Tulang dipotong berkecai jadi abu
Oleh NOOR AZMAH IBRAHIM
pengarang@utusan.com.my
SHAH ALAM 10 Jan. – Seorang pensyarah Patologi Forensik memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini bahawa sampel-sampel serpihan tulang berkaitan kes pembunuhan Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga lagi hancur menjadi abu apabila ia dipotong menggunakan gergaji, dua tahun lalu.
Prof. Dr. Faridah Mohd. Nor, 42, yang bertugas di Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) berkata, berikutan itu beliau tidak dapat menjalankan pemeriksaan mikroskopik terhadap sampel tersebut bagi mengenal pasti ia tulang manusia atau haiwan sebagaimana yang diminta.
‘‘Saya potong tulang itu menggunakan gergaji tangan. Semasa membuat potongan itu, tulang-tulang itu hancur menjadi abu. Selepas saya lakukan demikian pada bekas pertama yang mengandungi 12 sampel tulang, saya tidak lakukan ujian pada bekas-bekas yang lain.
‘‘Kalau tulang itu berjaya dipotong, ia akan dikisar dan diletakkan di atas slide (kepingan kaca) untuk ujian mikroskopik. Tetapi bila sudah hancur, ia tidak dapat diproses lagi,’’ jelas beliau semasa pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya, Ishak Mohd. Yusoff.
Dalam kes ini, bekas peguam, N. Pathmanabhan dan tiga pekerja ladangnya, T. Thilaiyalagan, 20, R. Matan, 21, dan R. Kathavarayan, 31, didakwa membunuh Sosilawati, 47, pemandunya, Kamaruddin Shamsuddin, 44; peguam, Ahmad Kamil Abd. Karim, 32; dan pegawai Bank CIMB cawangan Kampung Baru, Noorhisham Mohamad, 38.
Mereka didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan itu di Lot No. 2001, Jalan Tanjung Layang, Tanjung Sepat, Banting dekat sini antara pukul 8.30 malam dan 9.45 malam, 30 Ogos 2010.
Menurut Faridah, beliau menerima permohonan daripada pakar perubatan forensik dari Hospital Kuala Lumpur (HKL) Dr. Nurliza Abdullah untuk membuat ujian mikroskopik ke atas sampel-sampel itu bagi mengenal pasti ia tulang manusia atau haiwan pada 20 Oktober 2010.
Katanya, selepas menerima 10 spesimen daripada Nurliza di dalam bekas plastik, beliau mula melakukan pemeriksaan pada 27 Oktober 2010 dengan mula memotong tulang tersebut sebelum ia menjadi hancur berkecai.
Beliau kemudiannya menyerahkan semula sembilan lagi spesimen kepada Nurliza selepas gagal melakukan ujian terhadap tulang-tulang tersebut kerana ia terlalu rapuh.
Sementara itu, semasa ditanya oleh peguam yang mewakil Matan, Amer Hamzah Arshad, Faridah memberitahu bahawa mikroskopik bukan satu-satunya cara untuk mengenal pasti tulang manusia atau haiwan sebaliknya ia membantu menyokong hasil pemeriksaan morfologi ke atas tulang.
Dalam prosiding hari ini, Inspektor Syaiful Hakim Saim, 31, dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Langkawi mengesahkan beliau diarah untuk mendapatkan sampel darah ahli keluarga Kamaruddin iaitu Nor Fazilah Sani, Balkis Dayana Kamaruddin dan Izran Akmal Kamaruddin pada 23 September 2010.
Sementara itu, Inspektor Chien Wen Sin, 20, pula diarah mengambil sampel darah Ibu Noorhisham, Satinah Mokhtar; ibu Kamaruddin, Zainab Ahmad; dan anak Sosilawati, Erni Erinawati Sofia Buhari untuk ujian asid deoksiribonukleik (DNA).
Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Akhtar Tahir yang masuk hari ke-56 bersambung pada Khamis ini.
No comments:
Post a Comment