Friday, July 8, 2011

kereta

Penduduk lapor nampak kereta Sosilawati

SHAH ALAM 8 Julai - Seorang penghuni sebuah flat di Subang Jaya menghubungi pihak polis untuk memaklumkan tentang kereta BMW X5 hitam milik Datuk Sosilawati Lawiya yang dilihatnya pada 6 September tahun lalu selepas menonton berita tentang kehilangan jutawan kosmetik itu di televisyen.

Saksi pendakwaan ke-18, Sarjan Jaswant Singh, 52, memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini, panggilan itu diterima daripada seorang lelaki bernama Awang yang memaklumkan tentang kereta dengan nombor pendaftaran WTL 11 itu berada di tempat letak kereta di flat tersebut.

''Antara pukul 8.45 dan 8.50 malam, saya terima satu panggilan daripada seorang lelaki bernama Awang mengatakan dia nampak sebuah kenderaan jenis BMW yang diletakkan di flat Angsana Pangsapuri, USJ 1, Subang Jaya.

''Dia kata dia tinggal di flat tersebut dan melihat kereta itu sudah lama diletakkan di situ. Hanya apabila berita keluar di televisyen, dia baru perasan,'' jelas beliau

Jaswant yang ketika itu merupakan Penolong Pegawai Bertugas di Pusat Kawalan, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Subang berkata, dia terus mengarahkan kereta peronda polis (MPV) menghala ke lokasi terbabit untuk memastikan kewujudan kenderaan tersebut.

Dia turut memaklumkan maklumat itu kepada Ketua Polis Daerah dan timbalannya, semua ketua bahagian dan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor sebelum membuat satu laporan polis.

Beliau berkata demikian semasa memberi keterangan dalam perbicaraan kes pembunuhan Sosilawati, 47, pemandunya, Kamaruddin Shamsuddin, 47; peguam, Ahmad Kamil Abd. Karim, 32 dan pegawai Bank CIMB cawangan Kampung Baru, Noorhisham Mohamad, 38.

Bekas peguam, N. Pathmanabhan, 42; bersama tiga pekerja ladangnya, T. Thilaiyalagan, 20; R. Matan, 21 dan R. Kathavarayan, 31, didakwa membunuh kesemua mangsa di Lot No. 2001, Jalan Tanjung Layang, Tanjung Sepat, Banting dekat sini antara pukul 8.30 malam dan 9.45 malam, 30 Ogos tahun lalu.

Sementara itu, krew MPV, Lans Koperal Roslee Sharon, 30, pula memberitahu, dia menerima arahan dari Bilik Gerakan Subang Jaya untuk mengesan sebuah kereta BMW hitam dengan nombor pendaftaran AAJ 5 pada hari yang sama.

Katanya, kereta milik Ahmad Kamil itu dilapor ditinggalkan terbiar di sebuah lokasi berhampiran Hotel Grand Dorsett, Subang Jaya dekat sini.

''Saya dan pemandu MPV, Lans Koperal Faizal Ismail mencari di sekitar Hotel Grand Dorsett tetapi tidak jumpa. Kami cari di lokasi berdekatan dan menemuinya di tempat letak kereta Lot 125, Jalan SS15/1B, Subang Jaya.

''Saya tengok keadaannya dan kereta itu diletakkan tidak berapa elok kerana bumper melebihi kaki lima,'' katanya.

Menurut saksi, dia kemudian memaklumkan kepada bilik gerakan serta membuat halangan dengan menggunakan pita kuning dan hanya beredar dari kawasan itu pada pukul 2.30 pagi selepas pasukan forensik polis selesai menjalankan siasatan.

Sementara itu, Hakim Datuk Akhtar Tahir memutuskan gambar yang dirakam oleh dua jurugambar polis menggunakan kamera digital serta disimpan dalam cakera padat (CD) tidak diterima sebagai bahan bukti sebaliknya ditanda sebagai ID (bahan yang belum dijadikan bukti).

Pihak pendakwaan bagaimanapun dibenarkan berhujah untuk mengemukakan CD dan gambar-gambar bagi ditandakan sebagai bahan bukti pada minggu depan.

Perbicaraan yang masuk hari kelima bersambung Isnin ini.

No comments:

Post a Comment