Dituduh beri keterangan palsu
Oleh NOOR AZMAH IBRAHIM
pengarang@utusan.com.my
N. PATMANABHAN (tiga dari kiri) dan tiga suspek lain dibawa ke lokasi penemuan bahan bukti di Sungai Arak, Banting, semalam.
SHAH ALAM 10 Ogos - Pekerja ladang, U. Suresh dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tuduhan memberi keterangan palsu dalam perbicaraan kes bunuh jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga rakannya pada akhir Julai lalu.
Suresh, 27, yang sedang menjalani hukuman penjara 20 tahun bagi kesalahan melupuskan mayat keempat-empat mangsa tersebut, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mohammed Mokhzani Mokhtar.
Tertuduh didakwa memberi keterangan palsu di hadapan Hakim Datuk Akhtar Tahir dalam perbicaraan kes Pendakwa Raya lawan N. Pathmanabhan, T. Thilaiyalagan, R. Matan dan R. Kathavarayan di Mahkamah Tinggi 8 di sini antara pukul 9.30 pagi dan 12 tengah hari, 25 hingga 27 Julai lalu.
Sedangkan keterangan itu berbeza dengan kenyataan tertuduh yang diberikan kepada Asisten Supritendan (ASP) Ong Seng Keong di Penjara Sungai Udang, Melaka pada 26 Oktober tahun lalu.
Suresh yang sebelum ini bekerja di Ladang Gadong, Banting iaitu tempat keempat-empat mangsa didakwa dibunuh, menghadapi tuduhan mengikut Seksyen 193 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan denda.
Timbalan Pendakwa Raya, Nur Azimul Azami Mohamed Nor memaklumkan, Suresh sedang menjalani hukuman penjara 20 tahun bagi kesalahan melupuskan empat mayat dan soal jaminan tidak timbul pada peringkat ini.
Beliau bagaimanapun mencadangkan agar tertuduh dikenakan RM100,000 sebagai ikat jamin jika mahkamah ingin membebaskannya dengan alasan kesalahan yang dilakukan adalah serius kerana ia melibatkan 22 percanggahan dalam keterangannya.
Menurut beliau, tertuduh juga memberi keterangan bercanggah itu dalam perbicaraan melibatkan kes pembunuhan dan ia bakal memberi kesan yang amat besar kepada perbicaraan tersebut.
Peguam A. S. Dhaliwal bagaimanapun memohon Suresh dibebaskan dengan ikat jamin kerana memberi keterangan palsu adalah kesalahan yang boleh dijamin selain ia tidak mempunyai kaitan dengan kesalahan melupuskan empat mayat mangsa.
Menurut beliau, anak guamnya juga berhak dijamin dengan mencadangkan jumlah antara RM5,000 dan RM10,000 dikenakan selain memaklumkan anak guamnya akan membuat rayuan terhadap hukuman penjara 20 tahun itu pada 24 Ogos ini.
Mahkamah kemudiannya membenarkan Suresh dibebaskan dengan ikat jamin RM20,000 dengan seorang penjamin serta menetapkan 3 November ini untuk sebutan kes tersebut.
Pada 27 Julai lalu, Hakim Akhtar berpendapat 22 daripada 23 percanggahan dalam keterangan Suresh adalah material dalam perbicaraan kes itu serta membenarkan permohonan pihak pendakwaan untuk mencabar kebolehpercayaan saksi tersebut.
Beliau turut membenarkan kenyataan saksi pendakwaan ke-29 itu di bawah Seksyen 112 Kanun Tatacara Jenayah yang dirakamkan oleh Seng Keong di Penjara Sungai Udang, Melaka pada 26 Oktober 2010 digunakan untuk prosiding tersebut.
Sama ada keterangan Suresh di mahkamah atau kenyataannya mengikut Seksyen 112 itu akan diterima pakai oleh mahkamah akan diputuskan di akhir kes pendakwaan kelak.
TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:
No comments:
Post a Comment