Suresh tidak tahu nama ladang, pemilik walaupun bekerja dua bulan
SHAH ALAM 25 Julai - Bekas pekerja Ladang Gadong, U. Suresh memberitahu Mahkamah Tinggi di sini bahawa dia tidak mengetahui nama ladang dan pemilik ladang tempatnya bekerja serta tinggal selama dua bulan sebelum ditangkap oleh pihak polis.
Dia juga mendakwa bahawa tertuduh keempat, R. Kathavarayan, 31, yang turut dikenalinya dengan nama Ravi dan sering berada di ladang terbabit adalah majikannya atas alasan dia memandu lori tertuduh itu dan menerima gaji daripada lelaki berkenaan.
Pada prosiding hari ini, walaupun 'berjaya' mengecam dua lagi rakan sekerjanya di ladang terbabit iaitu T. Thilaiyalagan dan R. Matan, lelaki yang kini sedang menjalani hukuman penjara 20 tahun di Penjara Sungai Udang, Melaka dilihat 'tegas' ketika menyatakan bahawa dia tidak mengenali mahupun pernah berjumpa bekas peguam, N. Pathmanabhan.
Pada 15 Oktober tahun lalu, Suresh dan Sarawanan mengaku bersalah atas tuduhan mengangkat, membakar dan membuang abu mayat Sosilawati; pemandunya, Kamaruddin Shamsuddin, 44; peguam, Ahmad Kamil Abdul Karim, 32; dan pegawai bank, Noorhisham Mohammad, 38.
Bagaimanapun, ketika disoal oleh Timbalan Pendakwa Raya, Ishak Mohd. Yusof, Suresh menyatakan dia dipenjarakan kerana 'polis arahkan dia memberi keterangan palsu' sebelum menukarnya kepada 'kerana polis memberi keterangan palsu' selepas disoal buat kali kedua.
Keterangan Suresh pada hari ini menimbulkan pelbagai persoalan yang mana pada satu ketika dia mampu menceritakan sesuatu perkara dengan teliti tetapi kemudian menafikan atau 'tidak boleh cam'.
Antaranya, dia boleh menceritakan dengan teliti kedudukan rumah-rumah kayu di ladang terbabit apabila ditunjukkan gambar tetapi terus menjawab tidak boleh cam ketika ditanya sama ada boleh mengecam keadaan ladang terbabit melalui gambar rajah kasar.
Dia juga mendakwa tidak pernah melihat kepingan-kepingan zink yang menjadi barang bukti di dalam kes tersebut walaupun sebelum itu mendakwa zink-zink seperti itu banyak terdapat di ladang terbabit dan sering digunakan untuk membuat atap rumah.
Suresh, walaupun mengakui ada memberi keterangan kepada pihak polis dan menandatangani dokumen percakapan beramaran tetapi menafikan tandatangan yang terdapat pada dokumen yang ditunjukkan kepadanya.
Perbicaraan yang dikendalikan Hakim Datuk Akhtar Tahir yang masuk hari ke-10 bersambung esok.
No comments:
Post a Comment