Wednesday, July 6, 2011

cek

Sosilawati terima cek RM1 juta

Oleh NOOR AZMAH IBRAHIM dan SUWARNI MOKHTAR
pengarang@utusan.com.my

SHAH ALAM 6 Julai - Seorang ahli perniagaan memberitahu Mahkamah Tinggi di sini, hari ini bahawa jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya ada menerima sekeping cek bernilai RM1 juta daripada tertuduh pertama, N. Pathmanabhan pada awal Ogos tahun lalu.

Cek yang dikatakan sebagai cek pembayaran itu dan diletakkan atas nama Southern Symphony bagaimanapun merupakan cek tertunggak iaitu bertarikh September 2010.

Saksi pendakwa ke-13, Junaidah Ismail, 52, yang memiliki sebuah syarikat menjalankan pengurusan acara menyatakan, dia ditunjukkan cek tersebut oleh Sosilawati yang dipanggilnya Wati ketika dalam perjalanan ke Pelabuhan Klang bagi menyambut ulang tahun kelahirannya pada 3 Ogos tahun lalu.

Sosilawati, jelasnya, bagaimanapun ingin singgah seketika di Banting untuk bertemu dengan bekas peguam itu yang dikenalinya sebagai Pathma.

''Sampai di pejabat Pathma, Wati telefon Pathma dan beritahu dah sampai. Kami tunggu seketika di hadapan pejabat dan Pathma tiba menaiki kereta mewah Brabus. Dia kemudian menyerahkan sekeping cek kepada Sosilawati dan kemudian kami beredar.

''Dalam kereta, Wati tunjuk cek tersebut pada saya dan kata: "Tengok Kak Jun, saya dapat payment (bayaran)." Masa nak serah balik cek pada Wati, saya perasan tarikh cek post-dated (tertunggak) bulan September. Bila saya tanya, Wati kata tak apa sebab dah bincang,'' katanya.

Ditanya oleh Timbalan Pendakwa Raya, Idham Mohd. Ghani, wanita terbabit menyatakan, dia ingat mengenai cek tersebut kerana tulisan 'Satu Juta Ringgit Malaysia' pada cek tersebut seperti tulisan kanak-kanak.

Wanita terbabit turut menyatakan, Sosilawati ada mengajaknya menemani beliau untuk bertemu Pathma pada 30 Ogos tahun lalu tetapi tidak dapat kerana kurang sihat.

Menjawab pertanyaan sama ada pertemuan di Banting pada 3 Ogos tahun lalu merupakan kali pertama dia berjumpa dengan tertuduh pertama, Junaidah menyatakan dia pernah menemui bekas peguam itu antara dua atau tiga tahun sebelum itu di Hotel Pan Pacific, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang berhubung urusan jual beli tanah di Pulau Pinang.

Pada masa itu, Pathma merupakan peguam kepada seorang lelaki yang dikatakan wakil rakyat Sepang bernama Datuk Suhaimi, kata wanita terbabit.

Ketika disoal balas oleh peguam bela, Manjeet Singh Dhillion, Junaidah menyatakan dia tidak tahu apa-apa mengenai syarikat Sosilawati, Nouvelle Visages Beauty Sdn. Bhd. pernah disaman kerana melanggar kontrak perjanjian jual beli hartanah.

Dia juga tidak mengetahui sekiranya rakannya itu mempunyai hutang sebanyak RM10 juta dengan pihak bank ketika dicadangkan mengenai perkara itu oleh peguam terbabit.

Bagaimanapun, tindakan barisan pembelaan yang dilihat cuba 'menyerang' keperibadian Sosilawati dengan bertanyakan soalan-soalan berkaitan hubungan wanita terbabit dengan pemandunya, Kamaruddin Shamsuddin atau Kamal dibantah oleh Idham.

Ujarnya, soalan-soalan mengenai hubungan kedua-dua mangsa itu dan kaitannya dengan perkahwinan Sosilawati dengan penyanyi kumpulan Lefthanded, Nash atau Jamaludin Elias adalah tidak relevan dan lebih berunsurkan skandal.

Hakim Datuk Akhtar Tahir membenarkan soalan itu ditanya selagi ia tidak terlalu menyentuh peribadi mangsa.

Ekoran itu, wanita terbabit dalam menjawab soalan Amer Hamzah Arshad menyatakan, dia tidak bersetuju dengan cadangan peguam itu bahawa pasangan itu bercerai ekoran hubungan Sosilawati dengan pemandunya sebaliknya memberitahu kawannya dan penyanyi terbabit tidak sependapat dan sering bergaduh.

Seorang lagi saksi, Sabrina Adnan, 32, iaitu isteri kepada Ahmad Kamil Abdul Karim, memberitahu, suaminya turut menyatakan perkara yang sama dimaklumkan oleh isteri Noorhisham Mohamad, Suzana Radin Pangit dalam keterangannya semalam, bahawa dia tidak dapat pulang dalam tempoh tiga hari kerana ingin membantu Sosilawati.

Berpegang kepada kata-kata terakhir suaminya itu, penjawat awam di Kementerian Pengajian Tinggi itu hanya membuat laporan polis pada hari keempat kehilangan suaminya walaupun dia mengesyaki telah berlaku sesuatu kepada suaminya pada hari sebelumnya.

Sementara itu, ketika disoal oleh hakim mengenai 'keistimewaan' jam tangan Bell & Ross milik suaminya, Sabrina menyatakan, jam tersebut merupakan jam edisi terhad dan dapat memberitahu waktu terakhir ia berhenti berfungsi selain mempunyai nombor siri.

Wanita terbabit kemudiannya ketika disoal oleh Manjeet mengenai jam itu menyatakan, jarum minit jam yang diselaputi kotoran itu telah hilang dan hanya ada jarum pendek. Jarum pendek jam terbabit terhenti di antara nombor lima dan enam.

Perbicaraan bersambung esok.

No comments:

Post a Comment