Cam barang kes melalui kesan terbakar
Oleh SUWARNI MOKHTAR dan NOOR AZMAH IBRAHIM
pengarang@utusan.com.my
SHAH ALAM 12 Julai - Walaupun diasak berulang kali oleh pihak peguam, seorang penyelam tetap menyatakan bahawa dia boleh mengecam semua objek yang ditemui berhubung kes pembunuhan Datuk Sosilwati Lawiya dan tiga yang lain, sekalipun tidak membuat sebarang penandaan.
Ini kerana, jelas Koperal Merzuki Shahrim, 43, dari Pasukan Gerakan Marin Wilayah 1, Pulau Pinang, dia mengecam objek-objek tersebut berdasarkan kesan terbakar, lipatan, karat dan rupa barang-barang yang ditemuinya.
Saksi pendakwa ke-22 itu menyatakan demikian ketika pemeriksaan semula oleh Timbalan Pendakwa Raya, Saiful Edris Zainuddin pada perbicaraan kes bunuh jutawan kosmetik tersebut dan rakan-rakannya itu di Mahkamah Tinggi di sini hari ini.
Dalam keterangannya semalam, antara objek yang ditemui adalah serpihan dipercayai tulang dan gigi, enam keping zink dan dua utas jam tangan.
Turut ditemui adalah beberapa bekas dawai, satu guni plastik tertulis Tapioca 50 kilogram, dua anak kunci, sebilah pisau, dua buah telefon bimbit jenis Blackberry masing-masing berwarna hitam dan putih serta seutas jam tangan Seiko Honda Racing Team.
Barang-barang tersebut ditemui sama ada di dalam atau berhampiran Sungai Panchau, pintu kunci air Pasar Besar Banting dan berhampiran jambatan Sungai Kanchong Laut, Kampung Endah dekat sini.
No comments:
Post a Comment