Perbicaraan tangguh, lebih 1,000 dokumen perlu diteliti
SHAH ALAM 17 Nov. - Perbicaraan kes pembunuhan jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga lagi yang dijadualkan hari ini dan esok terpaksa ditangguhkan bagi memberi peluang kepada pihak pembelaan meneliti lebih 1,000 dokumen yang diserahkan oleh pihak pendakwaan semalam.
Hakim Mahkamah Tinggi di sini, Datuk Akhtar Tahir menetapkan 29 dan 30 November ini untuk sambung bicara selepas membenarkan permohonan penangguhan yang turut dibuat oleh pihak pendakwaan.
Kata beliau, penangguhan itu juga diizinkan memandangkan Timbalan Pendakwa Raya, Idham Abdul Ghani dan peguam Gurbachan Singh tidak sihat, manakala seorang lagi peguam, Ravi Nekoo terpaksa menghadiri perbicaraan di mahkamah lain.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Ishak Mohd. Yusoff memberitahu, pihaknya telah bersedia dengan saksi pendakwaan ke-76 iaitu pegawai polis daripada bahagian forensik komputer.
Bagaimanapun, katanya, beliau dimaklumkan pihak pembelaan memerlukan masa untuk meneliti kesemua dokumen berkaitan sebelum saksi itu memberi keterangan.
Sementara itu, Manjeet Singh Dhillon yang mengetuai barisan pembelaan pula memaklumkan pihaknya telah menerima lebih 1,000 dokumen yang dimuatkan dalam cakera padat (CD) dan cakera digital video (DVD) daripada pihak pendakwaan semalam.
Katanya, selepas melihat sepintas lalu 600 hingga 700 dokumen tersebut, pihaknya mendapati terdapat dokumen-dokumen yang tidak relevan yang turut dimuatkan di dalam CD dan DVD berkenaan.
Sehubungan itu, jelas beliau, pihak pendakwaan dan pihak pembelaan bersetuju untuk mengadakan perjumpaan pada Selasa ini bagi menyemak dan memilih dokumen-dokumen yang berkaitan dengan kes itu sahaja demi menjimatkan masa mahkamah.
Dalam kes ini, bekas peguam, N. Pathmanabhan, 42; bersama tiga pekerja ladangnya, T. Thilaiyalagan, 20; R. Matan, 21; dan R. Kathavarayan, 31; didakwa membunuh Sosilawati, 47; pemandunya, Kamaruddin Shamsuddin, 44; peguam, Ahmad Kamil Abd. Karim, 32; dan pegawai Bank CIMB cawangan Kampung Baru, Noorhisham Mohammad, 38.
Mereka didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan itu di Lot No. 2001, Jalan Tanjung Layang, Tanjung Sepat, Banting dekat sini antara pukul 8.30 malam dan 9.45 malam, 30 Ogos tahun lalu.
Pada prosiding hari ini, mahkamah turut menetapkan perbicaraan selama sembilan hari pada Januari dan enam hari pada Februari 2012.
Pihak pendakwaan juga dijangka menutup kes mereka pada tarikh terakhir yang ditetapkan iaitu 10 Februari tahun depan.
No comments:
Post a Comment