Thursday, January 12, 2012

resit bank

Resit bank Shafik ditemui

Oleh NOOR AZMAH IBRAHIM
pengarang@utusan.com.my

SHAH ALAM 12 Jan. – Seorang bekas pegawai polis forensik memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini bahawa satu resit Affin Bank atas nama Shafik Abdullah antara barangan yang ditemui hasil pemeriksaan ke atas dua kenderaan yang ditemui di Ladang Gadong pada September 2010.

Saksi pendakwaan ke-84, Ooi Chew Peng, 52, berkata, turut ditemui semasa pemeriksaan ke atas kereta Honda Prelude dan Isuzu pada 10 September 2010 adalah bil elektrik atas nama M. Govindan Rajan, resit Hotel Comfort, dua salinan laporan perubatan dan salinan pasport atas nama Grace Gomez, salinan kad pengenalan serta resit-resit lain.

Beliau yang pada ketika itu bertugas sebagai pegawai bantuan teknik di Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor menjelaskan, kesemua barangan yang dijumpai di dalam beg plastik biru itu serta 14 helai rambut ditanda serta diserahkan kepada pegawai penyiasat.

Tujuh hari kemudian, saksi itu memberitahu, beliau sekali lagi diarah membuat pemeriksaan ke atas kenderaan yang sama di bengkel Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Banting bersama pasukannya bagi mencari bahan bukti untuk siasatan kes pembunuhan Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga lagi.

‘‘Saya jalankan siasatan ke atas kedua-dua kenderaan tersebut. Saya kikis pasir pada penghalang lumpur tayar kanan dan kiri pemandu serta bahagian belakang. Turut dibuat calitan kapas pada stereng dan gear.

‘‘Pasir pada permaidani di bahagian but kereta turut dikumpul dan dimasukkan ke dalam balang,’’ katanya ketika menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya, Saiful Edris Zainuddin.

Dalam kes ini, bekas peguam, N. Pathmanabhan dan tiga pekerja ladangnya, T. Thilaiyalagan, 20, R. Matan, 21, dan R. Kathavarayan, 31, didakwa membunuh Sosilawati, 47, pemandunya, Kamaruddin Shamsuddin, 44; peguam, Ahmad Kamil Abd. Karim, 32; dan pegawai Bank CIMB cawangan Kampung Baru, Noorhisham Mohamad, 38.

Mereka didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan itu di Lot No. 2001, Jalan Tanjung Layang, Tanjung Sepat, Banting dekat sini antara pukul 8.30 malam dan 9.45 malam, 30 Ogos 2010.

Utusan sebelum ini melaporkan seorang suri rumah membuat laporan polis di Balai Polis Sungai Petani pada 13 April 2010 berhubung kehilangan suaminya, Mohd. Shafik Abdullah selepas lelaki mualaf itu keluar dari rumah mereka pada 5 April 2010 untuk berjumpa dengan seorang peguam di Selangor dengan menaiki kereta Honda Stream warna emas.

Sementara itu, semasa disoal balas oleh peguam Manjeet Singh Dhillon yang mewakili Pathmanabhan, saksi mengakui beliau tidak tahu bila dan bagaimana kedua-dua kenderaan tersebut dipindahkan ke IPD Banting.

Chew Peng juga mengakui bukti-bukti yang dikumpul pada 17 September 2010 tidak boleh digunakan untuk siasatan kerana ia mungkin telah tercemar atau diusik dalam tempoh tujuh hari sebelum itu semasa ditanya oleh peguam yang mewakili Matan, Amer Hamzah Arshad.

Ia berikutan saksi tersebut tidak dapat mengesahkan di mana dan bagaimana kenderaan-kenderaan itu disimpan serta dikawal pada tarikh-tarikh tersebut.

Sementara itu menurut Chew Peng, beliau dan pasukannya turut membuat pemeriksaan ke atas kereta BMW X5 dengan nombor pendaftaran WTL 11 milik Sosilawati di IPD Dang Wangi, Kuala Lumpur pada 16 September 2010.

Dalam pemeriksaan itu, pasukannya mengambil sampel tanah pada penghalang lumpur dan calitan kapas pada gear serta pemegang pembuka pintu kanan dan kiri kereta tersebut.

Terdahulu, semasa disoal balas oleh Manjeet, saksi tiba-tiba meninggikan suara dan mengingatkan peguam itu agar tidak menyentuh tentang isu persaraannya atas alasan ia tidak ada kena mengena dengan kes yang sedang dibicarakan.

Beliau berkata demikian apabila Manjeer merujuk saksi itu sebagai seorang pesara polis semasa bertanyakan soalan.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Akhtar Tahir yang masuk hari ke-57 bersambung pada 25 Januari ini.

No comments:

Post a Comment