Tuesday, November 15, 2011

tulang

25 spesimen tulang manusia


N. Pathmanabhan (depan) bersama tertuduh lain di Mahkamah Tinggi Shah Alam, semalam.


SHAH ALAM 15 Nov. - Seorang pakar radiologi memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini bahawa 25 spesimen tulang berkaitan kes pembunuhan Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga lagi yang diperiksa secara fizikal serta melalui imej X-ray pada September tahun lalu mungkin tulang manusia.
Dr. Zaleha Abd. Manaf, 52, yang juga Ketua Jabatan Radiologi di Hospital Kuala Lumpur (HKL) berkata, spesimen itu dipilih dan diperiksa selepas pakar perubatan forensik dari hospital yang sama, Dr. Nurliza Abdullah merujuk filem-filem X-ray kepadanya untuk pemeriksaan radiologi.
Menurut beliau, imej X-ray serpihan tulang-tulang itu juga mempunyai tanda-tanda keretakan yang melintang dan melengkung menunjukkan ia terdedah kepada kesan haba atau kepanasan.
''Saya telah lihat pada fizikal spesimen secara kasar dan hubung kait dengan imej-imej X-ray untuk buat kesimpulan bahawa ada kemungkinan ia adalah tulang-tulang manusia.
''Saya tidak lihat kepada spesimen lain secara fizikal kerana berdasarkan pemeriksaan X-ray, tulang-tulang lain itu tidak mempunyai ciri-ciri atau bentuk yang mencukupi untuk membuat kesimpulan bahawa serpihan tulang itu adalah tulang manusia,'' jelas beliau.
Dalam kes ini, bekas peguam, N. Pathmanabhan, 42; bersama tiga pekerja ladangnya, T. Thilaiyalagan, 20; R. Matan, 21; dan R. Kathavarayan, 31; didakwa membunuh Sosilawati Lawiya , 47; pemandunya, Kamaruddin Shamsuddin, 44; peguam, Ahmad Kamil Abd. Karim, 32; dan pegawai Bank CIMB cawangan Kampung Baru, Noorhisham Mohammad, 38.
Kejadian didakwa berlaku di Lot No. 2001, Jalan Tanjung Layang, Tanjung Sepat, Banting dekat sini antara pukul 8.30 malam dan 9.45 malam, 30 Ogos tahun lalu.
Mereka dibicarakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan,
Semasa disoal balas oleh peguam Manjeet Singh Dhillon yang mewakili Pathmanabhan, saksi mengakui bahawa kesimpulan beliau tidak 100 peratus tepat berbanding kesimpulan yang dibuat oleh Nurliza.
Katanya, beliau hanya membuat interpretasi imej-imej berdasarkan pemeriksaan X-ray berbanding Nurliza yang merupakan pakar forensik antropologi atau pakar tulang.
Terdahulu, saksi itu memberitahu, beliau diserahkan dengan empat sampul yang mengandungi 31 filem X-ray tulang-tulang yang dijumpai di Sungai Panchau dan Ladang Gadong pada 22 September 2010.
Selepas memeriksa kesemua filem tersebut, beliau meminta untuk memeriksa 25 spesimen tulang secara fizikal sebelum memutuskan ia mungkin tulang manusia.
Pada prosiding hari ini, tiga juru X-ray yang mengambil gambar dengan menggunakan X-ray ke atas kesemua spesimen tersebut, Azahari Zaini, Mohd. Faris Kamaruzaman dan Zubir Ahmad Shazli turut memberi keterangan serta mengesahkan filem-filem X-ray.
Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Akhtar Tahir yang masuk hari ke-50 bersambung esok.

No comments:

Post a Comment