
Suresh perlu buktikan dipukul, dipaksa beri kenyataan
SURESH (kanan) ketika bawa ke Mahkamah Tinggi Shah Alam semasa perbicaraan kes pembunuhan Sosilawati Lawiya dan tiga rakannya, semalam.
SHAH ALAM 2 Ogos - Pekerja ladang, U. Suresh yang mendakwa dipukul dan dipaksa semasa memberi kenyataan kepada pihak polis pada 26 Oktober tahun lalu mempunyai beban untuk membuktikan dakwaan tersebut pada bicara dalam perbicaraan (TWT) di Mahkamah Tinggi di sini.
Timbalan Pendakwa Raya, Ishak Mohd. Yusoff berhujah, Suresh yang merupakan saksi pendakwaan ke-29 dalam perbicaraan kes bunuh Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga lagi juga juga perlu membuktikan bahawa isi kandungan kenyataan itu tidak diberikan olehnya.
''Bicara dalam perbicaraan ini untuk membuktikan bahawa Suresh yang membuat kenyataan tersebut dan dia bukan tertuduh dalam kes ini.
''Jadi Suresh yang perlu meyakinkan mahkamah, dia tidak memberikan kenyataan tersebut lebih-lebih lagi dari awal dia mengaku menurunkan tandatangan pada kenyataan itu,'' katanya.
Beliau juga berhujah bahawa soalan yang memimpin atau soalan yang mempunyai jawapan juga tidak dilarang diberi kepada saksi semasa kenyataannya dirakam.
Selain itu, jelas Ishak, adalah mustahil untuk seseorang pegawai perakam mahupun penterjemah langsung tidak mengetahui tentang latar belakang kes sedangkan kisah pembunuhan Sosilawati disiar secara meluas di semua media.
Dalam kes ini, bekas peguam, N. Pathmanabhan, 42; bersama tiga pekerja ladangnya, T. Thilaiyalagan, 20; R. Matan, 21; dan R. Kathavarayan, 31; didakwa membunuh jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya, 47; pemandunya, Kamaruddin Shamsuddin, 47; peguam, Ahmad Kamil Abd. Karim, 32; dan pegawai Bank CIMB cawangan Kampung Baru, Noorhisham Mohamad, 38.
Kejadian didakwa berlaku di Lot No. 2001, Jalan Tanjung Layang, Tanjung Sepat, Banting dekat sini antara pukul 8.30 malam dan 9.45 malam, 30 Ogos tahun lalu.
Mereka dibicarakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman mati mandatori.
Sementara Suresh bersama seorang mekanik, K. Sarawanan pula dihukum penjara 20 tahun oleh Mahkamah Tinggi di sini bagi kesalahan melupuskan mayat keempat-empat mangsa.
Suresh telah memberi keterangan bercanggah di mahkamah pada 27 Julai lalu dengan kenyataan yang dirakam di bawah Seksyen 112 Kanun Tatacara Jenayah pada 26 Oktober tahun lalu.
Berikutan itu, pihak pendakwaan memohon untuk mencabar kebolehpercayaan Suresh yang membawa kepada TWT selepas lelaki itu tidak mengakui isi kandungan kenyataan yang diberikan olehnya.
Sementara itu, peguam Manjeet Singh Dhillon yang mewakili Pathmanabhan pula berhujah bahawa kenyataan Suresh itu tidak boleh diterima sebagai bahan bukti atas alasan proses rakaman tidak dilakukan dengan sempurna.
Menurut beliau, kemungkinan isi kandungan kenyataan itu telah diganggu berikutan penggunaan komputer riba serta pemacu simpanan data mudah alih (USB Pen Drive) oleh pegawai perakam, Asisten Supritendan (ASP) Ong Seng Keong yang tidak langsung diperiksa oleh pegawai penyiasat kes.
Begitu juga masalah kenyataan tersebut yang langsung tidak ditulis tangan oleh Seng Keong selain penggunaan pencetak untuk mencetak kenyataan tersebut yang tidak mempunyai sijil atau pengesahan.
Peguam Gurbachan Singh yang mewakili Matan pula berhujah bahawa terdapat keterangan bercanggah oleh Seng Keong apabila beliau mengatakan amaran dibaca tetapi tiada catatan dalam kenyataan tersebut.
Katanya, pegawai perakam itu juga gagal membacakan semula isi kandungan kenyataan yang dirakam untuk dibetulkan oleh Suresh sekiranya terdapat kesilapan sebagaimana yang tercatat pada bahagian tempat lahir saksi tersebut.
Selepas pihak-pihak selesai berhujah, Hakim Datuk Akhtar Tahir memaklumkan, beliau memerlukan sedikit masa untuk memutuskan sama ada kenyataan Suresh akan diterima sebagai bahan bukti atau sebaliknya.
Beliau turut mengarahkan prosiding TWT bagi memastikan cara tertuduh-tertuduh disoal sehingga membawa kepada penemuan bahan-bahan bukti di beberapa lokasi di Banting didengar mulai esok.
Pada prosiding hari ini, Hakim Akhtar turut menolak permohonan untuk mengemukakan buku catatan pegawai soal siasat Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Cif Inspektor N. Govindan sebagai bahan bukti.
Perbicaraan yang masuk hari ke-15 bersambung esok.
TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:
No comments:
Post a Comment