Punca gagal kesan tarikh tepat
Oleh NOOR AZMAH IBRAHIM
pengarang@utusan.com.my
SHAH ALAM 9 Jan. - Seorang pegawai polis memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini bahawa empat daripada 11 unit pemprosesan pusat (CPU) dan komputer riba yang dianalisis berhubung siasatan kes pembunuhan Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga lagi, dua tahun lalu menunjukkan perbezaan masa lebih 10 tahun dengan tarikh terkini.
Inspektor Suzana Zainal Abidin, 31, semasa memberi keterangan sebagai saksi pendakwaan ke-79 berkata, perbezaan tersebut menyebabkan beliau gagal memperolehi masa dan tarikh yang tepat bila dokumen-dokumen di dalamnya dicipta, disimpan, disunting dan dicetak.
Menurut beliau yang yang bertugas sebagai juruanalisis di Seksyen Jenayah Komputer, Makmal Forensik Polis Diraja Malaysia (PDRM), ia terbukti apabila beberapa dokumen daripada CPU dan komputer riba tersebut menunjukkan tarikh ia dicetak dan disimpan lebih awal dari tarikh dokumen tersebut dicipta.
''Perbezaan masa berlaku berikutan bateri di dalam CPU lemah atau rosak. Masa di dalam CPU diaktifkan menggunakan bateri apabila tiada bekalan elektrik disalurkan,'' jelas beliau.
Dalam kes ini, bekas peguam, N. Pathmanabhan dan tiga pekerja ladangnya, T. Thilaiyalagan, 20, R. Matan, 21, dan R. Kathavarayan, 31, didakwa membunuh Sosilawati, 47, pemandunya, Kamaruddin Shamsuddin, 44; peguam, Ahmad Kamil Abd. Karim, 32; dan pegawai Bank CIMB cawangan Kampung Baru, Noorhisham Mohamad, 38.
Mereka didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan itu di Lot No. 2001, Jalan Tanjung Layang, Tanjung Sepat, Banting dekat sini antara pukul 8.30 malam dan 9.45 malam, 30 Ogos 2010.
Menurut Suzana, beliau menerima sembilan CPU dan dua unit komputer riba daripada Pegawai Penyiasat, Asisten Supritendan (ASP) Ishak Yaakob dan kerja-kerja menganalisis bahan-bahan bukti itu dilakukan selama lapan hari bermula 15 September 2010.
Beliau turut memaklumkan menerima kata-kata kunci daripada Ishak untuk membuat carian fail dan dokumen di dalam CPU dan komputer riba itu seperti Vine Land, Palil, Ample, Southern, Lee dan lain-lain lagi.
Katanya, antara dokumen yang ditemui dan dicetak adalah perjanjian jual beli dan memorandum persefahaman yang kesemuanya dimuatkan dalam tiga laporan hasil analisis.
Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Akhtar Tahir yang masuk hari ke-55 bersambung esok.
No comments:
Post a Comment