Nombor telefon tertuduh kedua tiada transaksi
SHAH ALAM 30 Sept. - Seorang kakitangan sebuah syarikat telekomunikasi memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini bahawa nombor telefon bimbit yang didaftarkan atas nama tertuduh kedua, T. Thilaiyalagan tidak mempunyai sebarang transaksi antara pukul 4.35 petang dan 11.48 malam, 30 Ogos tahun lalu.
Pegawai kanan di Unit Siasatan dan Penipuan, Digi Telecommunications Sdn. Bhd., Mohd Feisal Zakaria, 43, yang memberi keterangan sebagai saksi pendakwaan ke-55 mengesahkan fakta itu berdasarkan maklumat terperinci yang dicetak olehnya.
Beliau bagaimanapun tidak pasti mengapa nombor 010-2494927 itu tidak mempunyai sebarang transaksi selama lebih tujuh jam termasuk pada tempoh masa Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga lagi dipercayai dibunuh.
''Nombor 010-2494927 didaftarkan atas nama T. Thilaiyalagan pada 24 Disember 2009. Pada 30 Ogos 2009, nombor tersebut ada membuat panggilan ke nombor 016-3866101 yang didaftarkan atas nama R. Muniamah.
''Antara pukul 12.34 tengah hari dan 3.01 petang terdapat transaksi. Tetapi antara pukul 4.35 petang dan 11.48 malam, tiada sebarang transaksi. Saya tidak pasti kenapa,'' katanya semasa disoal oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nur Azimul Azami Mohamad Nor.
Dalam kes ini, N. Pathmanabhan, 42, bersama tiga pekerja ladangnya, Thilaiyalagan, 20, R. Matan, 21, dan R. Kathavarayan, 31, didakwa membunuh Sosilawati, 47, pemandunya, Kamaruddin Shamsuddin, 44, peguam, Ahmad Kamil Abd. Karim, 32, dan pegawai bank CIMB, Noorhisham Mohammad, 38.
Kejadian didakwa berlaku di Lot No. 2001, Jalan Tanjung Layang, Tanjung Sepat, Banting dekat sini antara pukul 8.30 malam dan 9.45 malam, 30 Ogos tahun lalu.
Menurut Mohd. Feisal, nombor prabayar atas nama Muniamah pula dikesan membuat panggilan kepada dua nombor telefon bimbit dari lokasi Subang Permai dan Taman Industri Subang pada pukul 9.36 malam dan 10 malam, 30 Ogos 2010.
Sementara panggilan terdahulu pada pukul 8.52 malam kepada satu nombor telefon bimbit pula dibuat dengan lokasi menunjukkan stesen pemancaran Jenjarom 2.
Bagi nombor 016-2045518 yang didaftarkan atas nama Asadul pula, saksi memberitahu, satu panggilan dibuat ke nombor 012-2222541 (nombor yang didaftarkan atas nama Sosilawati) menggunakan stesen pemancar Teluk Datok.
Beliau juga mengesahkan kesemua transaksi nombor tersebut berlaku di sekitar Banting antara pukul 10 pagi dan 6 petang pada 30 Ogos 2010.
No comments:
Post a Comment