DNA tiga mangsa pada kayu kriket, zink
SHAH ALAM 31 Jan. - Seorang ahli kimia hari ini mengesahkan bahawa asid deoksiribonukleik (DNA) pegawai Bank CIMB cawangan Kampung Baru, Noorhisham Mohamad yang dibunuh bersama-sama jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya, ditemui pada sebatang kayu kriket.
Pengarah Bahagian Forensik Jabatan Kimia Malaysia, Lim Kong Boon, 58, semasa memberi keterangan di Mahkamah Tinggi di sini turut mengesahkan DNA pemandu Sosilawati, Kamaruddin Shamsuddin dan peguam, Ahmad Kamil Abd. Karim pula ditemui pada tiga keping zink.
Katanya, keputusan itu diperoleh selepas beliau membuat ujian perbandingan ke atas kesan darah dan tisu yang ditemui pada kayu kriket serta kepingan zink dengan sampel-sampel darah yang diterima bersama 152 bahan bukti daripada pegawai penyiasat, Asisten Supritendan Mohd. Ishak Yaakob dua tahun lalu.
"Kemungkinan DNA yang diperoleh daripada dua kesan darah pada kayu kriket itu adalah anak kandung kepada Satinah Mokhtar dan bapa kandung kepada Muhammad Azri Shahzan, Nur Aneesa Salbiah dan Muhammad Faiz Ridzmi adalah lebih daripada 99.999 peratus sebagaimana ia dikira berdasarkan pangkalan data populasi Melayu Malaysia,'' jelas beliau.
Menurut Kong Boon, DNA Kamaruddin dan Ahmad Kamil pula ditemui pada tisu dan kesan darah yang diperoleh pada tiga keping zink selepas beliau membuat ujian perbandingan dengan sampel darah ibu dan anak kedua-dua mangsa tersebut.
Katanya, kemungkinan DNA itu adalah milik anak kandung kepada Zainab Ahmad (ibu Kamaruddin) dan bapa kandung kepada Balqis Dayana dan Izran Akmal adalah 99.8525 peratus.
Sementara kemungkinan DNA yang ditemui pada tisu dan kesan darah pada dua keping zink lagi adalah anak kandung kepada Bibi Habibon (ibu Ahmad Kamil) dan Abd. Karim Isa (ayah Ahmad Kamil) adalah lebih daripada 99.9999 peratus.
Dalam kes ini, bekas peguam, N. Pathmanabhan dan tiga pekerja ladangnya, T. Thilaiyalagan, 20, R. Matan, 21, dan R. Kathavarayan, 31, didakwa membunuh Sosilawati, 47; Kamaruddin, 44; Ahmad Kamil, 32; dan Noorhisham, 38.
Mereka didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan di Lot No. 2001, Jalan Tanjung Layang, Tanjung Sepat, Banting dekat sini antara pukul 8.30 malam dan 9.45 malam, 30 Ogos 2010.
Saksi pendakwaan ke-32, Cif Inspektor N. Govindan dalam keterangannya sebelum ini memberitahu, kepingan zink yang ditemui di dalam sebatang sungai di tepi ladang kelapa sawit di Banting itu digunakan sebagai alas untuk membakar mayat mangsa.
Sementara kayu kriket pula ditemui oleh seorang lagi pegawai polis di dalam salah sebuah rumah di Ladang Gadong iaitu tempat kesemua mangsa didakwa dibunuh sebelum dibakar.
Berdasarkan laporan kimia bertarikh 16 November 2010 setebal 23 muka surat itu, Kong Boon turut mengesahkan DNA Sosilawati juga ditemui pada pencungkil gigi yang diperoleh dari kereta BMW bernombor pendaftaran WTL 11.
Sementara tiga DNA lelaki pada dua puntung rokok, satu kesan darah dan tiga helai rambut yang terlekat pada kayu kriket yang sama didapati tidak sepadan dengan mana-mana sampel darah yang diberikan kepada beliau.
Begitu juga campuran sekurang-kurangnya dua DNA yang ditemui pada pemegang kayu kriket juga tidak mempunyai padanan.
Menurut saksi pendakwaan ke-89 itu, tiada DNA diperoleh daripada sepasang kasut, manakala kesan darah pada sarung kusyen dan potongan kusyen yang diambil dari salah sebuah rumah di Ladang Gadong disahkan adalah darah haiwan.
''Tiada keputusan DNA yang kukuh diperoleh daripada sampel- sampel tulang kerana ia telah kehilangan bahan organik dan lembapan padanya kerana terbakar teruk pada suhu yang tinggi iaitu lebih 500 darjah Celsius.
''Begitu juga hasil ujian ke atas sehelai rambut dan dua calitan putik kapas daripada kereta AAJ 5 (kereta Ahmad Kamil), lima calitan pada kereta WTL 11 dan enam kesatan termasuk dua daripada dua utas jam tangan,'' katanya lagi.
Perbicaraan di hadapan Hakim Akhtar Tahir yang masuk hari ke-62 bersambung esok.
No comments:
Post a Comment