Friday, January 27, 2012

peguam memohon

Permohonan peguam diketahui Isnin

SHAH ALAM 27 Jan. - Permohonan peguam bela untuk menggunakan laporan-laporan polis oleh Cif Inspektor N. Govindan yang tidak dikemukakan sebagai bahan bukti bagi menyoal balas saksi pendakwaan ke-32 itu akan ditentukan oleh Mahkamah Tinggi di sini pada Isnin ini.

Hakim Datuk Akhtar Tahir menetapkan demikian setelah mendengar hujahan pihak pembelaan serta hujahan balas pihak pendakwaan yang membantah permohonan tersebut.

Peguam Gurbachan Singh yang mewakili T. Thilaiyalagan, tertuduh kedua dalam perbicaraan kes pembunuhan Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga lagi memohon untuk menyoal balas Govindan berdasarkan laporan-laporan polis yang dibuat oleh saksi itu.

Laporan-laporan oleh pegawai soal siasat dari Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Bukit Aman itu dibuat berhubung pengakuan Thilaiyalagan serta tertuduh keempat, R. Kathavarayan berhubung lokasi bahan-bahan bukti dibuang.

Beliau membuat permohonan di bawah Seksyen 145 Akta Keterangan 1950 itu atas alasan terdapat percanggahan antara keterangan saksi di mahkamah dengan laporan-laporan tersebut.

Dalam kes ini, bekas peguam, N. Pathmanabhan dan tiga pekerja ladangnya, T. Thilaiyalagan, 20, R. Matan, 21, dan Kathavarayan, 31, didakwa membunuh Sosilawati, 47; pemandunya, Kamaruddin Shamsuddin, 44; peguam, Ahmad Kamil Abd. Karim, 32; dan pegawai Bank CIMB cawangan Kampung Baru, Noorhisham Mohamad, 38.

Mereka didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan di Lot No. 2001, Jalan Tanjung Layang, Tanjung Sepat, Banting dekat sini antara pukul 8.30 malam dan 9.45 malam, 30 Ogos 2010.

Terdahulu, Gurbachan berhujah bahawa Seksyen 145 itu membenarkan pemeriksaan balas terhadap saksi berhubung pernyataan bertulis yang dibuat sebelum itu.

Menurut beliau, laporan-laporan polis yang dibuat oleh Govindan termasuk di bawah pernyataan terdahulu yang dibenarkan disoal balas.

"Kami tidak memohon agar laporan-laporan polis itu diterima di mahkamah, kami hanya mohon untuk menggunakannya bagi menyoal balas saksi,'' katanya.

Timbalan Pendakwa Raya, Saiful Edris Zainuddin pula berhujah bahawa terdapat percubaan untuk menjadikan laporan-laporan itu sebagai asas untuk mencabar kebolehpercayaan saksi pendakwaan itu.

Sedangkan ujar beliau, prosiding mencabar kebolehpercayaan saksi tidak boleh dibuat berdasarkan laporan-laporan polis tersebut.

Timbalan Pendakwa Raya, Ishak Mohd. Yusoff pula berhujah bahawa laporan maklumat awal (FIR) berbeza dengan laporan polis.

Katanya, FIR digunakan di bawah Seksyen 145 akta tersebut dalam kebanyakan kes tetapi bukan laporan polis.

Pada Julai tahun lalu, Govindan dalam keterangannya berkata bahawa Thilaiyalagan dan Kathavarayan telah memberitahu tempat bahan-bahan bukti dibuang dan beliau pergi ke lokasi berkenaan selepas dipandu arah dua lelaki itu serta Matan dan seorang lagi pekerja ladang, U. Suresh.

Semasa pemeriksaan utama, pihak pendakwaan memohon untuk mengemukakan laporan-laporan polis yang dibuat oleh Govindan berhubung maklumat tersebut tetapi dibantah oleh pihak pembelaan.

Perbicaraan yang masuk hari ke-60 hari ini bersambung Isnin ini.

No comments:

Post a Comment