Thursday, August 25, 2011

arah turun tandatangan


Dua peguam diarah tandatangan tanpa kehadiran Sosilawati

TERTUDUH kes pembunuhan Sosilawati Lawiya, N. Pathmanabhan bersama tiga tertuduh lain diiringi polis keluar dari Mahkamah Tinggi Shah Alam, semalam. - UTUSAN/Saharuddin Abdullah

SHAH ALAM 25 Ogos - Dua peguam yang pernah bekerja dengan N. Pathmanabhan memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini bahawa mereka menurunkan tandatangan sebagai saksi terhadap dua dokumen perjanjian jual beli tanah antara Datuk Sosilawati Lawiya dengan individu lain pada Ogos tahun lalu tanpa kehadiran kedua-dua pihak.

Kam Sani, 38, dan Nor Zairawaty Abd. Razak, 31, yang masing-masing meninggalkan Pathma Nalli & Partners pada November dan September tahun lalu selepas firma guaman itu disita turut mengakui perbuatan tersebut menyalahi undang-undang.

Kedua-duanya bagaimanapun mendakwa terpaksa berbuat demikian selepas diarahkan oleh Pathmanabhan yang merupakan pemilik firma guaman tersebut dan majikan mereka.

Kam yang juga saksi pendakwaan ke-39 memberitahu dia diarahkan menjadi saksi bagi perjanjian jual beli hartanah di Pulau Pinang antara Southern Symphony Sdn. Bhd. (Southern Symphony) yang diwakili Sosilawati sebagai pengarah dengan satu pihak lain pada 3 Ogos 2010.

"Sebagai peguam, saya tahu tidak boleh tandatangan tanpa kehadiran pihak-pihak terbabit, tetapi saya terpaksa lakukan sebab majikan saya, Pathmanabhan arahkan saya.

"Saya ada bertanya adakah itu tandatangan Sosilawati, Pathmanabhan berkata ya, semuanya teratur dan tidak perlu risau. Masa tu dokumen belum dimatikan setem, tarikh pun belum ada," jelas beliau.

Dalam kes ini, Pathmanabhan, 42, bekas peguam bersama tiga pekerja ladangnya, Thilaiyalagan, 20, Matan, 21, dan Kathavarayan, 31, didakwa membunuh Sosilawati, 47, pemandunya, Kamaruddin Shamsuddin, 47, peguam, Ahmad Kamil Abd. Karim, 32, dan pegawai bank CIMB, Noorhisham Mohammad, 38.

Kejadian didakwa berlaku di Lot No. 2001, Jalan Tanjung Layang, Tanjung Sepat, Banting dekat sini antara pukul 8.30 malam hingga 9.45 malam, 30 Ogos tahun lalu.

Menurut Kam, walaupun namanya dipinjamkan sebagai rakan kongsi Pathmanabhan dan bertanggungjawab menandatangani cek apabila lesen guaman lelaki itu digantung, dia tidak mendapat sebarang kelebihan atau bayaran, sebaliknya hanya diberi gaji tetap sebagai peguam di firma itu.

Pada prosiding hari ini, dia turut mengecam Thilaiyalagan, Matan dan Kathavarayan sebagai individu yang pernah datang ke pejabat firma guaman Pathmanabhan yang lama di Jalan Sultan Abdul Samad, Banting untuk memindahkan barang-barang ke pejabat baharu di Jalan Kemboja.

"Saya kenal Kathavarayan sebab pernah mewakilinya di Mahkamah Majistret bagi kes di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan (kes ugut). Dalam tahun 2008 saya selalu jumpa dia berhubung kes itu.

"Walaupun kes itu sudah selesai selepas dia dilepas tanpa dibebaskan, Kathavayaran kerap datang ke pejabat. Saya mendapat tahu dia bekerja dengan Pathmanabhan sebagai pembantu," jelasnya.

Suri rumah itu turut memberitahu, Pathmanabhan pernah memaklumkan kepadanya yang dia ada membeli sebuah ladang di Tanjung Sepat, Banting.

Sementara itu, Nor Zairawaty pula memberitahu diarah menandatangani dokumen perjanjian jual beli hartanah antara syarikat Southern Symphony dengan Ample Quality Sdn. Bhd. pada pukul 11 pagi, 20 Ogos 2010.

Semasa disoal oleh Timbalan Pendakwa Raya, Idham Abdul Ghani sama ada boleh atau tidak dia menurunkan tandatangan sekiranya diarahkan berbuat demikian, saksi memberitahu:

"Pathmanabhan ada di sebelah saya dan suruh saya tandatangan. Saya boleh kata tak nak, tetapi dia majikan saya."

Sebagaimana Kam, Nor Zairawaty juga pernah melihat Sosilawati datang ke pejabat Pathmanabhan atas urusan jual beli hartanah pada 2008 selain diarah ke mahkamah di Pulau Pinang pada 14 Ogos tahun lalu untuk menarik balik kayveat ke atas tanah yang dibeli jutawan kosmetik itu daripada seorang lelaki India.

Menjawab soalan peguam Manjeet Singh Dhillon, saksi itu mengesahkan Datuk Abdul Rahman Palil pernah datang ke pejabat baharu dan lama firma guaman itu atas urusan hartanah tetapi tidak mengetahui Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sementa itu ialah pengarah Ample Quality.

Semasa disoal oleh Hakim Datuk Akhtar Tahir pula, saksi mengesahkan tidak melihat geran tanah berkaitan semasa menandatangani perjanjian jual beli tersebut.

Perbicaraan yang masuk hari ke-27 bersambung esok.

No comments:

Post a Comment