Thursday, August 11, 2011

hina mahkamah

Mohon dikenakan tindakan hina mahkamah

SHAH ALAM 11 Ogos - Selepas cuba mengenakan tindakan menghina mahkamah terhadap wartawan New Straits Times berhubung penyiaran berita bertajuk victims' bones found in river pada Julai lalu, pihak pembelaan hari ini membuat permohonan yang sama terhadap pihak pendakwaan pula.

Peguam Manjeet Singh Dhillon yang mewakili tertuduh pertama, N. Pathmanabhan memohon pihak pendakwaan dikenakan tindakan itu kerana mendakwa saksi mereka sendiri, U. Suresh atas tuduhan memberi keterangan palsu sewaktu perbicaraan yang masih berjalan.

Sebaik sahaja prosiding bermula di Mahkamah Tinggi di sini hari ini, peguam itu memaklumkan saksi pendakwaan ke-29 itu telah didakwa atas kesalahan memberi keterangan palsu mengikut Seksyen 193 Kanun Keseksaan di Mahkamah Sesyen di sini, semalam.

Beliau mempersoalkan tindakan itu memandangkan Suresh mungkin dipanggil sekali lagi untuk memberi keterangan selain permohonan pihak pendakwaan untuk mencabar kebolehpercayaan saksi itu masih belum diputuskan.

"Adakah ini cubaan secara langsung atau tidak langsung pihak pendakwaan untuk memberi amaran kepada saksi agar memberi keterangan mengikut apa yang mereka mahu,'' kata beliau.

Permohonan itu turut disokong oleh peguam-peguam, Gurbachan Singh, Amer Hamzah Arshad dan Ravi Nekoo yang mewakili tiga tertuduh, T. Thilaiyalagan, R. Matan dan R. Kathavarayan.

Timbalan Pendakwa Raya, Saiful Edris Zainuddin yang turut hadir pada prosiding semalam pula berkata, keputusan sama ada mahkamah menerima permohonan untuk mencabar kebolehpercayaan Suresh bukan syarat untuk membolehkan lelaki itu didakwa memberi keterangan palsu.

Beliau juga mengingatkan bahawa Suresh adalah saksi pendakwaan dan dia dengan jelas memberi 22 fakta yang bercanggah pada keterangannya dalam perbicaraan kes bunuh jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga lagi pada akhir Julai lalu.

Hakim Datuk Akhtar Tahir kemudiannya mengarahkan pihak pendakwaan dan pembelaan berhujah berhubung permohonan itu dengan memberi tumpuan kepada isu sama ada pertuduhan terhadap Suresh dibuat pada masa yang sesuai atau sebaliknya.

Pertuduhan terhadap Suresh yang merupakan pekerja di Ladang Gadong semalam dikendalikan oleh Timbalan-Timbalan Pendakwa Raya, Idham Abd. Ghani dan Nur Azimul Azami Mohamad Nor.

Pathmanabhan, 42, bekas peguam bersama tiga pekerja ladangnya, Thilaiyalagan, 20, Matan, 21, dan Kathavarayan, 31, didakwa membunuh Sosilawati, 47, pemandunya, Kamaruddin Shamsuddin, 47, peguam, Ahmad Kamil Abd. Karim, 32, dan pegawai bank CIMB, Noorhisham Mohammad, 38.

Kejadian didakwa berlaku di Lot No. 2001, Jalan Tanjung Layang, Tanjung Sepat, Banting dekat sini antara pukul 8.30 malam dan 9.45 malam, 30 Ogos tahun lalu.

Sementara itu, pegawai perubatan di Penjara Sungai Buloh, Dr. P. Paramanathan, 67, mengesahkan bahawa Kathavarayan mengadu sakit pada tapak kaki kiri, pinggul kiri dan dada manakala Thilaiyalagan pula sakit pada bahagian pinggul kiri dan sakit belakang akibat dipukul oleh pihak polis ketika diperiksa pada 14 Oktober 2010.

Saksi keempat untuk prosiding bicara dalam perbicaraan (TWT) bagi menentukan keadaan minda kedua-dua tertuduh itu semasa disoal pihak polis sehingga membawa kepada penemuan barang-barang kes bagaimanapun memberitahu beliau tidak nampak sebarang kesan kecederaan pada mereka berdua.

Sementara itu, Kathavarayan yang memberi keterangan dalam prosiding sama pula mendakwa ditampar, ditarik rambut, ditumbuk pada bahu dan tengkuk, ditendang serta dipukul dengan getah paip pada bahagian tapak kaki semasa berada dalam tahanan polis pada September tahun lalu.

Dia juga mendakwa rambutnya dipotong oleh anggota polis semasa dalam perjalanan pulang dari Banting ke lokap Balai Polis Selayang.

Turut memberi keterangan sebagai saksi dalam TWT ini ialah Ravi, Ketua Balai Polis Selayang, Cif Inspektor Nordin Misban, Pendaftar Mahkamah Tinggi Sivil Kuala Lumpur, Ahmad Shakib Ismail dan jurugambar Utusan, Sharuddin Abdullah.

Perbicaraan yang masuk hari ke-22 bersambung Isnin ini.
TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:

No comments:

Post a Comment