Thursday, September 29, 2011

darah binatang

Darah mungkin daripada najis binatang

SHAH ALAM 29 Sept. - Mahkamah Tinggi di sini hari ini diberitahu bahawa 65 sampel tanah yang diambil dari Ladang Gadong, Banting didapati positif selepas ujian mengesan darah dilakukan berkemungkinan disebabkan kehadiran darah pada najis binatang di dalam sampel tersebut.

Timbalan Ketua Bahagian Digital, Makmal Forensik Polis Diraja Malaysia, Asisten Komisioner (ACP) Hussein Omar Khan mengakui darah yang ada dalam najis lembu, kambing atau anjing akan menyebabkan keputusan positif semasa ia diuji di ladang tempat Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga lagi dipercayai dibunuh dan dibakar.

Beliau yang merupakan saksi pendakwaan ke-51 juga bersetuju apabila dicadangkan bahawa binatang-binatang itu mempunyai masalah usus seperti manusia yang menyebabkan terdapat darah di dalam najis.

''Ya, kalau buat ujian atas tanah dan ia positif darah, hemoglobin daripada dalam tahi lembu,'' akui beliau terhadap cadangan-cadangan peguam Manjeet Singh Dhilloan yang mewakili tertuduh pertama, N. Pathmanabhan semasa menyoal balas saksi tersebut.

Dalam keterangan beliau semalam, Hussein mengesahkan bahawa 65 sampel tanah yang diambil selepas tanah sedalam 90 sentimeter digerudi di Ladang Gadong didapati positif darah selepas diuji dengan menggunakan 'Hemoccult Sensor Card'.

Saksi itu bagaimanapun mengakui bahawa pemeriksaan lanjut oleh pakar di Jabatan Kimia Malaysia terhadap sampel-sampel tanah itu memberikan hasil yang sebaliknya iaitu negatif darah.

Dalam kes ini, Pathmanabhan, 42, bersama tiga pekerja ladangnya, T. Thilaiyalagan, 20, R. Matan, 21, dan R. Kathavarayan, 31, didakwa membunuh Sosilawati, 47, pemandunya, Kamaruddin Shamsuddin, 44, peguam, Ahmad Kamil Abd. Karim, 32, dan pegawai bank CIMB, Noorhisham Mohammad, 38.

Kejadian didakwa berlaku di Lot No. 2001, Jalan Tanjung Layang, Tanjung Sepat, Banting dekat sini antara pukul 8.30 malam dan 9.45 malam, 30 Ogos tahun lalu.

Semasa ditanya sama ada empat ketul logam yang ditemui di dasar Sungai Panchau, Banting adalah emas, Hussein menjawab beliau bukan pakar dan bahan itu hanya dipercayai emas berdasarkan warna dan berat.

Pada prosiding hari ini, saksi itu turut disoal dengan pelbagai soalan oleh Manjeet seperti jenis kayu yang dikatakan diguna untuk membakar mangsa-mangsa dan paras air pasang surut di Sungai Panchau serta berkaitan bidang forensik visual bagi menentukan tahap kepakaran beliau dalam bidang tersebut.

Bagaimanapun, semasa bertanyakan soalan tersebut, peguam itu sempat bergurau mengatakan beliau hanya kenal seorang dalam hidupnya yang mempunyai kebolehan forensik visual iaitu Christoper Reeves atau 'Superman'.

Semasa dicadangkan bahawa tindakan memungut apa sahaja bahan yang ditemui semasa pemeriksaan di Sungai Panchau dilakukan selepas dimarahi kerana membuang semula barang-barang yang ditemui di dalam Sungai Kampung Kanchong Laut, Hussein dengan tegas menjawab:''Sangat tidak bersetuju."

Menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya Idham Abd. Ghani semasa disoal semula, Hussein memberitahu, beliau tidak menimbang serpihan-serpihan tulang yang ditemui kerana ia kebiasaannya dilakukan oleh pihak hospital.

Katanya, teknik pencarian yang dilakukan oleh beliau dan pasukannya semasa mencari barang bukti dalam kes pembunuhan itu juga pernah digunakan ketika siasatan kes-kes pembunuhan lain dan ia tidak pernah dipertikaikan.

Ditanya sama ada tindakan mencuci serpihan tulang akan menimbulkan kesan, Hussein menjelaskan tanah pada bahan bukti itu akan hilang serta ia boleh menimbulkan calar bergantung kepada cara tulang tersebut dibersihkan.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Akhtar Tahir yang masuk hari ke-37 bersambung esok.
TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:

No comments:

Post a Comment