Wednesday, January 25, 2012

tidur mati

Saksi mendakwa tidur ‘mati’

Oleh NOOR AZMAH IBRAHIM
pengarang@utusan.com.my

SHAH ALAM 25 Jan. - Seorang saksi memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini bahawa dia tidak mendengar atau melihat sebarang kejadian yang berlaku di Ladang Gadong pada malam 30 Ogos 2010, hari Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga lagi dikatakan dibunuh kerana tidur sejak pukul 6 petang sehingga keesokan hari.

R. Vakasan, 20, yang mengaku bekerja di ladang itu pada tarikh tersebut berkata, dia hanya mendengar bunyi enjin kereta semasa sedang menonton televisyen bersama bapa tertuduh keempat, R. Kathavarayan sebelum terlena.

‘‘Pada jam lebih kurang pukul 6 petang, 30 Ogos 2010, saya telah pergi ke rumah yang terletak di hadapan ladang. Di rumah tersebut, saya bersama ayah Kathavarayan sedang menonton televisyen.

‘‘Saya ada dengar bunyi kereta, selepas itu saya telah tidur. Saya bangun keesokan hari. Setelah bangun, saya bekerja di ladang. Saya beri makanan kepada ayam, Thilaiyalagan (tertuduh kedua) beri makanan kepada kambing,’’ katanya semasa menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya, Ishak Mohd. Yusoff.

Vakasan yang merupakan saksi pendakwaan ke-89 berkata, pada pukul 6 petang keesokan harinya, seorang lagi pekerja ladang yang sama, U. Suresh datang dan bertanya sama ada dia mahu pulang ke rumah atau tidak.

Katanya, dia telah diberikan wang RM800 oleh Kathavarayan sebagai upah bekerja di ladang itu sebelum dihantar pulang ke rumah oleh Suresh.

Ishak dalam ucapan pembukaan pada 4 Julai tahun lalu mengatakan seorang saksi bernama R. Vakasan akan dipanggil untuk mengesahkan bahawa dia nampak Sosilawati datang dengan kereta BMW hitam bersama tiga lelaki Melayu kira-kira pukul 6.40 petang, 30 Ogos 2010 serta mengecam Sosilawati.

Berikutan percanggahan keterangan itu, Ishak hari ini mengemukakan permohonan untuk menjadikan Vakasan sebagai saksi berpaling tadah mengikut Seksyen 154 Akta Keterangan 1950.

Permohonan itu bagaimanapun ditolak oleh mahkamah atas alasan ia tidak berasas serta tiada sebarang rekod menunjukkan wujudnya percanggahan dalam keterangan lelaki itu.

Dalam kes ini, bekas peguam, N. Pathmanabhan dan tiga pekerja ladangnya, T. Thilaiyalagan, 20, R. Matan, 21, dan Kathavarayan, 31, didakwa membunuh Sosilawati, 47; pemandunya, Kamaruddin Shamsuddin, 44; peguam, Ahmad Kamil Abd. Karim, 32; dan pegawai Bank CIMB cawangan Kampung Baru, Noorhisham Mohamad, 38.

Mereka didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan itu di Lot No. 2001, Jalan Tanjung Layang, Tanjung Sepat, Banting dekat sini antara pukul 8.30 malam dan 9.45 malam, 30 Ogos 2010.

Sementara itu, Vakasan yang kini bekerja sebagai pengawal keselamatan turut mengesahkan Thilaiyalagan dan Kathavarayan bersama isteri masing-masing, Matan dan seorang pekerja Indonesia bernama Siti tinggal di ladang yang sama.

Dia bagaimanapun tidak mengetahui siapa pemilik ladang itu dan sempat bekerja sebagai pemberi makanan kepada ayam dan anjing di situ selama enam bulan tanpa langsung pulang ke rumah.

Pada prosiding hari ini, saksi pendakwaan ke-32, pegawai soal siasat dari Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Bukit Aman Cif Inspektor N. Govindan turut menyambung keterangan selepas tampil di mahkamah kira-kira lima bulan lalu.

Semasa disoal balas oleh peguam yang mewakili Pathmanabhan, Manjeet Singh Dhillon, beliau menafikan wujudnya pakatan untuk membebaskan Thilaiyalagan, Matan, Kathavarayan, Suresh dan seorang lagi pekerja ladang, K. Sarawanan dengan jaminan.

Govindan juga mengakui kesemua suspek digari pada tangan walaupun dikawal rapi oleh puluhan anggota polis semasa dibawa ke beberapa tempat untuk mencari bahan-bahan bukti di sekitar Banting pada September dua tahun lalu kerana tidak dapat menduga apa yang bakal berlaku.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Akhtar Tahir yang masuk hari ke-58 bersambung esok.

No comments:

Post a Comment