Wednesday, February 1, 2012

tiada dna

DNA tertuduh tiada pada bahan bukti

Oleh NOOR AZMAH IBRAHIM
pengarang@utusan.com.my

SHAH ALAM 1 Feb. - Seorang ahli kimia hari ini mengakui bahawa tiada sebarang profil asid deoksiribonukleik (DNA) milik keempat-empat tertuduh yang didakwa membunuh Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga lagi, ditemui pada 152 bahan bukti, kecuali pada sampel darah mereka.

Semasa disoal balas oleh peguam Manjeet Singh Dhillon di Mahkamah Tinggi di sini, Pengarah Bahagian Forensik Jabatan Kimia, Lim Kong Boon, 58, berkata, hasil analisis dan ujian perbandingan yang dilakukan oleh beliau gagal mendapatkan sebarang padanan.

"Ya, tiada DNA suspek pada kayu kriket, kepingan zink dan penyodok ditemui. Ia tidak ditemui pada mana-mana bahan bukti yang dianalisis kecuali pada sampel darah mereka,'' katanya semasa menjawab soalan peguam tersebut yang mewakili tertuduh pertama, N. Pathmanabhan.

Semasa dicadangkan oleh Manjeet bahawa beliau memberi keterangan berat sebelah serta berpihak kepada pihak pendakwaan memandangkan beliau juga kakitangan kerajaan, Kong Boon menafikan dakwaan itu dengan alasan beliau memberi pandangan berdasarkan laporan hasil analisis.

Cadangan berpihak dan berat sebelah itu disebut berkali-kali oleh peguam itu, lebih-lebih lagi apabila saksi itu dilihat makan semeja dengan pihak pendakwaan semasa prosiding berhenti rehat pada waktu tengah hari.

Kong Boon bagaimanapun mengakui menulis nama mangsa seperti I/Hisham pada salah satu sampel berdasarkan maklumat daripada pegawai penyiasat, Asisten Supritendan (ASP) Mohd. Ishak Yaakob bagi memudahkan untuk dikenal pasti.

"Walaupun dengan maklumat yang diberi, analisis saya tetap bebas. Tandaan itu hanya untuk memudahkan identifikasi. Dalam kerja saya, saya tidak kisah sama ada mangsa atau suspek,'' jelas saksi pendakwaan ke-89 itu.

Berhubung sampel tulang pula, Kong Boon mengakui beliau menjalankan analisis untuk mendapatkan profil DNA tidak pada semua sampel tetapi hanya pada beberapa serpihan.

Katanya, pemilihan sampel tulang itu dibuat selepas beliau berbincang dengan pakar perubatan forensik dari Hospital Kuala Lumpur (HKL) Dr. Nurliza Abdullah pada 15 dan 21 September 2010.

"Saya bukan tergesa-gesa. Saya kenal pasti tulang-tulang yang sesuai. Saya buat begitu sebagai pakar. Pemilihan itu dibuat bagi mendapatkan keputusan yang terbaik.

"Lebih 1,000 serpihan tulang yang ada. Kalau kita pilih tulang yang besar pun tidak semestinya ada keputusan, apatah lagi serpihan yang kecil,'' kata beliau lagi.

Dalam kes ini, bekas peguam, Pathmanabhan dan tiga pekerja ladangnya, T. Thilaiyalagan, 20, R. Matan, 21, dan R. Kathavarayan, 31, didakwa membunuh Sosilawati, 47; pemandunya, Kamaruddin Shamsuddin, 44; peguam, Ahmad Kamil Abd. Karim, 32; dan pegawai Bank CIMB cawangan Kampung Baru, Noorhisham Mohamad, 38.

Mereka didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan di Lot No. 2001, Jalan Tanjung Layang, Tanjung Sepat, Banting dekat sini antara pukul 8.30 malam dan 9.45 malam, 30 Ogos 2010.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Akhtar Tahir yang masuk hari ke-63 bersambung esok

No comments:

Post a Comment