Keterangan bercanggah, pendakwa mohon soal balas saksi
SHAH ALAM 25 Julai - Pihak pendakwaan hari ini memohon untuk menyoal balas saksinya sendiri, U. Suresh di Mahkamah Tinggi di sini selepas pekerja ladang itu memberi keterangan bercanggah dengan kenyataan beramaran yang dirakamkan oleh pihak polis sebelum ini.
Timbalan Pendakwa Raya, Saiful Edris Zainuddin membuat permohonan itu mengikut Seksyen 145 Akta Keterangan 1950 bagi membolehkan Suresh yang sedang menjalani hukuman penjara 20 tahun bagi kesalahan melupuskan mayat Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga lagi disoal berhubung kandungan kenyataannya itu.
Permohonan tersebut bagaimanapun dibantah oleh Peguam Gurbachan Singh yang mewakili tertuduh kedua dalam kes bunuh jutawan kosmetik itu dan tiga yang lain, T. Thilaiyalagan kerana Suresh mendakwa tandatangan pada kenyataan tersebut berbeza dengan tandatangannya.
Peguam Ravi Nekoo dan Manjeet Singh Dhillon turut membantah dengan alasan Seksyen 145 akta tersebut hanya terpakai semasa saksi sedang disoal balas.
Hakim Datuk Akhtar Tahir kemudiannya memutuskan untuk mendengar hujahan oleh pihak pendakwaan dan pembelaan esok sebelum membuat keputusan berhubung permohonan tersebut.
Dalam kes ini, bekas peguam, N. Pathmanabhan, 42; bersama tiga pekerja ladangnya, Thilaiyalagan, 20; R. Matan, 21; dan R. Kathavarayan, 31; didakwa membunuh Sosilawati, 47, pemandunya, Kamaruddin Shamsuddin, 47; Ahmad Kamil Abd. Karim, 32; dan pegawai Bank CIMB cawangan Kampung Baru, Noorhisham Mohamad, 38.
Kejadian didakwa berlaku di Lot No. 2001, Jalan Tanjung Layang, Tanjung Sepat, Banting dekat sini antara pukul 8.30 malam dan 9.45 malam, 30 Ogos tahun lalu.
Mereka dibicarakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.
Terdahulu, semasa disoal oleh Saiful Edris, Suresh, 27, yang merupakan saksi pendakwaan ke-29 memberitahu, dia tidak berada di Ladang Gadong, Banting kerana membawa lori ke Cheras pada pukul 6 petang, 29 Ogos 2010.
Saksi mendakwa, dia juga berada di Cheras berjumpa dengan bapa saudaranya yang ingin menyewa lori yang dipandunya pada pukul 7 malam keesokan hari.
Semasa ditanya sama ada dia berjumpa seorang pemandu van sekolah bernama V. Selvapandian yang tinggal di Sungai Buloh, Suresh mendakwa langsung tidak mengenali lelaki itu.
Selvapandian yang merupakan bapa saudara Kathavarayan dalam keterangannya pada 6 Julai lalu memberitahu, seorang lelaki bernama Suresh telah menyerahkan jam tangan kepadanya pada tahun lalu.
Menurut Selvapandian, Suresh memberitahu bahawa dia telah disuruh oleh Kathavarayan untuk menyerahkan jam tangan tersebut kepadanya.
Dia turut mengakui Suresh kemudian membawa anaknya ke rumah Kathavarayan di Banting untuk pergi berkelah berikutan cuti persekolahan pada masa itu.
Jam tangan jenis Longines kepunyaan Noorhisham itu telah dirampas oleh pegawai polis, Supritendan Denis Leong Sung Kuai daripada Selvapandian pada 11 September 2010.
TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:
No comments:
Post a Comment