Friday, November 11, 2011

xpuas hati

Peguam tidak puas hati jawapan pegawai perubatan

SHAH ALAM 11 Nov. – Jawapan tidak ingat dan tidak pasti yang kerap diberikan oleh seorang pegawai perubatan semasa disoal balas dalam perbicaraan kes pembunuhan Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga lagi telah menimbulkan rasa tidak puas hati seorang peguam bela dalam kes itu.

Manjeet Singh Dhillon yang mewakili tertuduh pertama, N. Pathmanabhan mempersoalkan jawapan Dr. Ahmad Hafizam Hasmi semasa saksi itu ditanya tentang apa yang berlaku ketika beliau membantu pasukan forensik polis membuat pencarian di Ladang Gadong pada 14 September 2010.

Sedangkan semasa disoal oleh pihak pendakwaan, saksi dapat mengingati semua perkara yang dilakukan semasa beliau ke Batu Pahat, Johor dan Seremban, Negeri Sembilan bagi mengambil contoh darah ibu Sosilawati dan ibu bapa seorang lagi mangsa sehari selepas itu.

Beliau yang memberi keterangan di Mahkamah Tinggi di sini juga sebelum itu menceritakan apa yang dilakukan pada 21 dan 22 September 2010 apabila X-ray yang dibuat ke atas spesimen-spesimen kemungkinan besar tulang manusia di Jabatan Perubatan Forensik, Hospital Kuala Lumpur (HKL).

‘‘Awak boleh ingat semasa pergi ke Batu Pahat dan Seremban pada 15 September tahun lepas dan mengenai pemeriksaan X-ray pada 21 dan 22 September, tetapi bila tanya tentang 14 September awak lupa. Ada orang suruh awak jangan beritahu apa berlaku pada 14 September?’’ soal Manjeet.

Ahmad Hafizam, 32, yang merupakan saksi pendakwaan ke-70 bagaimanapun memberitahu, beliau tidak dapat mengingati semula apa yang berlaku pada hari tersebut dan bukannya diarah oleh sesiapa untuk tidak menceritakannya.

Semasa ditanya, katanya, beliau tidak ingat sama ada pihak polis memberi taklimat sebelum pencarian dibuat, siapa yang menjumpai sebarang objek serta berapa jam mereka berada di ladang itu.

‘‘Tidak, memang saya tidak ingat, tidak boleh recall (mengingati) apa yang dijumpai di Ladang Gadong. Ada orang yang jumpa sesuatu tetapi saya tidak pasti apa (yang dijumpai),’’ kata beliau.

Saksi itu turut menjelaskan, beliau mampu mengingati apa yang berlaku di Batu Pahat dan Seremban kerana beliau sendiri memantau pengambilan sampel darah, sedangkan peranan di Ladang Gadong, beliau hanya sekadar membantu.

Dalam kes ini, bekas peguam, Pathmanabhan, 42; bersama tiga pekerja ladangnya, T. Thilaiyalagan, 20; R. Matan, 21; dan R. Kathavarayan, 31; didakwa membunuh Sosilawati, 47; pemandunya, Kamaruddin Shamsuddin, 44; peguam, Ahmad Kamil Abd. Karim, 32; dan pegawai Bank CIMB cawangan Kampung Baru, Noorhisham Mohamad, 38.

No comments:

Post a Comment