7 spesimen disahkan gigi manusia
Oleh NOOR AZMAH IBRAHIM
pengarang@utusan.com.my
SHAH ALAM 10 Nov. - Seorang pegawai pergigian forensik di Hospital Kuala Lumpur (HKL) hari ini mengesahkan bahawa tujuh daripada 10 gigi yang ditemui di Sungai Panchau serta Ladang Gadong, Banting dekat sini merupakan gigi manusia.
Dr. Norhayati Jaffar, 38, yang memberi keterangan di Mahkamah Tinggi di sini berkata, kesimpulan itu dibuat berdasarkan saiz, bentuk akar dan permukaan gigi tersebut selepas kesemuanya diperiksa secara fizikal serta menggunakan X-ray antara 17 dan 19 September tahun lalu.
Beliau yang merupakan saksi pendakwaan ke-69 dalam perbicaraan kes bunuh jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga lagi turut mengesahkan kesemua spesimen bertanda S yang merujuk kepada Sungai Panchau itu merupakan satu gigi kacip bawah, empat geraham besar dan dua geraham kecil.
"Melalui X-ray, saya dapati gigi-gigi tersebut mempunyai tisu gigi yang biasa kelihatan pada gigi manusia serta rongga kosong di dalamnya yang dipanggil pulpa.
"Jika dibandingkan dengan gigi haiwan, persamaan yang paling hampir dengan gigi manusia ialah gigi monyet besar atau Apes, tetapi saiz giginya secara keseluruhan lebih besar daripada gigi manusia,'' jelasnya semasa disoal oleh Timbalan Pendakwa Raya, Ishak Mohd. Yusoff.Dalam kes ini, bekas peguam, N. Pathmanabhan, 42; bersama tiga pekerja ladangnya, T. Thilaiyalagan, 20; R. Matan, 21; dan R. Kathavarayan, 31; didakwa membunuh Sosilawati, 47; pemandunya, Kamaruddin Shamsuddin, 44; peguam, Ahmad Kamil Abd. Karim, 32; dan pegawai Bank CIMB cawangan Kampung Baru, Noorhisham Mohamad, 38.
Kejadian didakwa berlaku di Lot No. 2001, Jalan Tanjung Layang, Tanjung Sepat, Banting dekat sini antara pukul 8.30 malam dan 9.45 malam, 30 Ogos tahun lalu.
Semasa dirujuk kepada rekahan yang terdapat pada gigi tersebut, Norhayati berpendapat, ia disebabkan oleh pendedahan kepada suhu yang amat tinggi.
Jelasnya, berdasarkan enamel pada gigi-gigi yang telah terpisah daripada dentin, ia telah terdedah kepada suhu 750 darjah Celsius.
Sementara tiga lagi sampel yang ditemui di Ladang Gadong disahkan oleh beliau bukan gigi manusia tetapi gigi binatang pemakan rumput seperti lembu, kambing atau biri-biri.
Kata Norhayati, ia berdasarkan tekstur permukaan gigi yang berlainan dengan gigi manusia yang mana ia tidak rata dan mengeluarkan serbuk apabila dikikis.
"Binatang itu hanya sebagai contoh kerana saya tidak boleh memberikan jawapan dengan pasti melainkan jika melakukan ujian seperti asid deoksiribonukleik (DNA) atau jika sampel itu dirujuk kepada pakar veterinar,'' katanya lagi.
Sementara itu, Cif Inspektor Lim Ah Leng dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur pula mengesahkan beliau telah pergi ke Batu Pahat, Johor dan Seremban, Negeri Sembilan pada 15 September 2010.
Katanya, beliau bersama pegawai perubatan dan jururawat kanan daripada HKL diarah ke dua-dua tempat tersebut bagi mendapatkan sampel darah ibu Sosilawati dan ibu bapa Ahmad Kamil untuk tujuan perbandingan DNA.
Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Akhtar Tahir yang masuk hari ke-48 bersambung esok.
TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:
No comments:
Post a Comment