Nurliza nafi memihak pendakwaan
Oleh NOOR AZMAH IBRAHIM
pengarang@utusan.com.my
SHAH ALAM 8 Nov. - Pakar perubatan forensik, Dr. Nurliza Abdullah hari ini menafikan memberi keterangan yang memihak kepada pihak pendakwaan apabila beliau membuat kesimpulan bahawa 2,030 daripada 2,040 spesimen yang ditemui di Ladang Gadong dan Sungai Panchau adalah berkemungkinan besar tulang manusia.
Beliau yang memberi keterangan di Mahkamah Tinggi di sini sejak Rabu lalu menyatakan tidak bersetuju apabila dicadangkan demikian semasa disoal balas oleh peguam Manjeet Singh Dhillon yang mewakili tertuduh pertama, N. Pathmanabhan.
Nurliza juga memberi jawapan yang sama apabila peguam Amer Hamzah Arshad yang mewakili tertuduh ketiga, R. Matan, mencadangkan bahawa jawapan ''kemungkinan besar tulang manusia'' diberi bagi memastikan ia selaras dengan perkataan spesimen disyaki tulang manusia yang tertulis pada borang serahan bahan-bahan bukti.
Sebaliknya, pakar tersebut menyatakan, kesimpulan itu dibuat berdasarkan hasil pemeriksaan dan pemerhatian yang dilakukan ke atas semua spesimen yang diserahkan oleh pihak forensik polis kepadanya.
''Saya katakan ia berkemungkinan besar tulang manusia berdasarkan morfologi unik tulang manusia yang ada pada spesimen tersebut. Uniknya berdasarkan ketebalan korteks. Kami buat perbandingan ketebalannya dengan tulang manusia yang ada,'' jelas beliau.
Dalam kes ini, bekas peguam, Pathmanabhan, 42; bersama tiga pekerja ladangnya, T. Thilaiyalagan, 20; Matan, 21; dan R. Kathavarayan, 31; didakwa membunuh jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya , 47; pemandunya, Kamaruddin Shamsuddin, 44; peguam, Ahmad Kamil Abd. Karim, 32; dan pegawai Bank CIMB cawangan Kampung Baru, Noorhisham, 38.
Kejadian didakwa berlaku di Lot No. 2001, Jalan Tanjung Layang, Tanjung Sepat, Banting dekat sini antara pukul 8.30 malam dan 9.45 malam, 30 Ogos tahun lalu.
Nurliza yang bertugas di Jabatan Perubatan Forensik, Hospital Kuala Lumpur (HKL) serta mempunyai kepakaran dalam bidang forensik antropologi bagaimanapun mengaku tidak memeriksa lanjut spesimen bukan tulang manusia atau tulang haiwan kerana tidak mempunyai kepakaran serta tidak pernah melakukannya.
Saksi pendakwaan ke-63 itu juga mengakui bahawa serpihan tulang pelvik yang dikenal pasti daripada spesimen tersebut tidak diketahui sama ada ia milik wanita atau lelaki di samping mengakui kemungkinan tulang tersebut adalah tulang pelvik binatang.
Beliau bagaimanapun menafikan mengambil inisiatif menghantar sebahagian spesimen tersebut untuk ujian radiografi, mikroskopik tulang dan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) kerana tidak yakin dengan hasil pemeriksaannya sebaliknya ia hanya untuk ujian lanjut.
Sepanjang sesi pemeriksaan balas, peguam-peguam turut mempersoalkan kaedah yang digunakan oleh Nurliza sehingga membawa kepada kesimpulan bahawa 2,030 spesimen itu berkemungkinan besar tulang manusia.
Walaupun diasak bertubi-tubi, beliau yang pernah memberi keterangan dalam perbicaraan kes pembunuhan wanita Mongolia, Altantuya Shaariibuu bagaimanapun kelihatan tenang.
Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Akhtar Tahir yang masuk hari ke-46 bersambung esok.
TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:
No comments:
Post a Comment