Panggilan 'Datuk Pathma 2' dalam telefon mangsa bunuh
SHAH ALAM 30 Nov. - Seorang pegawai polis memaklumkan Mahkamah Tinggi di sini hari ini, rekod panggilan salah sebuah telefon pintar iaitu jenis BlackBerry warna putih menunjukkan ada menerima dua panggilan daripada satu nombor yang disimpan atas nama 'Datuk Pathma 2'.
Panggilan pertama daripada 'Datuk Pathma 2' dari nombor 0162045518 merupakan panggilan tidak berjawab (missed call) diterima kira-kira pukul 4.22 petang manakala panggilan kedua yang dijawab daripada nombor yang sama diterima pada pukul 6 petang, 30 Ogos tahun lalu.
Pada prosiding sebelum ini, dua telefon bimbit BlackBerry telah dicam sebagai milik dua mangsa iaitu peguam, Ahmad Kamil Abd. Karim (BlackBerry putih) dan pegawai Bank CIMB cawangan Kampung Baru, Noorhisham Mohamad (BlackBerry hitam).
Selain panggilan 'Datuk Pathma 2', Asisten Supritendan (ASP) Mohd. Zulkifly Mohd. Isa, 31, turut menyatakan, rekod panggilan masuk turut mencatatkan telefon bimbit terbabit ada menerima panggilan daripada nombor 0127778017 yang disimpan atas nama 'Rita' kira-kira pukul 6.53 petang hari yang sama.
Saksi pendakwa ke-76 yang merupakan juruanalisis kanan Seksyen Jenayah Komputer, Ibu Pejabat Polis Bukit Aman berkata demikian ketika disoal pada pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nur Azimul Azami hari ini.
Bagaimanapun, ketika disoal balas oleh peguam bela, Amer Hamzah Arshad mengakui tidak mengetahui bila nama 'Datuk Pathma 2' dimasukkan atau mula disimpan di dalam senarai pemanggil (contact list) telefon terbabit.
Sementara itu, dua saksi pendakwa, M. Nalaraja, 56, dan Lim Chai Soon, 38, yang bekerja sebagai individu yang menguruskan pembakaran mayat bukan Islam, memberitahu mahkamah bahawa Sungai Panchau bukan tempat pembuangan abu-abu mayat.
Sebaliknya, ujar Nalaraja, abu mayat kebiasaannya di buang di sebuah tempat di hadapan Taman Panjau berhadapan Estet Klang yang turut mempunyai pondok untuk upacara sembahyang.
Sejurus tamat prosiding, ketika dibawa keluar menuju ke lif mahkamah, bekas peguam N. Pathmanabhan, 42, tiba-tiba memarahi jurugambar Utusan Malaysia, Mohd. Shaharani Saibi yang sedang mengambil gambar kesemua tertuduh.
Tidak cukup dengan itu, lelaki terbabit dengan kasar turut menyamakan tubuh badan jurugambar tersebut dengan seekor haiwan yang haram dimakan oleh umat Islam.
Pathmanabhan dan tiga pekerja ladangnya, T. Thilaiyalagan, 20; R. Matan, 21; dan R. Kathavarayan, 31; didakwa membunuh Sosilawati, 47, pemandunya, Kamaruddin Shamsuddin, 44; Ahmad Kamil, 32; dan Noorhisham, 38.
Mereka didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan itu di Lot No. 2001, Jalan Tanjung Layang, Tanjung Sepat, Banting dekat sini antara pukul 8.30 malam dan 9.45 malam, 30 Ogos tahun lalu.
Perbicaraan yang masuk hari ke-54 di hadapan Hakim Datuk Akhtar Tahir bersambung pada 9 Januari 2012.
No comments:
Post a Comment