Thursday, September 22, 2011

panggilan misteri

Panggilan misteri malam kejadian

Oleh NOOR AZMAH IBRAHIM
pengarang@utusan.com.my

SHAH ALAM 22 Sept. - Seorang penolong eksekutif di Felda Palm Industry memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini bahawa beliau menerima panggilan 'misteri' daripada nombor telefon bimbit yang didaftarkan atas nama Noorhisham Mohammad pada pukul 10 malam, 30 Ogos tahun lalu.

Jeffrydin Hamdan, 40, biras kepada pegawai Bank CIMB yang turut dibunuh bersama-sama Datuk Sosilawati Lawiya pada malam itu berkata, bagaimanapun tiada sebarang suara didengar di hujung talian selain deruan angin seperti kereta yang sedang bergerak.

''Saya terima panggilan daripada Noorhisham. Saya cakap 'hello, hello Hisham', tetapi sebelah sana tiada jawapan. Saya dengar bunyi angin macam kereta sedang bergerak,'' katanya semasa disoal oleh Timbalan Pendakwa Raya, Saiful Edris Zainuddin.

Dalam kes ini, bekas peguam, N. Pathmanabhan, 42, bersama tiga pekerja ladangnya, T. Thilaiyalagan, 20, R. Matan, 21, dan R. Kathavarayan, 31, didakwa membunuh Sosilawati, 47, pemandunya, Kamaruddin Shamsuddin, 47, peguam, Ahmad Kamil Abd. Karim, 32, dan Noorhisham, 38.

Kejadian didakwa berlaku di Lot No. 2001, Jalan Tanjung Layang, Tanjung Sepat, Banting dekat sini antara pukul 8.30 malam hingga 9.45 malam, 30 Ogos tahun lalu.

Menurut Jeffrydin, beliau kemudiannya mematikan talian tersebut dan tidak cuba menelefon semula Noorhisham dengan anggapan lelaki itu akan menelefonnya semula jika ada perkara penting.

Bagaimanapun katanya, tiada lagi sebarang panggilan diterima daripada Noorhisham selepas itu dan dia mengetahui birasnya itu tiada di rumah kerana bekerja di luar kawasan pada keesokan hari.

''Pada 31 Ogos 2010, saya hendak jemput anak di rumahnya. Sepatutnya hari itu Noorhisham bawa anak saya berbuka di luar. Saya tanya mana Noorhisham. Isterinya, Suzana Radin Pangat beritahu dia kerja,'' jelasnya.

Sementara itu, pakar bahagian teknikal dalam bidang telekomunikasi dan teknologi Celcom, Haizal Hambali, 35, pula memberitahu, dia telah melakukan ujian panggilan dengan menggunakan dua nombor telefon bimbit di beberapa lokasi di Ladang Gadong pada Mac lalu.

Saksi pendakwaan ke-44 yang pernah membuat ujian sama bagi kes pembunuhan wanita Mongolia, Altantuya Shaariibuu berkata, ujian tersebut dilakukan bagi membuat simulasi panggilan dan kedudukan panggilan di ladang tersebut.

''Semasa di ladang itu, saya guna dua nombor iaitu 013-3150352 dan 013-3510353 dan panggilan sentiasa dihubungkan ke stesen pemancar Batu Laut, Banting dan tidak ada satu pun yang dihubungkan ke stesen pemancar luar kawasan Banting,'' jelas beliau.

Menurut Haizal, walaupun kedua-dua nombor tersebut tidak dapat mengeluarkan rekod transaksi telefon bimbit (CDR), nombor yang sama digunakan untuk menguji panggilan termasuk bagi menguji kualiti liputan Celcom.

Berhubung pemilihan stesen pemancar yang menghubungkan panggilan, kata saksi, ia bergantung kepada kualiti liputan yang diterima oleh telefon bimbit, antena dan kualiti telefon itu sendiri.

Menjawab soalan Hakim Datuk Akhtar Tahir tentang jarak panggilan, Haizal mengakui kebiasaannya stesen pemancar yang paling dekat akan memberi isyarat atau liputan yang terbaik.

Perbicaraan yang masuk hari ke-32 hari ini bersambung esok.

No comments:

Post a Comment