Thursday, August 18, 2011

asing lokap

Pindah tertuduh ke lokap berasingan

Oleh NOOR AZMAH IBRAHIM
pengarang@utusan.com.my

SHAH ALAM 18 Ogos – Seorang pegawai polis memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini, bahawa beliau terpaksa menghantar dua daripada empat tertuduh yang didakwa membunuh Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga lagi, ke dua lokap berasingan pada 11 September tahun lalu atas sebab-sebab keselamatan.

Asisten Supritendan M. Mariapan berkata, T. Thilaiyalagan dipindahkan ke lokap Balai Polis Kuang, R. Matan pula ke lokap Balai Polis Kundang manakala R. Kathavarayan manakala seorang lagi pekerja ladang, U. Suresh kekal di lokap Balai Polis Selayang.

‘‘Saya dimaklumkan terdapat lima suspek bagi kes berprofil tinggi. Ia juga ada isu perkauman kerana yang dibunuh adalah Datuk Sosilawati. Di dalam lokap pula ada ramai tahanan Melayu.

‘‘Jadi saya tidak mahu berlaku apa-apa yang tidak diingini kepada Thilaiyalagan dan Matan, Kebetulan lokap Balai Polis Selayang pun sudah sesak,’’ jelas beliau yang ketika itu merupakan Timbalan Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Bahagian Gombak.

Beliau berkata demikian semasa memberi keterangan pada prosiding bicara dalam perbicaraan (TWT) bagi mengetahui keadaan minda serta kemungkinan berlaku tekanan terhadap Thilaiyalagan dan Kathavarayan semasa disoal siasat sehingga membawa kepada penemuan barang-barang kes.

Mariapan yang kini merupakan Pegawai Pentadbir di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor turut mengakui tersilap apabila memberitahu K. Sarawanan turut ditahan di lokap Balai Polis Selayang sedangkan mekanik itu masih belum ditangkap pada tarikh tersebut.

Dalam kes ini, bekas peguam, N. Pathmanabhan, 42, bersama tiga pekerja ladangnya, Thilaiyalagan, 20, Matan, 21, dan Kathavarayan, 31, didakwa membunuh Sosilawati, 47, pemandunya, Kamaruddin Shamsuddin, 47, peguam, Ahmad Kamil Abd. Karim, 32, dan pegawai bank CIMB, Noorhisham Mohammad, 38.

Kejadian didakwa berlaku di Lot No. 2001, Jalan Tanjung Layang, Tanjung Sepat, Banting dekat sini antara pukul 8.30 malam dan 9.45 malam, 30 Ogos tahun lalu.

Sementara itu, Koperal Detektif B. Janagaran yang bertanggungjawab menjaga keselamatan Thilayalagan pula memberitahu, dia bertindak memegang kolar baju tertuduh kedua itu semasa dibawa ke tempat kejadian, juga atas sebab-sebab keselamatan.

Katanya, pada ketika itu tertuduh mungkin akan mengambil kesempatan untuk melarikan diri atau dia sendiri diserang oleh orang awam yang berada berhampiran kawasan tersebut.

‘‘Itu adalah prosedur apabila suspek dibawa keluar. Walaupun Thilaiyalagan dalam keadaan bergari, ia tidak semestinya selamat,’’ katanya.

Terdahulu, peguam yang mewakili Pathmanabhan, Manjeet Singh Dhillon memohon agar wartawan dan pengarang akbar Utusan Malaysia diperintah hadir ke mahkamah berhubung penyiaran artikel bertajuk ‘Manjeet selalu burukkan kerajaan’ yang disiarkan oleh akhbar itu semalam.

Menurut Manjeet, artikel yang memuatkan komen Ahli Parlimen Padang Serai, N. Gobalakrishnan itu telah menuduh beliau dan pasukan pembelaan sebagai alat kepada pembangkang.

Beliau yang turut menyerahkan salinan artikel tersebut kepada mahkamah juga memaklumkan diberitahu bahawa TV3 menyiarkan berita yang sama dan akan berusaha untuk mendapatkan klip berita tersebut.

‘‘Apa yang ditulis oleh Utusan Malaysia adalah satu pembohongan. Ia menunjukkan seolah-olah pasukan pembelaan adalah alat kepada pembangkang. Apa yang dilakukan itu mempunyai motif tersembunyi.

‘‘Yang Arif patut abaikannya. Saya tidak kenal lelaki itu (Gobalakrishnan) dan saya tidak pernah berjumpa dengannya,’’ jelas beliau.

Selepas membaca artikel tersebut, Hakim Datuk Akhtar Tahir menyifatkan ia sebagai serangan peribadi terhadap pasukan pembelaan dan mahkamah itu sendiri.

Beliau kemudiannya mengarahkan pemberita dan pengarangnya hadir ke mahkamah bagi memberi penjelasan berhubung penyiaran artikel tersebut.

‘‘Ia tidak patut disiarkan. Lebih-lebih lagi perbicaraan sedang berjalan. Ia adalah penyalahgunaan prosiding yang membawa pada kesalahan menghina mahkamah.

‘‘Saya harap pemberita-pemberita yang berada di sini akan mengambil perhatian dan sampaikan kepada ketua masing-masing bahawa tiada sebarang komen seperti itu boleh dibuat,’’ katanya.

Perbicaraan yang masuk hari ke-25 bersambung esok.
TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:

No comments:

Post a Comment