit, mereka akan mengadu,'' kata Ranjit yang melawat sel tahanan pada 11 September tahun lalu.

Sementara Yoganathan memaklumkan keadaan fizikal keempat-empat tahanan itu adalah baik semasa mereka dibawa ke lokap balai itu serta tidak mengadu mengalami sebarang kecederaan.

Amir memberitahu, antara makanan yang dibekalkan kepada tahanan yang tercatat di dalam diari lokap seperti nasi putih, dalca kacang panjang, telur rebus, roti bakar dan air sirap.

Beliau turut memaklumkan, makanan biasanya dipesan melebihi jumlah tahanan bagi menghadapi kemungkinan akan ada tahanan baharu yang dihantar selain mereka boleh meminta makanan tambahan sekiranya juadah yang diberi tidak mencukupi.

Sebagaimana yang lain, Rizauzain memberitahu, beliau tidak menerima sebarang aduan daripada tahanan termasuk tertuduh tentang mereka tidak diberi makan semasa bertugas pada 14 September 2010.

Katanya, ketika mereka dibawa keluar, beliau tidak nampak sebarang kecederaan walaupun tidak melakukan pemeriksaan fizikal.

"Saya ada bertanya, tetapi keempat-empat tahanan itu tidak mengadu apa-apa.

"Saya hadir semasa dua daripada mereka diambil untuk dipindahkan ke lokap lain. Hasil pemeriksaan, tiada apa-apa kecederaan,'' kata Azhar.

Mereka berkata demikian semasa memberi keterangan sebagai saksi pihak pendakwaan dalam prosiding bicara dalam perbicaraan (TWT) bagi mengetahui keadaan minda serta kemungkinan berlaku tekanan terhadap Thilaiyalagan dan Kathavarayan sewaktu disoal siasat sehingga membawa kepada penemuan barang-barang kes.

Prosiding tersebut berakhir hari ini selepas saksi terakhir iaitu saksi ke-19 selesai memberi keterangan.

Hakim Akhtar Tahir kemudian memerintahkan pihak pendakwaan dan pembelaan memfailkan hujahan masing-masing selewat-lewatnya pada 27 Ogos ini.

Dalam kes ini, bekas peguam, N. Pathmanabhan, 42, bersama tiga pekerja ladangnya, Thilaiyalagan, 20, Matan, 21, dan Kathavarayan, 31, didakwa membunuh Sosilawati, 47, pemandunya, Kamaruddin Shamsuddin, 47, peguam, Ahmad Kamil Abd. Karim, 32, dan pegawai bank CIMB, Noorhisham Mohammad, 38.

Kejadian didakwa berlaku di Lot No. 2001, Jalan Tanjung Layang, Tanjung Sepat, Banting dekat sini antara pukul 8.30 malam dan 9.45 malam, 30 Ogos tahun lalu.

Sementara itu, Hakim Akhtar turut memerintahkan pengarang Utusan Malaysia bersama-sama wartawan serta penerbit Buletin Utama TV3 hadir di mahkamah pada minggu depan.

Ia bertujuan memberi penjelasan berhubung penyiaran berita bertajuk 'Manjeet selalu burukkan kerajaan' yang dikatakan bersifat subjudis (kacau ganggu kes-kes yang belum selesai) terhadap perbicaraan tersebut.

Manjeet Singh Dhillon ialah peguam kepada Pathmanabhan yang mengetuai barisan pembelaan.

Perbicaraan yang masuk hari ke-26 bersambung Isnin ini.
TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:

No comments:

Post a Comment