Bicara kes bunuh Sosilawati, tiga individu lain mula esok
03/07/2011 2:28pm
SHAH ALAM 3 Julai — Perbicaraan kes pembunuhan kejam jutawan kosmetik Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga individu lain akan berlangsung selama tiga bulan di Mahkamah Tinggi di sini bermula esok.
Perbicaraan kes itu akan didengar di hadapan Hakim Datuk Akhtar Tahir dengan kira-kira 50 saksi pendakwaan dijangka dipanggil memberi keterangan.
Kes itu membabitkan bekas peguam, N. Pathmanabhan dan tiga pekerja ladang, T. Thilaiyagan, R. Matan dan R. Khatavarayan, yang mengaku tidak bersalah membunuh Sosilawati, 47, pegawai bank Noorhisham Mohamad, 38, peguam Ahmad Kamil Abdul Karim, 32, dan pemandu Sosilawati, Kamaruddin Shamsuddin, 44.
Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di Lot no 2001 Jalan Tanjung Layang, Tanjung Sepat, Banting, pada 30 Ogos tahun lepas.
Pathmanabhan, 42, Thilaiyagan, 20, Matan, 21, dan Khatavarayan, 31, didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan. — Bernama
No comments:
Post a Comment