Monday, July 11, 2011

blackberry

Telefon Blackberry milik mangsa

Oleh NOOR AZMAH IBRAHIM
pengarang@utusan.com.my


N. Pathmanabhan (depan), T. Thilaiyalagan, R. Kathavarayan dan R. Matan dibawa ke Mahkamah Tinggi Shah Alam, semalam.

SHAH ALAM 11 Julai – Pelbagai barangan termasuk dua unit telefon bimbit Blackberry milik peguam, Ahmad Kamil Abd. Karim dan pegawai bank, Noorhisham Mohamad yang dibunuh bersama Datuk Sosilawati Lawiya disahkan ditemui oleh pasukan penyelam di beberapa lokasi sekitar Banting antara 12 dan 25 September tahun lalu.

Koperal Merzuki Shahrim, 43, dari Pasukan Gerakan Marin Wilayah 1, Pulau Pinang memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini, bahan bukti yang didakwa mempunyai kaitan dengan pembunuhan jutawan kosmetik itu seperti serpihan dipercayai tulang dan gigi, enam keping zink serta dua utas jam tangan turut ditemui.

Menurut saksi pendakwaan ke-22 itu, dia dan lima anggota penyelam menemui kesan-kesan seperti objek arang hitam dan terbakar di tebing Sungai Pancau serta dawai semasa membuat pencarian pada 3.35 petang, 12 September 2010.

‘‘Setelah buat pencarian dengan menggunakan kaedah meraba di dasar sungai, kami berjaya menemui beberapa cebisan disyaki tulang yang telah hangus dan serpihan besi dengan kesan terbakar serta berkarat.

‘‘Kami juga menemui beberapa bekas dawai, satu guni plastik tertulis Tapioca 50 kilogram, dua anak kunci dan sebilah pisau,’’ katanya ketika menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya, Saiful Edris Zainuddin.

Menurut saksi, pasukannya sekali lagi diarahkan membuat pencarian secara lebih teliti di Sungai Pancau dengan menggunakan kaedah mengayak lapisan dasar sungai sedalam 7.62 sentimeter (sm) hingga 12.7 sm.

Pencarian kali ini berjaya menemui beberapa serpihan dipercayai tulang, serpihan logam yang mempunyai kesan terbakar dan berkarat, beberapa batang disyaki gigi serta anak kunci.

Sementara pencarian di longkang besar berhampiran pintu kunci air Pasar Besar Banting pada pukul 7.15 malam hari yang sama pula berjaya menemukan dua telefon bimbit jenis Blackberry berwarna hitam dan putih pada kedalaman antara 0.6 meter hingga 0.9 meter.

‘‘Saya bersama dua lagi anggota pasukan penyelam turun ke longkang dalam kedudukan berbaris dengan cara menunduk bergerak ke tebing seberang sana dan ulang semula sehingga meliputi kawasan yang diarahkan.

‘‘Lebih kurang pukul 7.15 malam, saya berjaya menemui sebuah telefon bimbit jenis Blackberry berwarna putih. Sementara Lans Koperal Hazriman Ismail menemui telefon bimbit Blackberry berwarna hitam,’’ jelasnya.

Menurut saksi, dia juga menemui seutas jam tangan Seiko Honda Racing Team berhampiran jambatan, Sungai Kanchong Laut, Kampung Endah pada pukul 5 petang, 13 September tahun lalu, manakala esoknya, jam jenama Bell & Ross dijumpai di dasar sungai yang sama.

Berikutan kedalaman sungai antara 1.52 meter hingga 1.83 meter serta air yang keruh, kata Merzuki, pasukannya menggunakan peralatan menyelam dengan membuat pencarian berpandukan tali yang direntang di dasar sungai tersebut.

‘‘Pada mulanya saya guna alat pengesan logam, tetapi disebabkan dasar sungai penuh dengan sampah-sarap, alat tersebut asyik berbunyi dan menganggu pencarian pada 14 September 2010.

‘‘Lebih kurang pukul 2.30 petang, Hazriman menemui seutas jam tangan jenis Bell & Ross semasa meraba di dasar sungai itu,’’ jelasnya.

Menurut saksi, enam keping zink yang mempunyai kesan berkarat dan terbakar pula ditemui di sebatang sungai di tepi ladang kelapa sawit Jalan Kenangan, Kampung Kelanang pada pukul 5.30 petang hari yang sama.

Sementara pencarian di kawasan sekitar longkang di USJ 1, Subang Jaya pada pukul 7.30 malam, Hazriman berjaya menemui sejambak kunci yang bertulis BMW serta pemegang kunci bertulis Sytner.

‘‘Selepas balik ke Pulau Pinang, kami sekali lagi diarah bersiap sedia untuk membuat pencarian dan pada 21 September 2010, saya menemui satu gelang warna keemasan di kunci air Sungai Lang.

‘‘Pencarian dibuat sekali lagi di dalam longkang besar berhampiran pintu kunci air Pasar Besar Banting pada 25 September 2010 dan kali ini Sarjan Mohamed Yunus Abdul Samad menjumpai satu bateri telefon bimbit Blackberry,’’ kata.

Dalam kes ini, bekas peguam, N. Pathmanabhan, 42; bersama tiga pekerja ladangnya, T. Thilaiyalagan, 20; R. Matan, 21; dan R. Kathavarayan, 31; didakwa membunuh Sosilawati, 47, pemandunya, Kamaruddin Shamsuddin, 47; Ahmad Kamil, 32; dan pegawai Bank CIMB cawangan Kampung Baru, Noorhisham, 38.

Kejadian didakwa berlaku di Lot No. 2001, Jalan Tanjung Layang, Tanjung Sepat, Banting dekat sini antara pukul 8.30 malam dan 9.45 malam, 30 Ogos tahun lalu.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Akhtar Tahir yang masuk hari keenam bersambung esok.

No comments:

Post a Comment