Sunday, July 10, 2011

misteri

Misteri panggilan, SMS di ambang maut

Oleh NOOR AZMAH IBRAHIM

SELEPAS lima hari bersidang, perbicaraan kes bunuh Datuk Sosilawati Lawiya telah membongkar cerita mengejutkan tentang kononnya Kamaruddin Shamsuddin, pemandunya sendiri mengugut untuk menyebarkan gambar bogel yang dirakam secara curi di dalam bilik air di rumahnya.

Kisah itu timbul selepas pukul 7 malam, 30 Ogos 2010, iaitu tempoh masa sebelum Sosilawati, Kamaruddin, peguam Ahmad Kamil Abd. Karim dan pegawai bank CIMB, Noorhisham Mohamad dikatakan dibunuh serta mayat mereka dibakar di sebuah ladang kelapa sawit di Banting.

Berdasarkan keterangan saksi-saksi pendakwaan, kejadian bermula seawal 3 Ogos 2010 apabila jutawan kosmetik itu menerima cek tertunda bertarikh sekitar bulan September bernilai RM1 juta daripada peguam N. Pathmanabhan, tertuduh pertama dalam kes ini.

Memandangkan Hari Raya Aidilfitri bakal tiba, Sosilawati bertolak ke Banting pada pukul 4 petang hari kejadian dengan menaiki kereta BMW X5 hitam WTL 11 yang dipandu oleh Kamaruddin untuk berjumpa Pathmanabhan bagi mempercepatkan tarikh cek tersebut.

Dalam urusan itu, Sabrina Adnan, isteri Ahmad Kamil dan isteri Noorhisham, Suzana Radin Pangat mengesahkan suami masing-masing memberitahu mereka akan ke Banting bersama Sosilawati berkaitan hartanah pada petang hari yang sama.

Kali terakhir Sosilawati dilihat masih hidup ketika beliau singgah membeli kerepek dan biskut berharga RM200 untuk persiapan hari raya di Fazz Enterprise Sdn. Bhd. di pekan Banting dan kesemua barangan itu dijumpai oleh anak sulungnya, Erni Dekritawati Yuliana (Rita) di dalam but kereta ibunya.

Berdasarkan panggilan Ahmad Kamil kepada Rita pada pukul 7 malam, dia dan Noorhisham sedang mengekori kereta yang dinaiki Sosilawati bersama Kamaruddin di satu kawasan yang dipenuhi pokok kelapa sawit.

Ketika umat Islam sibuk berbuka puasa dan menunaikan solat Maghrib, Sosilawati membuat panggilan ke telefon bimbit Habishah Bahari menyatakan rasa tidak percaya bahawa Kamaruddin merakam gambar bogelnya dan menyuruh kawan baiknya itu memeriksa bilik air di rumahnya.

Beliau kemudiannya membuat panggilan sekali lagi memberitahu perkara yang sama dan berjanji kepada Habishah yang sedang kehairanan untuk menjelaskan tentang perkara itu apabila pulang kelak.

Hanya semasa panggilan ketiga dibuat, sikap Sosilawati berlainan kerana membahasakan dirinya Kak Wati dengan nada lembut menunjukkan dia dalam keadaan susah hati.

Selepas menyuruh Habishah memeriksa rumahnya, Sosilawati sendiri tidak pula berhasrat untuk pulang apabila memberitahu mahu ke Genting Highlands selama tiga hari sedangkan rumahnya hanya sejam perjalanan dari situ.

Lebih-lebih lagi pada tarikh tersebut, umat Islam mempunyai 10 hari sahaja lagi untuk membuat segala persiapan bagi menyambut Aidilfitri.

Dalam tempoh masa yang sama, Sosilawati membuat panggilan kepada Rita yang tidak dijawab serta SMS :''Jangan bagi Kamal (Kamaruddin) masuk rumah. Dia tangkap gambar mak. Kalau ada apa-apa hubungi Bishah."

Rita yang tidak percaya dengan kandungan SMS tersebut cuba menelefon semula Sosilawati sebelum menghubungi Ahmad Kamil, Noorhisham dan Kamaruddin yang kesemuanya panggilan masuk ke dalam peti pesanan suara.

Noorhisham pula dalam keadaan tergesa-gesa menghubungi Suzana menyatakan tidak dapat pulang selama tiga hari kerana ingin menyelamatkan Sosilawati yang kononnya diugut oleh Kamaruddin.

Selang beberapa minit, pegawai bank itu menghubungi semula Suzana tetapi tidak dijawab selepas mendapat SMS isterinya yang merajuk kerana suami sanggup meninggalkan dia dan anak-anak selama tiga hari semata-mata untuk membantu orang lain.

Sebagaimana Noorhisham, Ahmad Kamil juga menelefon Sabrina dalam keadaan tergesa-gesa dengan suara agak tersekat-sekat memberitahu perkara sama selain kononnya Sosilawati sedang menangis pada ketika itu.

Selain tempoh tiga hari, cerita foto tidak senonoh yang kononnya akan disebarkan, Sosilawati, Ahmad Kamil dam Noorhisham mengamalkan sikap sama iaitu hanya membuat panggilan tetapi tidak menjawab sebarang panggilan dalam tempoh tersebut.

Tindakan tidak menjawab panggilan dan menutup telefon yang tidak pernah dilakukan oleh mereka telah menimbulkan syak, namun tempoh tiga hari itu telah berjaya melengahkan Suzana dan Sabrina untuk membuat laporan polis.

Sebagai 'suspek' dalam kisah ini, Kamaruddin tidak menghubungi sesiapa selepas kali terakhir menelefon anak saudaranya, Khairul Izwan Ismail pada pukul 5 petang hari yang sama.

Setelah tiada khabar berita, hanya jam tangan Bell & Ross edisi terhad yang dipakai Ahmad Kamil, jam tangan Longines milik Noorhisham serta telefon bimbit jenis Blackberry Bold milik kedua-dua mangsa ditemui.

Sementara kereta yang dinaiki Sosilawati dan Kamaruddin dijumpai di Flat Angsana, USJ 1 manakala Kereta BMW dengan nombor pendaftaran AAJ 5 yang dipandu Ahmad Kamil pada hari kejadian berada di kawasan letak kereta berhampiran Hotel Grand Dorsett, Subang Jaya.

Kereta Proton Perdana hitam milik Noorhisham pula dijumpai di Seksyen 7 Shah Alam, selari dengan keterangan bahawa dia memberitahu lokasi keretanya kepada Rita serta keterangan Sabrina bahawa Ahmad Kamil dan Noorhisham bertemu di sana.

Bagaimanapun benarkah wujud gambar bogel yang dikatakan dirakam di rumah Sosilawati sedangkan kamera tidak dijumpai? Dan benarkah wujud peras ugut sehingga ketiga-tiga mangsa tidak dapat pulang ke rumah selama tiga hari ketika umat Islam sibuk mengadakan persiapan Aidilfitri? Persoalan itu akan bersambung pada perbicaraan di Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini.

No comments:

Post a Comment