Tidak temui mayat di lokasi didakwa
Oleh NOOR AZMAH IBRAHIM
pengarang@utusan.com.my
SHAH ALAM 14 Julai – Seorang pegawai polis memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini bahawa beliau tidak menemui mayat atau sebarang tulang manusia di Ladang Gadong, Banting dekat sini yang didakwa menjadi lokasi pembunuhan Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga lagi.
Supritendan Denis Leong Sung Kuai (gambar), 49, mengakui gagal menjumpai bukti-bukti tersebut walaupun turut menggunakan khidmat Unit Anjing Pengesan (K9) semasa membuat pemeriksaan bersama pasukannya dalam operasi mencari mangsa-mangsa pada 9, 10 dan 11 September tahun lalu.
Beliau yang merupakan pegawai staf, Unit Siasatan Khas, Cawangan Jenayah Berat (D9), Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor berkata, kerja-kerja menggali di beberapa bahagian dalam ladang kelapa sawit itu juga tidak mendatangkan hasil yang positif.
‘‘Kami membawa anjing untuk melakukan pemeriksaan sekiranya terdapat mayat ditanam di kawasan ladang tersebut pada 9 September 2010.
‘‘Jengkaut juga digunakan untuk kerja-kerja menggali di bahagian hadapan, berhampiran rumah kayu atau sangkar burung dan pondok rehat di dalam kawasan ladang itu,’’ katanya ketika menjawab soalan peguam Gurbachan Singh yang mewakili tertuduh kedua, T. Thilaiyalagan.
Beliau berkata demikian semasa memberi keterangan dalam perbicaraan kes pembunuhan Sosilawati, 47, pemandunya, Kamaruddin Shamsuddin, 47; peguam, Ahmad Kamil Abd. Karim, 32; dan pegawai Bank CIMB cawangan Kampung Baru, Noorhisham Mohamad, 38.
Bekas peguam, N. Pathmanabhan, 42; bersama tiga pekerja ladangnya, Thilaiyalagan, 20, R. Matan, 21, dan R. Kathavarayan, 31, didakwa membunuh kesemua mangsa di Lot No. 2001, Jalan Tanjung Layang, Tanjung Sepat, Banting dekat sini antara pukul 8.30 malam dan 9.45 malam, 30 Ogos tahun lalu.
Mereka dibicarakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.
Sementara itu, Ketua Pasukan Siasatan Tempat Kejadian (CSI) di Makmal Forensik, Asisten Superintendan (ASP) Zainol Hisham Abu, 40, pula memberitahu, beliau membuat lakaran rajah kasar tempat kejadian jenayah di Sungai Panchau, Banting pada 12 September 2010 atas arahan ketuanya, Supritendan Azari Abdul Rahman .
Saksi pendakwaan ke-28 itu berkata, semasa berada di lokasi tersebut, beliau turut melihat tiga juruselam daripada Pasukan Gerakan Marin Wilayah 1, Pulau Pinang sedang mencari bahan bukti di dalam sungai itu.
‘‘Apabila bahan bukti ditemui, mereka akan menyerahkan kepada Azari. Saya cuma bantu kendalikan barang-barang kes,’’ katanya semasa disoal oleh Timbalan Pendakwa Raya, Idham Abd Ghani.
Semasa memberi keterangan, Zainol Hisham pada awalnya dilihat tidak selesa sehingga menyebabkan Idham bertanyakan sekiranya saksi sedang menggigil.
Saksi yang ketawa mendengar soalan itu mengakui menggigil. Beliau kemudiannya dilihat tenang sehingga selesai memberi keterangan.
Koperal Merzuki Shahrim yang mengetuai operasi pencarian di Sungai Pancau dalam keterangannya pada Isnin lalu memberitahu, beliau menjumpai beberapa bahan bukti termasuk serpihan-serpihan disyaki tulang di dalam sungai tersebut.
Beliau yang memberi keterangan sebagai saksi pendakwaan ke-22 juga mengesahkan menemui gulungan dawai, cebisan logam dengan kesan terbakar, sebilah pisau, guni plastik bertulis Tapioca 50 KG dan anak kunci di lokasi yang sama.
Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Akhtar Tahir yang masuk hari kesembilan bersambung pada 25 Julai ini.
No comments:
Post a Comment