Wednesday, November 30, 2011

panggilan telefon

Panggilan 'Datuk Pathma 2' dalam telefon mangsa bunuh

SHAH ALAM 30 Nov. - Seorang pegawai polis memaklumkan Mahkamah Tinggi di sini hari ini, rekod panggilan salah sebuah telefon pintar iaitu jenis BlackBerry warna putih menunjukkan ada menerima dua panggilan daripada satu nombor yang disimpan atas nama 'Datuk Pathma 2'.

Panggilan pertama daripada 'Datuk Pathma 2' dari nombor 0162045518 merupakan panggilan tidak berjawab (missed call) diterima kira-kira pukul 4.22 petang manakala panggilan kedua yang dijawab daripada nombor yang sama diterima pada pukul 6 petang, 30 Ogos tahun lalu.

Pada prosiding sebelum ini, dua telefon bimbit BlackBerry telah dicam sebagai milik dua mangsa iaitu peguam, Ahmad Kamil Abd. Karim (BlackBerry putih) dan pegawai Bank CIMB cawangan Kampung Baru, Noorhisham Mohamad (BlackBerry hitam).

Selain panggilan 'Datuk Pathma 2', Asisten Supritendan (ASP) Mohd. Zulkifly Mohd. Isa, 31, turut menyatakan, rekod panggilan masuk turut mencatatkan telefon bimbit terbabit ada menerima panggilan daripada nombor 0127778017 yang disimpan atas nama 'Rita' kira-kira pukul 6.53 petang hari yang sama.

Saksi pendakwa ke-76 yang merupakan juruanalisis kanan Seksyen Jenayah Komputer, Ibu Pejabat Polis Bukit Aman berkata demikian ketika disoal pada pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nur Azimul Azami hari ini.

Bagaimanapun, ketika disoal balas oleh peguam bela, Amer Hamzah Arshad mengakui tidak mengetahui bila nama 'Datuk Pathma 2' dimasukkan atau mula disimpan di dalam senarai pemanggil (contact list) telefon terbabit.

Sementara itu, dua saksi pendakwa, M. Nalaraja, 56, dan Lim Chai Soon, 38, yang bekerja sebagai individu yang menguruskan pembakaran mayat bukan Islam, memberitahu mahkamah bahawa Sungai Panchau bukan tempat pembuangan abu-abu mayat.

Sebaliknya, ujar Nalaraja, abu mayat kebiasaannya di buang di sebuah tempat di hadapan Taman Panjau berhadapan Estet Klang yang turut mempunyai pondok untuk upacara sembahyang.

Sejurus tamat prosiding, ketika dibawa keluar menuju ke lif mahkamah, bekas peguam N. Pathmanabhan, 42, tiba-tiba memarahi jurugambar Utusan Malaysia, Mohd. Shaharani Saibi yang sedang mengambil gambar kesemua tertuduh.

Tidak cukup dengan itu, lelaki terbabit dengan kasar turut menyamakan tubuh badan jurugambar tersebut dengan seekor haiwan yang haram dimakan oleh umat Islam.

Pathmanabhan dan tiga pekerja ladangnya, T. Thilaiyalagan, 20; R. Matan, 21; dan R. Kathavarayan, 31; didakwa membunuh Sosilawati, 47, pemandunya, Kamaruddin Shamsuddin, 44; Ahmad Kamil, 32; dan Noorhisham, 38.

Mereka didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan itu di Lot No. 2001, Jalan Tanjung Layang, Tanjung Sepat, Banting dekat sini antara pukul 8.30 malam dan 9.45 malam, 30 Ogos tahun lalu.

Perbicaraan yang masuk hari ke-54 di hadapan Hakim Datuk Akhtar Tahir bersambung pada 9 Januari 2012.

Tuesday, November 29, 2011

11 telefon

Saksi terima 11 telefon bimbit

oleh SUWARNI MOKHTAR
pengarang@utusan.com.my

SHAH ALAM 29 Nov. – Seorang pegawai polis memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini bahawa beliau menerima 11 unit telefon bimbit pelbagai jenis, kad memori dan peranti storan media (pendrive) daripada pegawai penyiasat kes pembunuhan jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga rakannya.

Bagaimanapun, dua daripada telefon bimbit tersebut iaitu jenis BlackBerry berwarna hitam dan putih ketika diserahkan kepadanya oleh Asisten Supritendan (ASP) Ishak Yaakob pada 17 September tahun lalu, berada dalam keadaan terdapat wap di sekelilingnya.

Oleh itu, ASP Mohd. Zulkifly Mohd. Isa, 31, yang merupakan juruanalisis kanan Seksyen Jenayah Komputer, Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, telah membuka bingkai kedua-dua telefon bimbit berkenaan dan mengeringkannya menggunakan ‘blower’ (penghembus) selepas membawa barang-barang tersebut ke makmal telefon.

Pada prosiding sebelum ini, dua telefon bimbit BlackBerry tersebut telah dicam sebagai milik dua mangsa iaitu peguam, Ahmad Kamil Abd. Karim (BlackBerry putih) dan pegawai Bank CIMB cawangan Kampung Baru, Noorhisham Mohamad (BlackBerry hitam).

Pada tarikh yang sama, saksi pendakwa ke-76 itu menyatakan, ada menerima beberapa lagi telefon bimbit antaranya telefon pintar jenis iPhone.

Difahamkan, telefon pintar tersebut milik isteri salah seorang mangsa kejadian bunuh tersebut.

Mohd. Zulkifly menyatakan demikian ketika pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya, Ishak Mohd. Yusoff dalam perbicaraan kes bunuh tersebut.

Pada prosiding sebelum ini, juruselam dari Pasukan Gerakan Marin Wilayah 1, Pulau Pinang, Koperal Merzuki Shahrim, 43, dalam keterangannya, menyatakan ada menjumpai dua unit telefon bimbit jenis BlackBerry masing-masing berwarna hitam dan putih.

Menurut Merzuki, kedua-dua unit telefon pintar itu ditemui pada kedalaman antara 0.6 meter dan 0.9 meter sewaktu pencarian barang-barang kes di longkang besar berhampiran pintu kunci air Pasar Besar Banting pada September tahun lalu.

Dalam kes ini, bekas peguam, N. Pathmanabhan, 42; dan tiga pekerja ladangnya, T. Thilaiyalagan, 20; R. Matan, 21; dan R. Kathavarayan, 31; didakwa membunuh Sosilawati, 47, pemandunya, Kamaruddin Shamsuddin, 44; Ahmad Kamil, 32; dan Noorhisham, 38.

Mereka didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan itu di Lot No. 2001, Jalan Tanjung Layang, Tanjung Sepat, Banting dekat sini antara pukul 8.30 malam dan 9.45 malam, 30 Ogos tahun lalu.

Perbicaraan yang masuk hari ke-53 di hadapan Hakim Datuk Akhtar Tahir bersambung esok.

Thursday, November 17, 2011

seribu dokumen

Perbicaraan tangguh, lebih 1,000 dokumen perlu diteliti

SHAH ALAM 17 Nov. - Perbicaraan kes pembunuhan jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga lagi yang dijadualkan hari ini dan esok terpaksa ditangguhkan bagi memberi peluang kepada pihak pembelaan meneliti lebih 1,000 dokumen yang diserahkan oleh pihak pendakwaan semalam.

Hakim Mahkamah Tinggi di sini, Datuk Akhtar Tahir menetapkan 29 dan 30 November ini untuk sambung bicara selepas membenarkan permohonan penangguhan yang turut dibuat oleh pihak pendakwaan.

Kata beliau, penangguhan itu juga diizinkan memandangkan Timbalan Pendakwa Raya, Idham Abdul Ghani dan peguam Gurbachan Singh tidak sihat, manakala seorang lagi peguam, Ravi Nekoo terpaksa menghadiri perbicaraan di mahkamah lain.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Ishak Mohd. Yusoff memberitahu, pihaknya telah bersedia dengan saksi pendakwaan ke-76 iaitu pegawai polis daripada bahagian forensik komputer.

Bagaimanapun, katanya, beliau dimaklumkan pihak pembelaan memerlukan masa untuk meneliti kesemua dokumen berkaitan sebelum saksi itu memberi keterangan.

Sementara itu, Manjeet Singh Dhillon yang mengetuai barisan pembelaan pula memaklumkan pihaknya telah menerima lebih 1,000 dokumen yang dimuatkan dalam cakera padat (CD) dan cakera digital video (DVD) daripada pihak pendakwaan semalam.

Katanya, selepas melihat sepintas lalu 600 hingga 700 dokumen tersebut, pihaknya mendapati terdapat dokumen-dokumen yang tidak relevan yang turut dimuatkan di dalam CD dan DVD berkenaan.

Sehubungan itu, jelas beliau, pihak pendakwaan dan pihak pembelaan bersetuju untuk mengadakan perjumpaan pada Selasa ini bagi menyemak dan memilih dokumen-dokumen yang berkaitan dengan kes itu sahaja demi menjimatkan masa mahkamah.

Dalam kes ini, bekas peguam, N. Pathmanabhan, 42; bersama tiga pekerja ladangnya, T. Thilaiyalagan, 20; R. Matan, 21; dan R. Kathavarayan, 31; didakwa membunuh Sosilawati, 47; pemandunya, Kamaruddin Shamsuddin, 44; peguam, Ahmad Kamil Abd. Karim, 32; dan pegawai Bank CIMB cawangan Kampung Baru, Noorhisham Mohammad, 38.

Mereka didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan itu di Lot No. 2001, Jalan Tanjung Layang, Tanjung Sepat, Banting dekat sini antara pukul 8.30 malam dan 9.45 malam, 30 Ogos tahun lalu.

Pada prosiding hari ini, mahkamah turut menetapkan perbicaraan selama sembilan hari pada Januari dan enam hari pada Februari 2012.

Pihak pendakwaan juga dijangka menutup kes mereka pada tarikh terakhir yang ditetapkan iaitu 10 Februari tahun depan.

Wednesday, November 16, 2011

tulang rahang

Tulang rahang dijumpai di Ladang Gadong

SHAH ALAM 16 Nov. – Seorang pegawai perubatan memberitahu, satu tulang dipercayai rahang dijumpai di Ladang Gadong semasa pencarian dibuat di lokasi jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga lagi dikatakan dibunuh dan dibakar pada 30 Ogos tahun lalu.

Dr. Nurul Kharmila Abdullah, 34, yang memberi keterangan di Mahkamah Tinggi di sini hari ini sebagai saksi pendakwaan ke-74 berkata, tulang yang ditemui pada 14 September 2010 itu bagaimanapun dipercayai bukan rahang manusia.

‘‘Saya lihat pihak polis menjumpai sesuatu di Zon B. Saya buat tiga tandaan pada dua bahan yang bukan biologikal iaitu kayu.

‘‘Satu lagi seingat saya adalah rahang. Pada masa itu, pada amatan saya ia bukan rahang manusia. Saya sendiri tidak jumpa apa-apa,’’ katanya semasa disoal oleh Timbalan Pendakwa Raya, Saiful Edris Zainuddin.

Dalam kes ini, bekas peguam, N. Pathmanabhan, 42; bersama tiga pekerja ladangnya, T. Thilaiyalagan, 20; R. Matan, 21; dan R. Kathavarayan, 31; didakwa membunuh Sosilawati, 47; pemandunya, Kamaruddin Shamsuddin, 44; peguam, Ahmad Kamil Abd. Karim, 32; dan pegawai Bank CIMB cawangan Kampung Baru, Noorhisham Mohammad, 38.

Mereka didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan itu di Lot No. 2001, Jalan Tanjung Layang, Tanjung Sepat, Banting dekat sini antara pukul 8.30 malam hingga 9.45 malam, 30 Ogos tahun lalu.

Menurut Nurul Kharmila yang bertugas di Jabatan Forensik, Hospital Kuala Lumpur (HKL), beliau diarah oleh pakar perubatan forensik, Dr. Nurliza Abdullah untuk pergi di Ladang Gadong bagi membantu pihak polis mencari spesimen.

Walaupun ditugaskan di zon B, kehadiran beliau di lokasi itu bukan untuk membantu membuat pencarian tetapi hanya untuk mengesahkan sama ada spesimen-spesimen yang dijumpai adalah tulang atau bukan tulang.

Menjawab soalan peguam Manjeet Singh Dhillon yang mewakili tertuduh pertama tentang perbezaan catatannya dalam borang permohonan X-ray untuk spesimen tulang, beliau menjelaskan, perkataan fragment of bone-unknown identity ditulis pada 15 September 2010 kerana pada masa itu ia belum dianalisis.

Sementara perkataan ‘multiple pieces of human remains’ ditulis selepas beliau diberitahu oleh Nurliza bahawa spesimen-spesimen tersebut kemungkinan besar tulang manusia semasa mengisi borang pada 16 September 2010.

Semasa disoal mengapa perkataan tulang manusia ditulis sedangkan Nurliza sebelum itu memaklumkan ia hanya kemungkinan besar tulang manusia, Nurul Kharmila menjawab, beliau mungkin terlepas pandang.

Tuesday, November 15, 2011

tulang

25 spesimen tulang manusia


N. Pathmanabhan (depan) bersama tertuduh lain di Mahkamah Tinggi Shah Alam, semalam.


SHAH ALAM 15 Nov. - Seorang pakar radiologi memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini bahawa 25 spesimen tulang berkaitan kes pembunuhan Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga lagi yang diperiksa secara fizikal serta melalui imej X-ray pada September tahun lalu mungkin tulang manusia.
Dr. Zaleha Abd. Manaf, 52, yang juga Ketua Jabatan Radiologi di Hospital Kuala Lumpur (HKL) berkata, spesimen itu dipilih dan diperiksa selepas pakar perubatan forensik dari hospital yang sama, Dr. Nurliza Abdullah merujuk filem-filem X-ray kepadanya untuk pemeriksaan radiologi.
Menurut beliau, imej X-ray serpihan tulang-tulang itu juga mempunyai tanda-tanda keretakan yang melintang dan melengkung menunjukkan ia terdedah kepada kesan haba atau kepanasan.
''Saya telah lihat pada fizikal spesimen secara kasar dan hubung kait dengan imej-imej X-ray untuk buat kesimpulan bahawa ada kemungkinan ia adalah tulang-tulang manusia.
''Saya tidak lihat kepada spesimen lain secara fizikal kerana berdasarkan pemeriksaan X-ray, tulang-tulang lain itu tidak mempunyai ciri-ciri atau bentuk yang mencukupi untuk membuat kesimpulan bahawa serpihan tulang itu adalah tulang manusia,'' jelas beliau.
Dalam kes ini, bekas peguam, N. Pathmanabhan, 42; bersama tiga pekerja ladangnya, T. Thilaiyalagan, 20; R. Matan, 21; dan R. Kathavarayan, 31; didakwa membunuh Sosilawati Lawiya , 47; pemandunya, Kamaruddin Shamsuddin, 44; peguam, Ahmad Kamil Abd. Karim, 32; dan pegawai Bank CIMB cawangan Kampung Baru, Noorhisham Mohammad, 38.
Kejadian didakwa berlaku di Lot No. 2001, Jalan Tanjung Layang, Tanjung Sepat, Banting dekat sini antara pukul 8.30 malam dan 9.45 malam, 30 Ogos tahun lalu.
Mereka dibicarakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan,
Semasa disoal balas oleh peguam Manjeet Singh Dhillon yang mewakili Pathmanabhan, saksi mengakui bahawa kesimpulan beliau tidak 100 peratus tepat berbanding kesimpulan yang dibuat oleh Nurliza.
Katanya, beliau hanya membuat interpretasi imej-imej berdasarkan pemeriksaan X-ray berbanding Nurliza yang merupakan pakar forensik antropologi atau pakar tulang.
Terdahulu, saksi itu memberitahu, beliau diserahkan dengan empat sampul yang mengandungi 31 filem X-ray tulang-tulang yang dijumpai di Sungai Panchau dan Ladang Gadong pada 22 September 2010.
Selepas memeriksa kesemua filem tersebut, beliau meminta untuk memeriksa 25 spesimen tulang secara fizikal sebelum memutuskan ia mungkin tulang manusia.
Pada prosiding hari ini, tiga juru X-ray yang mengambil gambar dengan menggunakan X-ray ke atas kesemua spesimen tersebut, Azahari Zaini, Mohd. Faris Kamaruzaman dan Zubir Ahmad Shazli turut memberi keterangan serta mengesahkan filem-filem X-ray.
Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Akhtar Tahir yang masuk hari ke-50 bersambung esok.

Saturday, November 12, 2011

xpuashati

Peguam tidak puas hati jawapan pegawai perubatan

SHAH ALAM 11 Nov. – Jawapan tidak ingat dan tidak pasti yang kerap diberikan oleh seorang pegawai perubatan semasa disoal balas dalam perbicaraan kes pembunuhan Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga lagi telah menimbulkan rasa tidak puas hati seorang peguam bela dalam kes itu.

Manjeet Singh Dhillon yang mewakili tertuduh pertama, N. Pathmanabhan mempersoalkan jawapan Dr. Ahmad Hafizam Hasmi semasa saksi itu ditanya tentang apa yang berlaku ketika beliau membantu pasukan forensik polis membuat pencarian di Ladang Gadong pada 14 September 2010.

Sedangkan semasa disoal oleh pihak pendakwaan, saksi dapat mengingati semua perkara yang dilakukan semasa beliau ke Batu Pahat, Johor dan Seremban, Negeri Sembilan bagi mengambil contoh darah ibu Sosilawati dan ibu bapa seorang lagi mangsa sehari selepas itu.

Beliau yang memberi keterangan di Mahkamah Tinggi di sini juga sebelum itu menceritakan apa yang dilakukan pada 21 dan 22 September 2010 apabila X-ray yang dibuat ke atas spesimen-spesimen kemungkinan besar tulang manusia di Jabatan Perubatan Forensik, Hospital Kuala Lumpur (HKL).

‘‘Awak boleh ingat semasa pergi ke Batu Pahat dan Seremban pada 15 September tahun lepas dan mengenai pemeriksaan X-ray pada 21 dan 22 September, tetapi bila tanya tentang 14 September awak lupa. Ada orang suruh awak jangan beritahu apa berlaku pada 14 September?’’ soal Manjeet.

Ahmad Hafizam, 32, yang merupakan saksi pendakwaan ke-70 bagaimanapun memberitahu, beliau tidak dapat mengingati semula apa yang berlaku pada hari tersebut dan bukannya diarah oleh sesiapa untuk tidak menceritakannya.

Semasa ditanya, katanya, beliau tidak ingat sama ada pihak polis memberi taklimat sebelum pencarian dibuat, siapa yang menjumpai sebarang objek serta berapa jam mereka berada di ladang itu.

‘‘Tidak, memang saya tidak ingat, tidak boleh recall (mengingati) apa yang dijumpai di Ladang Gadong. Ada orang yang jumpa sesuatu tetapi saya tidak pasti apa (yang dijumpai),’’ kata beliau.

Saksi itu turut menjelaskan, beliau mampu mengingati apa yang berlaku di Batu Pahat dan Seremban kerana beliau sendiri memantau pengambilan sampel darah, sedangkan peranan di Ladang Gadong, beliau hanya sekadar membantu.

Dalam kes ini, bekas peguam, Pathmanabhan, 42; bersama tiga pekerja ladangnya, T. Thilaiyalagan, 20; R. Matan, 21; dan R. Kathavarayan, 31; didakwa membunuh Sosilawati, 47; pemandunya, Kamaruddin Shamsuddin, 44; peguam, Ahmad Kamil Abd. Karim, 32; dan pegawai Bank CIMB cawangan Kampung Baru, Noorhisham Mohamad, 38.
TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:

Friday, November 11, 2011

xpuas hati

Peguam tidak puas hati jawapan pegawai perubatan

SHAH ALAM 11 Nov. – Jawapan tidak ingat dan tidak pasti yang kerap diberikan oleh seorang pegawai perubatan semasa disoal balas dalam perbicaraan kes pembunuhan Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga lagi telah menimbulkan rasa tidak puas hati seorang peguam bela dalam kes itu.

Manjeet Singh Dhillon yang mewakili tertuduh pertama, N. Pathmanabhan mempersoalkan jawapan Dr. Ahmad Hafizam Hasmi semasa saksi itu ditanya tentang apa yang berlaku ketika beliau membantu pasukan forensik polis membuat pencarian di Ladang Gadong pada 14 September 2010.

Sedangkan semasa disoal oleh pihak pendakwaan, saksi dapat mengingati semua perkara yang dilakukan semasa beliau ke Batu Pahat, Johor dan Seremban, Negeri Sembilan bagi mengambil contoh darah ibu Sosilawati dan ibu bapa seorang lagi mangsa sehari selepas itu.

Beliau yang memberi keterangan di Mahkamah Tinggi di sini juga sebelum itu menceritakan apa yang dilakukan pada 21 dan 22 September 2010 apabila X-ray yang dibuat ke atas spesimen-spesimen kemungkinan besar tulang manusia di Jabatan Perubatan Forensik, Hospital Kuala Lumpur (HKL).

‘‘Awak boleh ingat semasa pergi ke Batu Pahat dan Seremban pada 15 September tahun lepas dan mengenai pemeriksaan X-ray pada 21 dan 22 September, tetapi bila tanya tentang 14 September awak lupa. Ada orang suruh awak jangan beritahu apa berlaku pada 14 September?’’ soal Manjeet.

Ahmad Hafizam, 32, yang merupakan saksi pendakwaan ke-70 bagaimanapun memberitahu, beliau tidak dapat mengingati semula apa yang berlaku pada hari tersebut dan bukannya diarah oleh sesiapa untuk tidak menceritakannya.

Semasa ditanya, katanya, beliau tidak ingat sama ada pihak polis memberi taklimat sebelum pencarian dibuat, siapa yang menjumpai sebarang objek serta berapa jam mereka berada di ladang itu.

‘‘Tidak, memang saya tidak ingat, tidak boleh recall (mengingati) apa yang dijumpai di Ladang Gadong. Ada orang yang jumpa sesuatu tetapi saya tidak pasti apa (yang dijumpai),’’ kata beliau.

Saksi itu turut menjelaskan, beliau mampu mengingati apa yang berlaku di Batu Pahat dan Seremban kerana beliau sendiri memantau pengambilan sampel darah, sedangkan peranan di Ladang Gadong, beliau hanya sekadar membantu.

Dalam kes ini, bekas peguam, Pathmanabhan, 42; bersama tiga pekerja ladangnya, T. Thilaiyalagan, 20; R. Matan, 21; dan R. Kathavarayan, 31; didakwa membunuh Sosilawati, 47; pemandunya, Kamaruddin Shamsuddin, 44; peguam, Ahmad Kamil Abd. Karim, 32; dan pegawai Bank CIMB cawangan Kampung Baru, Noorhisham Mohamad, 38.

Thursday, November 10, 2011

gigi

7 spesimen disahkan gigi manusia

Oleh NOOR AZMAH IBRAHIM
pengarang@utusan.com.my

SHAH ALAM 10 Nov. - Seorang pegawai pergigian forensik di Hospital Kuala Lumpur (HKL) hari ini mengesahkan bahawa tujuh daripada 10 gigi yang ditemui di Sungai Panchau serta Ladang Gadong, Banting dekat sini merupakan gigi manusia.

Dr. Norhayati Jaffar, 38, yang memberi keterangan di Mahkamah Tinggi di sini berkata, kesimpulan itu dibuat berdasarkan saiz, bentuk akar dan permukaan gigi tersebut selepas kesemuanya diperiksa secara fizikal serta menggunakan X-ray antara 17 dan 19 September tahun lalu.

Beliau yang merupakan saksi pendakwaan ke-69 dalam perbicaraan kes bunuh jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga lagi turut mengesahkan kesemua spesimen bertanda S yang merujuk kepada Sungai Panchau itu merupakan satu gigi kacip bawah, empat geraham besar dan dua geraham kecil.

"Melalui X-ray, saya dapati gigi-gigi tersebut mempunyai tisu gigi yang biasa kelihatan pada gigi manusia serta rongga kosong di dalamnya yang dipanggil pulpa.

"Jika dibandingkan dengan gigi haiwan, persamaan yang paling hampir dengan gigi manusia ialah gigi monyet besar atau Apes, tetapi saiz giginya secara keseluruhan lebih besar daripada gigi manusia,'' jelasnya semasa disoal oleh Timbalan Pendakwa Raya, Ishak Mohd. Yusoff.Dalam kes ini, bekas peguam, N. Pathmanabhan, 42; bersama tiga pekerja ladangnya, T. Thilaiyalagan, 20; R. Matan, 21; dan R. Kathavarayan, 31; didakwa membunuh Sosilawati, 47; pemandunya, Kamaruddin Shamsuddin, 44; peguam, Ahmad Kamil Abd. Karim, 32; dan pegawai Bank CIMB cawangan Kampung Baru, Noorhisham Mohamad, 38.

Kejadian didakwa berlaku di Lot No. 2001, Jalan Tanjung Layang, Tanjung Sepat, Banting dekat sini antara pukul 8.30 malam dan 9.45 malam, 30 Ogos tahun lalu.

Semasa dirujuk kepada rekahan yang terdapat pada gigi tersebut, Norhayati berpendapat, ia disebabkan oleh pendedahan kepada suhu yang amat tinggi.

Jelasnya, berdasarkan enamel pada gigi-gigi yang telah terpisah daripada dentin, ia telah terdedah kepada suhu 750 darjah Celsius.

Sementara tiga lagi sampel yang ditemui di Ladang Gadong disahkan oleh beliau bukan gigi manusia tetapi gigi binatang pemakan rumput seperti lembu, kambing atau biri-biri.

Kata Norhayati, ia berdasarkan tekstur permukaan gigi yang berlainan dengan gigi manusia yang mana ia tidak rata dan mengeluarkan serbuk apabila dikikis.

"Binatang itu hanya sebagai contoh kerana saya tidak boleh memberikan jawapan dengan pasti melainkan jika melakukan ujian seperti asid deoksiribonukleik (DNA) atau jika sampel itu dirujuk kepada pakar veterinar,'' katanya lagi.

Sementara itu, Cif Inspektor Lim Ah Leng dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur pula mengesahkan beliau telah pergi ke Batu Pahat, Johor dan Seremban, Negeri Sembilan pada 15 September 2010.

Katanya, beliau bersama pegawai perubatan dan jururawat kanan daripada HKL diarah ke dua-dua tempat tersebut bagi mendapatkan sampel darah ibu Sosilawati dan ibu bapa Ahmad Kamil untuk tujuan perbandingan DNA.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Akhtar Tahir yang masuk hari ke-48 bersambung esok.
TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:

Tuesday, November 8, 2011

ketrangan memihak

Nurliza nafi memihak pendakwaan

Oleh NOOR AZMAH IBRAHIM
pengarang@utusan.com.my

SHAH ALAM 8 Nov. - Pakar perubatan forensik, Dr. Nurliza Abdullah hari ini menafikan memberi keterangan yang memihak kepada pihak pendakwaan apabila beliau membuat kesimpulan bahawa 2,030 daripada 2,040 spesimen yang ditemui di Ladang Gadong dan Sungai Panchau adalah berkemungkinan besar tulang manusia.

Beliau yang memberi keterangan di Mahkamah Tinggi di sini sejak Rabu lalu menyatakan tidak bersetuju apabila dicadangkan demikian semasa disoal balas oleh peguam Manjeet Singh Dhillon yang mewakili tertuduh pertama, N. Pathmanabhan.

Nurliza juga memberi jawapan yang sama apabila peguam Amer Hamzah Arshad yang mewakili tertuduh ketiga, R. Matan, mencadangkan bahawa jawapan ''kemungkinan besar tulang manusia'' diberi bagi memastikan ia selaras dengan perkataan spesimen disyaki tulang manusia yang tertulis pada borang serahan bahan-bahan bukti.

Sebaliknya, pakar tersebut menyatakan, kesimpulan itu dibuat berdasarkan hasil pemeriksaan dan pemerhatian yang dilakukan ke atas semua spesimen yang diserahkan oleh pihak forensik polis kepadanya.

''Saya katakan ia berkemungkinan besar tulang manusia berdasarkan morfologi unik tulang manusia yang ada pada spesimen tersebut. Uniknya berdasarkan ketebalan korteks. Kami buat perbandingan ketebalannya dengan tulang manusia yang ada,'' jelas beliau.

Dalam kes ini, bekas peguam, Pathmanabhan, 42; bersama tiga pekerja ladangnya, T. Thilaiyalagan, 20; Matan, 21; dan R. Kathavarayan, 31; didakwa membunuh jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya , 47; pemandunya, Kamaruddin Shamsuddin, 44; peguam, Ahmad Kamil Abd. Karim, 32; dan pegawai Bank CIMB cawangan Kampung Baru, Noorhisham, 38.

Kejadian didakwa berlaku di Lot No. 2001, Jalan Tanjung Layang, Tanjung Sepat, Banting dekat sini antara pukul 8.30 malam dan 9.45 malam, 30 Ogos tahun lalu.

Nurliza yang bertugas di Jabatan Perubatan Forensik, Hospital Kuala Lumpur (HKL) serta mempunyai kepakaran dalam bidang forensik antropologi bagaimanapun mengaku tidak memeriksa lanjut spesimen bukan tulang manusia atau tulang haiwan kerana tidak mempunyai kepakaran serta tidak pernah melakukannya.

Saksi pendakwaan ke-63 itu juga mengakui bahawa serpihan tulang pelvik yang dikenal pasti daripada spesimen tersebut tidak diketahui sama ada ia milik wanita atau lelaki di samping mengakui kemungkinan tulang tersebut adalah tulang pelvik binatang.

Beliau bagaimanapun menafikan mengambil inisiatif menghantar sebahagian spesimen tersebut untuk ujian radiografi, mikroskopik tulang dan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) kerana tidak yakin dengan hasil pemeriksaannya sebaliknya ia hanya untuk ujian lanjut.

Sepanjang sesi pemeriksaan balas, peguam-peguam turut mempersoalkan kaedah yang digunakan oleh Nurliza sehingga membawa kepada kesimpulan bahawa 2,030 spesimen itu berkemungkinan besar tulang manusia.

Walaupun diasak bertubi-tubi, beliau yang pernah memberi keterangan dalam perbicaraan kes pembunuhan wanita Mongolia, Altantuya Shaariibuu bagaimanapun kelihatan tenang.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Akhtar Tahir yang masuk hari ke-46 bersambung esok.
TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:

Friday, November 4, 2011

tulang2

Tulang ditemui seberat 2,505g

Oleh NOOR AZMAH IBRAHIM
pengarang@utusan.com.my

SHAH ALAM 4 Nov. – Pakar perubatan forensik, Dr. Nurliza Abdullah memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini bahawa berat keseluruhan tulang-tulang yang ditemui di Sungai Panchau dan Ladang Gadong, Banting dekat sini adalah sebanyak 2,505 gram.

Saksi pendakwaan ke-63 itu yang bertanggungjawab membuat pemeriksaan terhadap 2,040 spesimen tersebut berkata, jumlah itu melebihi berat tulang terbakar bagi seorang individu.

‘‘Kalau merujuk kebiasaan serpihan tulang yang terdedah kepada suhu haba yang tinggi untuk satu individu lelaki purata berat antara 2,300 gram dan 2,500 gram.

‘‘Serpihan tulang untuk individu perempuan biasanya kurang daripada 2,000 gram. Dalam kes ini, berat keseluruhan ialah melebihi 2,500,’’ jelasnya ketika disoal oleh Timbalan Pendakwa Raya, Saiful Edris Zainuddin dalam perbicaraan kes bunuh Datuk Sosilawati Lawiya, 47, dan tiga yang lain.

Bekas peguam, N. Pathmanabhan, 42; bersama tiga pekerja ladangnya, T. Thilaiyalagan, 20; R. Matan, 21; dan R. Kathavarayan, 31; didakwa membunuh jutawan kosmetik itu dan pemandunya, Kamaruddin Shamsuddin, 44; peguam, Ahmad Kamil Abd. Karim, 32; dan pegawai Bank CIMB cawangan Kampung Baru, Noorhisham, 38. .

Kejadian didakwa berlaku di Lot No. 2001, Jalan Tanjung Layang, Tanjung Sepat, Banting dekat sini antara pukul 8.30 malam hingga 9.45 malam, 30 Ogos tahun lalu.

Menjawab soalan peguam Manjeet Singh Dhillon yang mewakili Pathmanabhan, Nurliza yang bertugas di Hospital Kuala Lumpur (HKL) berkata, membasuh tulang dengan berus dan air adalah satu kebiasaan sebelum pemeriksaan dibuat ke atasnya.

Bagaimanapun, jelasnya, ia biasa dilakukan selepas spesimen-spesimen yang ditemui di tempat kejadian dibawa pulang ke makmal.

Semasa membuat pencarian bersama tujuh lagi pakar perubatan forensik serta pasukan forensik polis di Ladang Gadong pada 14 September 2010, beliau tidak nampak tulang-tulang yang ditemui di situ dibasuh dengan menggunakan air kolam berhampiran.

‘‘Basuh dengan berus kalau menggunakan air boleh. Biasanya kami tidak buat di tempat yang dijumpai.

‘‘Bila balik ke makmal kami akan cuci spesimen yang dijumpai dengan menggunakan air,’’ katanya.

Dalam keterangannya, Nurliza yang mempunyai kepakaran dalam bidang Forensik Antropologi itu turut mengesahkan sebanyak 30 spesimen tulang itu diambil oleh dua ahli kimia dari Jabatan Kimia Malaysia untuk ujian asid deoksiribonukleik (DNA).

Katanya, beliau tidak dimaklumkan tentang hasil ujian tersebut dan menyatakan tidak terkejut apabila dimaklumkan oleh Manjeet bahawa tiada sebarang DNA ditemui pada tulang-tulang tersebut.

Terdahulu, semasa ditanya sama ada tulang-tulang bukan manusia adalah tulang anjing, kambing atau lembu, Nurliza menjelaskan, beliau hanya boleh menyimpulkan ia tidak mempunyai ciri-ciri tulang manusia.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Akhtar Tahir yang masuk hari ke-45 bersambung 8 November ini.

Thursday, November 3, 2011

tulang

19 spesimen tulang manusia?


Pathmanabhan dan dua tertuduh lain diiringi keluar anggota polis pada perbicaraan kes bunuh Sosilawati dan tiga yang lain di Mahkamah Tinggi, Shah Alam, semalam. - UTUSAN/Hafiz Johari


SHAH ALAM 3 Nov. - Seorang pakar perubatan forensik dari Hospital Kuala Lumpur (HKL) mengesahkan sebanyak 19 daripada 26 spesimen yang dijumpai di Ladang Gadong iaitu tempat Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga lagi dikatakan dibunuh pada 30 Ogos tahun lalu kemungkinan besar adalah tulang manusia.
Dr. Nurliza Abdullah, 46, yang memberi keterangan di Mahkamah Tinggi di sini hari ini berkata, pemeriksaan beliau dan seorang lagi pakar ke atas 2,014 spesimen yang dijumpai di dalam Sungai Panchau, Banting pula mendapati 2,011 daripadanya menunjukkan hasil yang sama.
Menurut beliau, dua daripadanya merupakan tulang leher odontoid yang sekali gus menunjukkan kesemua tulang tersebut kepunyaan sekurang-kurangnya dua individu.
"Hasil pemeriksaan ke atas 2,040 spesimen yang dipercayai tulang dan gigi yang dijumpai di Sungai Panchau dan Ladang Gadong, sebanyak 2,030 daripadanya adalah kemungkinan besar tulang atau gigi manusia.
"Dua daripadanya merupakan bahagian tulang leher odontoid dan setiap manusia hanya mempunyai satu tulang tersebut. Kedua-duanya merupakan spesimen yang ditemui di Sungai Panchau.
"Saya hanya beri kebarangkalian secara subjektif. Secara kasar, saya katakan hasil pemeriksaan berdasarkan ciri-ciri morfologi, struktur anatomi dan osteologi, saya hanya boleh katakan berkemungkinan besar tulang manusia," jelas beliau.
Menurut saksi pendakwaan ke-62 itu, hasil pemeriksaan dari 15 sehingga 18 September 2010 mendapati kesemua spesimen atau tulang tersebut mempunyai kesan-kesan pendedahan kepada suhu atau haba yang amat tinggi iaitu 800 darjah Celsius ke atas.
Kesan perubahan pada struktur tulang-tulang itu pula menunjukkan kesemuanya masih mempunyai daging atau isi yang terlekat padanya semasa terdedah kepada haba atau terbakar.
"Hasil pemeriksaan mendapati item atau spesimen ini menunjukkan kesan-kesan pembakaran berdasarkan perubahan warnanya daripada coklat kegelapan sehingga kehitaman dan perubahan warna kelabu kebiruan sehingga keputihan.
"Terdapat kesan retakan, rekahan serta belahan secara melintang dan melengkung serta berlakunya perubahan bentuk atau struktur tulang yang menunjukkan masa didedahkan kepada suhu atau haba yang amat tinggi, ia adalah tulang atau jasad yang berdaging," katanya.
Dalam kes ini, bekas peguam, N. Pathmanabhan, 42; bersama tiga pekerja ladangnya, T. Thilaiyalagan, 20; R. Matan, 21; dan R. Kathavarayan, 31; didakwa membunuh jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya , 47; pemandunya, Kamaruddin Shamsuddin, 44; peguam, Ahmad Kamil Abd. Karim, 32; dan pegawai Bank CIMB cawangan Kampung Baru, Noorhisham, 38.
Kejadian didakwa berlaku di Lot No. 2001, Jalan Tanjung Layang, Tanjung Sepat, Banting dekat sini antara pukul 8.30 malam hingga 9.45 malam, 30 Ogos tahun lalu.
Menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya, Saiful Edris Zainuddin, saksi memberitahu, terdapat spesimen-spesimen yang boleh dikenal pasti daripada bahagian tulang yang spesifik manakala bahagian yang tidak boleh dikenal pasti diperiksa secara berkumpulan.
Beliau bagaimanapun mengakui tidak dapat mengenal pasti jantina, umur atau ketinggian pemilik tulang-tulang itu kerana serpihannya amat kecil serta tidak boleh dicantumkan semula untuk pemeriksaan selain ia telah kehilangan bahan organik iaitu protein dan kolagen yang terkandung di dalamnya.
Sementara itu, Nurliza memaklumkan, beliau bersama tujuh lagi doktor perubatan forensik daripada beberapa hospital lain dibawa ke Ladang Gadong pada 14 September 2010 bagi membantu pihak forensik polis mencari tulang-tulang di kawasan tersebut.
Bagaimanapun, kesemua spesimen yang dijumpai pada hari itu diserahkan oleh pihak polis kepada beliau dua hari kemudian sementara bahan-bahan bukti yang dijumpai sebelum itu diserahkan pada 13 September 2010 untuk diperiksa.
Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Akhtar Tahir yang masuk hari ke-44 bersambung esok.
TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:

Wednesday, November 2, 2011

miskol

Terima panggilan lelaki tidak dikenali

SHAH ALAM 2 Nov. - Seorang pengurus projek sebuah syarikat swasta memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini bahawa dia menerima panggilan daripada seseorang yang tidak dikenali menggunakan nombor telefon bimbit milik pegawai CIMB Bank, Noorhisham Mohamad pada pukul 9.50 malam, 30 Ogos tahun lalu.

Lyly Zanariyah Manaf, 32, rakan sekerja Noorhisham di Jabatan Kredit CIMB ketika itu berkata, pemanggil tersebut mengajaknya berjumpa di pejabat pada keesokan hari walaupun ia cuti umum sempena Hari Kemerdekaan.

Saksi pendakwaan ke-62 itu memberitahu dia kemudian bertanya di mana Noorhisham kerana pemanggil yang tidak dikenali itu membuat panggilan daripada telefon bimbit rakannya itu.

''Sewaktu menyambut panggilan, pemanggil menyapa saya dengan nama Lyly. Dia tanya boleh jumpa saya esok. Saya tanya hendak jumpa di mana. Dia kata di pejabat. Saya kata esok cuti. Dia terkejut. Dia beritahu, kita jumpa hari berikutnya.

''Sebelum itu pemanggil ada menyebut namanya tetapi saya tidak dapat dengar. Bukan nama Noorhisham. Saya tanya di mana Noorhisyam, pemanggil seakan-akan terkejut. Dia kata aahh. Selepas itu dia matikan talian,'' jelasnya.

Dalam kes ini, bekas peguam, N. Pathmanabhan, 42; bersama tiga pekerja ladangnya, T. Thilaiyalagan, 20; R. Matan, 21; dan R. Kathavarayan, 31; didakwa membunuh jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya, 47; pemandunya, Kamaruddin Shamsuddin, 44; peguam, Ahmad Kamil Abd. Karim, 32; dan pegawai CIMB Bank cawangan Kampung Baru, Noorhisham, 38.

Kejadian didakwa berlaku di Lot No. 2001, Jalan Tanjung Layang, Tanjung Sepat, Banting dekat sini antara pukul 8.30 malam hingga 9.45 malam, 30 Ogos tahun lalu.

Menurut Lyly Zanariyah, nada suara pemanggil tersebut rendah, dalam dan intonasinya perlahan selain suasana latar panggilan tersebut sunyi.

Selepas dua atau tiga minit talian dimatikan, dia cuba menghubungi Noorhisham sebanyak dua kali dan tidak pernah mengulanginya selepas tarikh tersebut apabila dua panggilan terakhir itu masuk ke dalam peti simpanan suara.

Terdahulu, Lyly Zanariyah yang kini bekerja di Mywish List Sdn. Bhd. berkata, pada hari kejadian, semasa di pejabat, Noorhisham ada mengajaknya ke Banting untuk berbuka puasa dengan seorang peguam tetapi beliau menolak kerana telah merancang untuk berbuka puasa dengan kawan-kawannya.

Pakar Perunding Perubatan Forensik dari Hospital Kuala Lumpur, Dr. Nurliza Abdullah pula memberitahu menerima arahan untuk menganalisis bahan-bahan bukti pada pukul 3.30 petang, 13 September 2010 daripada pegawai penyiasat kes itu, Asisten Supritendan (ASP) Ishak Yaakob.

Beliau yang mempunyai kepakaran dalam bidang forensik antropologi turut menjelaskan secara terperinci tentang sains forensik berkaitan pemeriksaan ke atas tulang dan rangka manusia termasuk kepingan tulang yang telah berkecai.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Akhtar Tahir yang masuk hari ke-43 bersambung esok.