Monday, August 8, 2011

dera


Tertuduh dakwa didera, rasa nak gila

KIRI:T. Thilaiyalagan, KANAN: R. Matan

SHAH ALAM 8 Ogos - Pekerja ladang, T. Thilaiyalagan hari ini mendakwa dia hampir gila apabila dipaksa dan diugut akan ditembak dengan pistol semasa disoal siasat ketika dalam tahanan reman pada 11 September tahun lalu.

Tertuduh kedua yang didakwa membunuh jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga lagi itu memberitahu, dia juga merasa tertekan apabila turut disepak, ditampar dan ditendang berkali-kali pada kemaluannya pada hari yang sama.

Dia memberi keterangan sedemikian di Mahkamah Tinggi di sini sebagai saksi pertama bagi prosiding bicara dalam perbicaraan (TWT) untuk mengetahui keadaan minda serta kemungkinan berlaku tekanan terhadap dirinya semasa disoal siasat sehingga membawa kepada penemuan barang-barang kes.

''Saya diugut, dipaksa, dipukul dan diseksa dengan ditampar, ditendang di dada dan dipukul pada kemaluan. Saya merasa takut dan tertekan apabila disuruh mengikut kata-kata Tuan Govindan (Cif Inspektor N. Govindan), kalau tidak saya kena tembak.

''Saya rasa nak jadi gila. Pada 14 September, saya masih merasa takut tetapi saya mula merasa lega. Saya tidak lagi berasa seperti nak gila, cuma rasa takut saja,'' kata tertuduh semasa disoal oleh peguam Amer Hamzah Arshad.

Timbalan Pendakwa Raya, Saiful Edris Zainuddin semasa menyoal balas pula mencadangkan sekiranya tertuduh ditendang berkali-kali di kemaluan, pastinya dia dimasukkan ke hospital dan tidak mungkin ke tempat-tempat kejadian untuk mencari bahan bukti dalam keadaan sihat sebagaimana foto yang dipaparkan pada keesokan hari.

Walaupun mendakwa diugut dan dipukul dengan begitu teruk pada September tahun lalu, Thilaiyalagan, 20, mengaku dia hanya membuat laporan polis pada 6 April dan 6 Julai lalu, itupun selepas dinasihatkan oleh peguam untuk berbuat demikian seperti yang tercatat dalam laporan tersebut.

Dia juga mengaku keterangannya tentang perkataan babi yang kononnya digunakan oleh pihak polis terhadapnya serta cerita dia ditendang di dada sehingga lebam, dipukul dengan rotan dan getah paip tidak terdapat dalam laporan polis yang dibuatnya.

Meskipun mengesahkan tidak fasih berbahasa Melayu serta memerlukan jurubahasa Tamil semasa memberi keterangan hari ini, Thilaiyalagan mengaku penggunaan bahasa Melayu dalam kedua-dua laporan polis itu datang daripada dirinya sendiri sekalipun penggunaan bahasa dalam laporan itu adalah baik.

Dia juga gagal mengecam anggota-anggota polis yang didakwa memukulnya selain Cif Inspektor Govindan yang memberi keterangan sebelum ini dan Sarjan N. Thiagarajan semasa sesi pengecaman dalam bilik bicara.

Dalam kes ini, bekas peguam, N. Pathmanabhan, 42; bersama tiga pekerja ladangnya, Thilaiyalagan, 20; R. Matan, 21; dan R. Kathavarayan, 31; didakwa membunuh Sosilawati, 47, pemandunya, Kamaruddin Shamsuddin, 47; peguam, Ahmad Kamil Abd. Karim, 32; dan pegawai Bank CIMB cawangan Kampung Baru, Noorhisham Mohamad, 38.

Kejadian didakwa berlaku di Lot No. 2001, Jalan Tanjung Layang, Tanjung Sepat, Banting dekat sini antara pukul 8.30 malam dan 9.45 malam, 30 Ogos tahun lalu.

Sementara itu, Matan yang memberi keterangan sebagai saksi kedua pula mendakwa melihat muka Thilaiyalagan berdarah sedangkan keterangan saksi itu sendiri sebelumnya langsung tidak menyebut sedemikian.

Walaupun mengaku mempunyai hubungan yang amat baik dengan Thilaiyalagan dan Kathavarayan serta saling membantu apa yang termampu jika salah seorang mengalami kesusahan, Matan menafikan memberi keterangan untuk membantu mereka.

Semasa disoal oleh Timbalan Pendakwa Raya, Ishak Mohd. Yusoff, dia turut menafikan berpakat dengan Thilaiyalagan untuk membuat laporan polis itu walaupun dalam laporan kedua-duanya jelas terdapat persamaan ayat demi ayat serta kesilapan yang sama.

Govindan dalam keterangannya sebelum ini memberitahu Thilaiyalagan telah menunjukkan enam keping zink yang dibuang di sebuah sungai di Jalan Kenangan, Kampung Kelanang dan 14 batang sisa kayu bakar di tempat pembuangan sampah Sungai Arak, Banting dekat sini pada 14 September tahun lalu.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Akhtar Tahir yang masuk hari ke-19 bersambung esok.
TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:

No comments:

Post a Comment