Monday, October 10, 2011

kena pukul suka sosila

Kamaruddin dipukul kerana disukai Sosilawati

SHAH ALAM 10 Okt. - Tindakan Datuk Sosilawati Lawiya menunjuk ke arah Kamaruddin Shamsudin semasa disoal oleh tertuduh pertama, N. Pathmanabhan siapa yang paling disukainya, menyebabkan pemandunya itu dipukul dengan kayu kriket pada kedua-dua belah kakinya pada 30 Ogos tahun lalu.
Melihat Kamaruddin dipukul, jutawan kosmetik itu yang pada mulanya enggan mengikut arahan dikatakan telah membuat panggilan kepada keluarganya dan mengatakan dia hanya akan pulang selepas tiga atau empat hari kerana ada urusan di Genting Highlands.
Pathmanabhan kemudiannya dilihat berbisik kepada tertuduh keempat, R. Kathavarayan sebelum dia memberitahu tertuduh kedua, T. Thilaiyalagan bahawa peguam itu menyuruh mereka menghabiskan atau membunuh Sosilawati, Kamaruddin dan dua lagi mangsa.
Itu merupakan cadangan-cadangan yang diajukan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Saiful Edris Zainuddin kepada K. Sarawanan semasa menyoal balas saksi pendakwaan ke-59 di Mahkamah Tinggi di sini hari ini.
Bagaimanapun, kesemua cadangan itu dijawab ''Tidak setuju'' oleh Sarawanan yang sedang menjalani hukuman penjara 20 tahun di Penjara Sungai Udang Melaka bagi kesalahan melupuskan mayat Sosilawati dan tiga lagi.
''Saya katakan kepada kamu, abang lawyer (Pathmanabhan) tanya pada kakak (Sosilawati), siapa antara tiga lelaki Melayu yang paling disukai, kakak jawab banker. Sekali lagi ditanya soalan itu kepada Sosilawati dan kali ini Sosilawati tunjuk ke arah pemandu (Kamaruddin).
''Setelah mendengar jawapan itu, kamu telah disuruh untuk memukul pemandu itu dengan kayu kriket pada kedua-dua kakinya. Kamu dan Suresh kemudiannya memukul pemandu itu,'' cadang Saiful Edris.
Pathmanabhan, 42, bersama tiga pekerja ladangnya, Thilaiyalagan, 20, R. Matan, 21, dan Kathavarayan, 31, dibicarakan atas tuduhan membunuh Sosilawati, 47, Kamaruddin, 44, peguam, Ahmad Kamil Abd. Karim, 32, dan pegawai bank CIMB, Noorhisham Mohammad, 38.
Kejadian didakwa berlaku di Lot No. 2001, Jalan Tanjung Layang, Tanjung Sepat, Banting dekat sini antara pukul 8.30 malam dan 9.45 malam, 30 Ogos tahun lalu.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Ishak Mohd. Yusoff mencadangkan bahawa Kathavarayan dan Thilaiyalagan telah datang berjumpa Sarawanan pada pukul 4.30 petang, 29 Ogos 2010 di tempat kerjanya dan menyuruh mekanik motosikal itu datang ke 'palm house' di Ladang Gadong pada keesokan hari.
Sarawanan yang mengaku mengenali Pathmanabhan sejak dua tahun sebelum kejadian dikatakan datang ke ladang itu pada pukul 6 petang, 30 Ogos 2010 dan ternampak peguam itu berada di situ manakala Thilaiyalagan, Suresh dan Matan pula sedang menyusun kayu.
Semasa berada di tempat tersebut, Sarawanan dicadangkan bahawa dia melihat Kathavarayan menyerahkan sebilah parang kepada Thilayalagan serta lelaki itu menyediakan senjata lain seperti kayu, parang dan kayu kriket bagi menangkap, mengawal dan memukul individu-individu yang akan datang ke ladang itu pada hari itu.
Pada pukul 7.15 petang, Saiful Edris pula mencadangkan bahawa Sarawanan melihat dua buah kereta tiba dan Kathavarayan telah merangkul leher salah seorang pemandu dari belakang, Thilaiyalagan membuat perkara yang sama terhadap Ahmad Kamil manakala dia sendiri memegang kedua-dua tangan salah seorang daripada empat mangsa.
''Saya katakan kamu ada melihat Kathavarayan mengugut untuk gunakan senjata parang terhadap semua yang hadir dan menyuruh mereka mengeluarkan telefon bimbit, jam tangan dan dompet serta menyuruh membuka baju dan seluar mereka.
''Saya katakan Thilaiyalagan pula bertindak mengikat tangan keempat-empat mangsa menggunakan dawai. Kamu juga melihat Kathavarayan ada meminta Pathmanabhan menyuruh keempat-empat mereka membuat panggilan kepada keluarga masing-masing dan memberitahu akan balik selepas tiga hari sebab ada urusan kerja di Genting,'' kata beliau.
Sebagaimana cadangan lain, saksi menafikan dan hanya memberikan jawapan 'tidak setuju' dan 'tidak tahu' dalam bahasa Tamil yang diterjemahkan oleh jurubahasa mahkamah.
Sebaik sahaja timbalan pendakwa raya itu mencadangkan bahawa Sosilawati, Kamaruddin, Ahmad Kamil dan Noorhisham kemudiannya telah dibunuh oleh Thilaiyalagan dengan kerjasama Sarawanan, Suresh, Matan dan Pathmanabhan, peguam Manjeet Singh Dhillon bangun membantah.
Hakim Datuk Akhtar Tahir yang sebelum itu membenarkan permohonan pihak pendakwaan untuk menyoal balas Sarawanan memerintahkan kedua-dua pihak berhujah tentang skop prosiding dan bagaimana ia sepatutnya dikendalikan.
Sementara itu, seorang jurutera, K. Sree Ganashan yang turut memberi keterangan hari ini mengesahkan beliau membantu ibu saudaranya menguruskan penjualan ladang kelapa sawit di Ladang Gadong kepada Pathmanabhan pada Ogos tahun lalu.
Perbicaraan yang masuk hari ke-39 bersambung esok.

No comments:

Post a Comment