Situasi prosiding hari ke-11 'huru-hara'
SHAH ALAM 26 Julai - Huru-hara! Itu mungkin perkataan terbaik bagi menggambarkan situasi perbicaraan kes pembunuhan jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga lagi di Dewan Mahkamah 8, Mahkamah Tinggi di sini hari ini.
Prosiding hari ini juga penuh dengan emosi hinggakan ada yang 'merajuk' meninggalkan mahkamah.
Pada awal prosiding, pihak-pihak berhujah mengenai permohonan pihak pendakwaan untuk menyoal balas saksinya sendiri, U. Suresh selepas pekerja ladang itu memberi keterangan bercanggah dengan kenyataan beramaran yang dirakamkan oleh pihak polis.
Pada peringkat ini, sudah berlaku perang mulut di antara Timbalan Pendakwa Raya, Saiful Edris Zainuddin dan peguam bela, Manjeet Singh Dhillon sehingga terpaksa ditenangkan oleh Hakim Datuk Akhtar Tahir.
Selepas berakhir isu tersebut dan pegawai soal siasat Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Cif Inspektor N. Govindan, 45, mula memberi keterangan berhubung penemuan beberapa barang kes berdasarkan 'maklumat' yang diberikan oleh tertuduh, T. Thilaiyalagan, 20; R. Matan, 21; dan R. Kathavarayan, 31, keadaan kembali 'rancak'.
Pihak pembelaan mengemukakan bantahan demi bantahan terhadap keterangan yang diberikan tetapi ditolak oleh hakim menyebabkan peguam, Gurbachan Singh memohon agar prosiding bicara dalam perbicaraan (TWT) diadakan bagi membuktikan terdapatnya unsur paksaan dalam mendapatkan maklumat tersebut.
Pihak pendakwaan bagaimanapun membantah permohonan TWT itu dengan menyatakan tiada sebarang bukti melalui keterangan saksi pendakwa ke-32 itu yang menunjukkan adanya unsur kekerasan dan merupakan tindakan pra-matang.
Setelah meneliti hujah kedua-dua pihak, mahkamah membenarkan permohonan agar TWT diadakan tetapi hanya selepas mahkamah mendengar dan menerima masuk kesemua keterangan dan bahan bukti yang akan dikemukakan oleh Govindan di akhir pemeriksaan utama.
Tidak sampai 15 minit hakim tersebut membuat keputusan itu, Manjeet sekali lagi membangkitkan isu bahasa.
Katanya, Govindan dalam keterangannya ada menyatakan bahawa dia bertanya kepada Kathavarayan dalam bahasa Tamil dan dijawab dalam bahasa yang sama tetapi keterangannya di mahkamah dibuat dalam bahasa Malaysia.
Hakim Akhtar kemudiannya memutuskan agar saksi akan terus memberi keterangan dalam bahasa Malaysia kecuali 'maklumat-maklumat' yang diberikan oleh tertuduh-tertuduh perlu diberikan dalam bahasa Tamil dan akan diterjemahkan oleh jurubahasa.
Pada ketika inilah, keadaan tenang mulai retak menanti belah.
Barisan peguam bela hampir secara serentak membantah tindakan jurubahasa Tamil yang didakwa menggunakan ayat yang salah dalam menterjemah keterangan Govindan menyebabkan Hakim Akhtar meminta jurubahasa Tamil kedua membantu proses penterjemahan tersebut.
Tidak sampai lima minit, berlaku pula 'perang mulut tiga segi' antara pihak pendakwaan, jurubahasa kedua dan pihak pembelaan berhubung perkataan 'kai phone' yang membawa maksud telefon tangan sedangkan mereka sedang bertanya mengenai jam tangan kepada saksi.
Tindakan luar kawal Timbalan Pendakwa Raya, Ishak Mohd. Yusoff yang tiba-tiba menengking jurubahasa terbabit sambil mendakwa lelaki itu menterjemahkan sesuatu yang tidak dinyatakan oleh saksi menyebabkan jurubahasa kedua itu meninggalkan tugas yang belum selesai.
Insiden tersebut juga telah menyebabkan hampir kesemua peguam bela bangkit dan mula memprotes tindakan Ishak sebelum jurubahasa pertama dipanggil semula untuk mengambil alih tugas berkenan.
Keadaan tegang itu berterusan apabila barisan pembelaan kembali membangkitkan satu persatu bantahan terhadap keterangan Govindan sehingga pihak pendakwaan dilihat seperti tertekan dan marah.
Selepas selesai pemeriksaan utama oleh pihak pendakwaan, mahkamah menyatakan keputusan bagi permohonan untuk menyoal balas Suresh akan dibuat selepas berakhirnya TWT yang akan bermula esok.
No comments:
Post a Comment