19 spesimen tulang manusia?

Pathmanabhan dan dua tertuduh lain diiringi keluar anggota polis pada perbicaraan kes bunuh Sosilawati dan tiga yang lain di Mahkamah Tinggi, Shah Alam, semalam. - UTUSAN/Hafiz Johari
SHAH ALAM 3 Nov. - Seorang pakar perubatan forensik dari Hospital Kuala Lumpur (HKL) mengesahkan sebanyak 19 daripada 26 spesimen yang dijumpai di Ladang Gadong iaitu tempat Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga lagi dikatakan dibunuh pada 30 Ogos tahun lalu kemungkinan besar adalah tulang manusia.
Dr. Nurliza Abdullah, 46, yang memberi keterangan di Mahkamah Tinggi di sini hari ini berkata, pemeriksaan beliau dan seorang lagi pakar ke atas 2,014 spesimen yang dijumpai di dalam Sungai Panchau, Banting pula mendapati 2,011 daripadanya menunjukkan hasil yang sama.
Menurut beliau, dua daripadanya merupakan tulang leher odontoid yang sekali gus menunjukkan kesemua tulang tersebut kepunyaan sekurang-kurangnya dua individu.
"Hasil pemeriksaan ke atas 2,040 spesimen yang dipercayai tulang dan gigi yang dijumpai di Sungai Panchau dan Ladang Gadong, sebanyak 2,030 daripadanya adalah kemungkinan besar tulang atau gigi manusia.
"Dua daripadanya merupakan bahagian tulang leher odontoid dan setiap manusia hanya mempunyai satu tulang tersebut. Kedua-duanya merupakan spesimen yang ditemui di Sungai Panchau.
"Saya hanya beri kebarangkalian secara subjektif. Secara kasar, saya katakan hasil pemeriksaan berdasarkan ciri-ciri morfologi, struktur anatomi dan osteologi, saya hanya boleh katakan berkemungkinan besar tulang manusia," jelas beliau.
Menurut saksi pendakwaan ke-62 itu, hasil pemeriksaan dari 15 sehingga 18 September 2010 mendapati kesemua spesimen atau tulang tersebut mempunyai kesan-kesan pendedahan kepada suhu atau haba yang amat tinggi iaitu 800 darjah Celsius ke atas.
Kesan perubahan pada struktur tulang-tulang itu pula menunjukkan kesemuanya masih mempunyai daging atau isi yang terlekat padanya semasa terdedah kepada haba atau terbakar.
"Hasil pemeriksaan mendapati item atau spesimen ini menunjukkan kesan-kesan pembakaran berdasarkan perubahan warnanya daripada coklat kegelapan sehingga kehitaman dan perubahan warna kelabu kebiruan sehingga keputihan.
"Terdapat kesan retakan, rekahan serta belahan secara melintang dan melengkung serta berlakunya perubahan bentuk atau struktur tulang yang menunjukkan masa didedahkan kepada suhu atau haba yang amat tinggi, ia adalah tulang atau jasad yang berdaging," katanya.
Dalam kes ini, bekas peguam, N. Pathmanabhan, 42; bersama tiga pekerja ladangnya, T. Thilaiyalagan, 20; R. Matan, 21; dan R. Kathavarayan, 31; didakwa membunuh jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya , 47; pemandunya, Kamaruddin Shamsuddin, 44; peguam, Ahmad Kamil Abd. Karim, 32; dan pegawai Bank CIMB cawangan Kampung Baru, Noorhisham, 38.
Kejadian didakwa berlaku di Lot No. 2001, Jalan Tanjung Layang, Tanjung Sepat, Banting dekat sini antara pukul 8.30 malam hingga 9.45 malam, 30 Ogos tahun lalu.
Menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya, Saiful Edris Zainuddin, saksi memberitahu, terdapat spesimen-spesimen yang boleh dikenal pasti daripada bahagian tulang yang spesifik manakala bahagian yang tidak boleh dikenal pasti diperiksa secara berkumpulan.
Beliau bagaimanapun mengakui tidak dapat mengenal pasti jantina, umur atau ketinggian pemilik tulang-tulang itu kerana serpihannya amat kecil serta tidak boleh dicantumkan semula untuk pemeriksaan selain ia telah kehilangan bahan organik iaitu protein dan kolagen yang terkandung di dalamnya.
Sementara itu, Nurliza memaklumkan, beliau bersama tujuh lagi doktor perubatan forensik daripada beberapa hospital lain dibawa ke Ladang Gadong pada 14 September 2010 bagi membantu pihak forensik polis mencari tulang-tulang di kawasan tersebut.
Bagaimanapun, kesemua spesimen yang dijumpai pada hari itu diserahkan oleh pihak polis kepada beliau dua hari kemudian sementara bahan-bahan bukti yang dijumpai sebelum itu diserahkan pada 13 September 2010 untuk diperiksa.
Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Akhtar Tahir yang masuk hari ke-44 bersambung esok.
TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:
No comments:
Post a Comment