Tuesday, July 12, 2011

perjanjian

Perjanjian jual beli tanah Sosilawati-jutawan India tidak lengkap - Saksi

SHAH ALAM 12 Julai - Bekas suami Datuk Sosilawati Lawiya hari ini mendedahkan bahawa perbincangan urusan jual beli tanah di Pulau Pinang bersama peguam N. Pathmanabhan menjadi agak hangat apabila dia mempertikaikan kandungan perjanjian yang telah ditandatangani oleh jutawan kosmetik itu.

Buhari Mohamed, 62, yang memberi keterangan di Mahkamah Tinggi di sini berkata, dia juga merasa kesal kerana Sosilawati membawanya berjumpa Pathmanabhan di firma guaman lelaki itu di Banting hanya selepas wang pendahuluan sebanyak 10 peratus dibayar oleh bekas isterinya.

Menurutnya yang merupakan saksi pendakwaan ke-24, dalam pertemuan pada sekitar Mac 2008, terdapat enam perkara yang dipersoalkan iaitu maklumat penjual, A. Muthuraja dan Sosilawati sebagai pembeli yang tidak lengkap serta status kaveat ke atas tanah tersebut.

Muthuraja ialah jutawan dari Chennai, India, yang dilaporkan hilang sehingga hari ini.

Selain itu, jelas Buhari, Sosilawati tidak pergi ke India sedangkan perjanjian turut melibatkan peguam dari negara itu di samping tiada sebarang pengesahan daripada kedutaan bagi membuktikan kewujudan individu-individu berkenaan.

''Akhir sekali saya tanya andai kata masalah timbul selepas tanah dibeli dan dijual balik serta keuntungan dibahagi-bahagikan, pihak ketiga yang membeli tanah akan menuntut balik bila masalah timbul seperti tidak boleh daftar atau tukar milik, jadi siapa akan tanggung kerugian.

''Pathma (Pathmanabhan) berkata dia peguam lama serta berpengalaman dan masalah ini dia boleh selesaikan. Sosilawati tidak komen, tetapi saya kesal sebab semasa dia membawa saya, perjanjian telah ditandatangani dan 10 peratus sudah dibayar kepada Pathma. Saya tidak boleh komen apa-apa,'' jelasnya.

Semasa disoal oleh Timbalan Pendakwa Raya, Saiful Edris Zainuddin mengapa Sosilawati meminta bantuannya sedangkan mereka telah bercerai, Buhari memberitahu, bekas isterinya tidak mempunyai peguam peribadi pada masa itu.

Jelasnya, Sosilawati memintanya membacakan isi kandungan perjanjian bagi memastikan ia betul kerana dia pernah memegang jawatan pengurus sebuah bank dan mengetahui serba sedikit tentang dokumen seperti itu.

Dalam kes ini, Pathmanabhan, 42; bersama tiga pekerja ladangnya, T. Thilaiyalagan, 20; R. Matan, 21; dan R. Kathavarayan, 31; didakwa membunuh Sosilawati, 47, pemandunya, Kamaruddin Shamsuddin, 47; Ahmad Kamil Abd. Karim, 32; dan pegawai Bank CIMB cawangan Kampung Baru, Noorhisham Mohamad, 38.

Kesalahan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan itu didakwa berlaku di Lot No. 2001, Jalan Tanjung Layang, Tanjung Sepat, Banting dekat sini antara pukul 8.30 malam dan 9.45 malam, 30 Ogos tahun lalu.

Mengimbas kembali kejadian pada 31 Ogos tahun lalu, Buhari memberitahu, anaknya Erni Erinawati Sofia (Rina) menghubunginya dan memberitahu Sosilawati tidak pulang selepas berjumpa peguam bernama Pathma di Banting berhubung urusan jual beli tanah.

Katanya, dia kemudiannya menyuruh Rina menjemputnya di Selayang untuk bersama-sama ke Banting bagi mencari pejabat Pathmanabhan.

Dalam pada itu, Buhari turut cuba menghubungi telefon bimbit Sosilawati dua hingga tiga kali tetapi gagal sebelum menghubungi anak sulungnya, Erni Dekritawati Yuliana (Rita) yang ketika itu berada di Shah Alam.

Dengan menaiki dua buah kereta, katanya, mereka pergi ke Banting untuk mencari pejabat peguam Pathmanabhan, tetapi gagal lalu mereka pulang ke Kuala Lumpur dan berbincang sebelum satu laporan polis dibuat oleh Rina berhubung kehilangan Sosilawati pada hari yang sama.

Sebelum laporan kedua dibuat pada 2 September 2010, Buhari memberitahu, dia turut menghubungi nombor telefon bimbit peribadi Pathmanabhan pada salinan perjanjian jual beli tanah yang ditulis semasa dokumen itu diperoleh pada pertemuan sebelum itu.

''Saya perkenalkan diri sebagai Buhari Gudang Garam. Saya tanya ke mana Sosilawati selepas berjumpa awak pada 30 haribulan sehingga sekarang tidak balik-balik. Anak saya buat 'report', awak terpaksa bertanggungjawab.

''Pathma kata dia tidak jumpa Sosilawati pada 30 haribulan, Dia kata Sosilawati seorang yang baik serta selalu berniaga dengannya dan macam mana dia boleh hilang. Pada masa itu, saya tidak komen apa-apa,'' katanya lagi.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Akhtar Tahir yang masuk hari ketujuh bersambung esok.
TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:

No comments:

Post a Comment