Friday, September 30, 2011

telefon kedua

Nombor telefon tertuduh kedua tiada transaksi

SHAH ALAM 30 Sept. - Seorang kakitangan sebuah syarikat telekomunikasi memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini bahawa nombor telefon bimbit yang didaftarkan atas nama tertuduh kedua, T. Thilaiyalagan tidak mempunyai sebarang transaksi antara pukul 4.35 petang dan 11.48 malam, 30 Ogos tahun lalu.

Pegawai kanan di Unit Siasatan dan Penipuan, Digi Telecommunications Sdn. Bhd., Mohd Feisal Zakaria, 43, yang memberi keterangan sebagai saksi pendakwaan ke-55 mengesahkan fakta itu berdasarkan maklumat terperinci yang dicetak olehnya.

Beliau bagaimanapun tidak pasti mengapa nombor 010-2494927 itu tidak mempunyai sebarang transaksi selama lebih tujuh jam termasuk pada tempoh masa Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga lagi dipercayai dibunuh.

''Nombor 010-2494927 didaftarkan atas nama T. Thilaiyalagan pada 24 Disember 2009. Pada 30 Ogos 2009, nombor tersebut ada membuat panggilan ke nombor 016-3866101 yang didaftarkan atas nama R. Muniamah.

''Antara pukul 12.34 tengah hari dan 3.01 petang terdapat transaksi. Tetapi antara pukul 4.35 petang dan 11.48 malam, tiada sebarang transaksi. Saya tidak pasti kenapa,'' katanya semasa disoal oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nur Azimul Azami Mohamad Nor.

Dalam kes ini, N. Pathmanabhan, 42, bersama tiga pekerja ladangnya, Thilaiyalagan, 20, R. Matan, 21, dan R. Kathavarayan, 31, didakwa membunuh Sosilawati, 47, pemandunya, Kamaruddin Shamsuddin, 44, peguam, Ahmad Kamil Abd. Karim, 32, dan pegawai bank CIMB, Noorhisham Mohammad, 38.

Kejadian didakwa berlaku di Lot No. 2001, Jalan Tanjung Layang, Tanjung Sepat, Banting dekat sini antara pukul 8.30 malam dan 9.45 malam, 30 Ogos tahun lalu.

Menurut Mohd. Feisal, nombor prabayar atas nama Muniamah pula dikesan membuat panggilan kepada dua nombor telefon bimbit dari lokasi Subang Permai dan Taman Industri Subang pada pukul 9.36 malam dan 10 malam, 30 Ogos 2010.

Sementara panggilan terdahulu pada pukul 8.52 malam kepada satu nombor telefon bimbit pula dibuat dengan lokasi menunjukkan stesen pemancaran Jenjarom 2.

Bagi nombor 016-2045518 yang didaftarkan atas nama Asadul pula, saksi memberitahu, satu panggilan dibuat ke nombor 012-2222541 (nombor yang didaftarkan atas nama Sosilawati) menggunakan stesen pemancar Teluk Datok.

Beliau juga mengesahkan kesemua transaksi nombor tersebut berlaku di sekitar Banting antara pukul 10 pagi dan 6 petang pada 30 Ogos 2010.

Thursday, September 29, 2011

darah binatang

Darah mungkin daripada najis binatang

SHAH ALAM 29 Sept. - Mahkamah Tinggi di sini hari ini diberitahu bahawa 65 sampel tanah yang diambil dari Ladang Gadong, Banting didapati positif selepas ujian mengesan darah dilakukan berkemungkinan disebabkan kehadiran darah pada najis binatang di dalam sampel tersebut.

Timbalan Ketua Bahagian Digital, Makmal Forensik Polis Diraja Malaysia, Asisten Komisioner (ACP) Hussein Omar Khan mengakui darah yang ada dalam najis lembu, kambing atau anjing akan menyebabkan keputusan positif semasa ia diuji di ladang tempat Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga lagi dipercayai dibunuh dan dibakar.

Beliau yang merupakan saksi pendakwaan ke-51 juga bersetuju apabila dicadangkan bahawa binatang-binatang itu mempunyai masalah usus seperti manusia yang menyebabkan terdapat darah di dalam najis.

''Ya, kalau buat ujian atas tanah dan ia positif darah, hemoglobin daripada dalam tahi lembu,'' akui beliau terhadap cadangan-cadangan peguam Manjeet Singh Dhilloan yang mewakili tertuduh pertama, N. Pathmanabhan semasa menyoal balas saksi tersebut.

Dalam keterangan beliau semalam, Hussein mengesahkan bahawa 65 sampel tanah yang diambil selepas tanah sedalam 90 sentimeter digerudi di Ladang Gadong didapati positif darah selepas diuji dengan menggunakan 'Hemoccult Sensor Card'.

Saksi itu bagaimanapun mengakui bahawa pemeriksaan lanjut oleh pakar di Jabatan Kimia Malaysia terhadap sampel-sampel tanah itu memberikan hasil yang sebaliknya iaitu negatif darah.

Dalam kes ini, Pathmanabhan, 42, bersama tiga pekerja ladangnya, T. Thilaiyalagan, 20, R. Matan, 21, dan R. Kathavarayan, 31, didakwa membunuh Sosilawati, 47, pemandunya, Kamaruddin Shamsuddin, 44, peguam, Ahmad Kamil Abd. Karim, 32, dan pegawai bank CIMB, Noorhisham Mohammad, 38.

Kejadian didakwa berlaku di Lot No. 2001, Jalan Tanjung Layang, Tanjung Sepat, Banting dekat sini antara pukul 8.30 malam dan 9.45 malam, 30 Ogos tahun lalu.

Semasa ditanya sama ada empat ketul logam yang ditemui di dasar Sungai Panchau, Banting adalah emas, Hussein menjawab beliau bukan pakar dan bahan itu hanya dipercayai emas berdasarkan warna dan berat.

Pada prosiding hari ini, saksi itu turut disoal dengan pelbagai soalan oleh Manjeet seperti jenis kayu yang dikatakan diguna untuk membakar mangsa-mangsa dan paras air pasang surut di Sungai Panchau serta berkaitan bidang forensik visual bagi menentukan tahap kepakaran beliau dalam bidang tersebut.

Bagaimanapun, semasa bertanyakan soalan tersebut, peguam itu sempat bergurau mengatakan beliau hanya kenal seorang dalam hidupnya yang mempunyai kebolehan forensik visual iaitu Christoper Reeves atau 'Superman'.

Semasa dicadangkan bahawa tindakan memungut apa sahaja bahan yang ditemui semasa pemeriksaan di Sungai Panchau dilakukan selepas dimarahi kerana membuang semula barang-barang yang ditemui di dalam Sungai Kampung Kanchong Laut, Hussein dengan tegas menjawab:''Sangat tidak bersetuju."

Menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya Idham Abd. Ghani semasa disoal semula, Hussein memberitahu, beliau tidak menimbang serpihan-serpihan tulang yang ditemui kerana ia kebiasaannya dilakukan oleh pihak hospital.

Katanya, teknik pencarian yang dilakukan oleh beliau dan pasukannya semasa mencari barang bukti dalam kes pembunuhan itu juga pernah digunakan ketika siasatan kes-kes pembunuhan lain dan ia tidak pernah dipertikaikan.

Ditanya sama ada tindakan mencuci serpihan tulang akan menimbulkan kesan, Hussein menjelaskan tanah pada bahan bukti itu akan hilang serta ia boleh menimbulkan calar bergantung kepada cara tulang tersebut dibersihkan.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Akhtar Tahir yang masuk hari ke-37 bersambung esok.
TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:

Wednesday, September 28, 2011

sampel kesan darah

65 sampel tanah terdapat kesan darah

SHAH ALAM 28 Sept. - Sebanyak 65 sampel tanah yang mempunyai kesan darah ditemui di Ladang Gadong, Banting iaitu lokasi Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga lagi dipercayai dibunuh sebelum dibakar pada Ogos tahun lalu.

Timbalan Ketua Bahagian Digital, Makmal Forensik Polis Diraja Malaysia, Asisten Komisioner (ACP) Hussein Omar Khan semasa memberi keterangan di Mahkamah Tinggi di sini hari ini berkata, penemuan itu hasil kerja-kerja menggali yang dilakukan di kawasan tapak pembakaran berhampiran sebuah kolam di ladang tersebut.

Jelas saksi pendakwaan ke-51 itu, kerja-kerja tersebut dilakukan oleh beliau dan pasukannya di beberapa lokasi dengan bantuan pegawai Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia pada 9 dan 10 Oktober tahun lalu.

''Kami dibantu oleh pegawai penyiasat untuk menentukan lokasi-lokasi yang sesuai digali bagi mendapatkan sampel, sementara bagi kerja-kerja menggerudi, ia dibuat oleh pegawai Jabatan Mineral dan Geosains.

''Tanah sedalam 90 sentimeter digerudi dengan menggunakan satu alat khas. Pada setiap 10 sentimeter, saya ambil sampel sebesar kiub dua sentimeter untuk diuji dengan 'hemocculet sensor card' bagi mengesan kehadiran darah.

''Pada 9 Oktober, sebanyak 16 sampel tanah didapati positif darah dan pada 10 Oktober pula, sebanyak 49 sampel tanah diuji dan positif darah,'' katanya semasa disoal oleh Timbalan Pendakwa Raya, Idham Abd. Ghani.

Dalam kes ini, N. Pathmanabhan, 42, bersama tiga pekerja ladangnya, T. Thilaiyalagan, 20, R. Matan, 21, dan R. Kathavarayan, 31, didakwa membunuh Sosilawati, 47, pemandunya, Kamaruddin Shamsuddin, 47, peguam, Ahmad Kamil Abd. Karim, 32, dan pegawai bank CIMB, Noorhisham Mohammad, 38.

Kejadian didakwa berlaku di Lot No. 2001, Jalan Tanjung Layang, Tanjung Sepat, Banting dekat sini antara pukul 8.30 malam hingga 9.45 malam, 30 Ogos tahun lalu.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Bagaimanapun semasa disoal oleh peguam Manjeet Singh Dhillon yang mewakili Pathmanabhan, Hussein mengakui bahawa pemeriksaan lanjut oleh Jabatan Kimia Malaysia terhadap sampel-sampel tanah itu menunjukkan ia negatif darah.

Menurut beliau, hasil pemeriksaan di dasar Sungai Panchau, Banting pada 15 September 2010, menemui sebanyak 417 serpihan tulang, tiga batang gigi, dua utas rantai, dua keping syiling, satu anak kunci, 15 kepingan logam dan empat ketulan logam dipercayai emas.

Katanya, penemuan itu setelah pencarian dibuat dalam kawasan sejauh 24 meter dan lebar lima meter dengan tanah dasar sungai sedalam 30 sentimeter diayak dengan menggunakan penapis.

Sementara jam tangan jenis Seiko Honda Racing Team milik Kamaruddin dan jam tangan jenama Bell & Ross milik Ahmad Kamil ditemui di dasar Sungai Kanchung Laut semasa pencarian dibuat pada 13 dan 14 September 2010.

Beliau turut mengakui anggota yang membuat pencarian di dasar sungai tidak memakai sarung tangan getah semasa kerja-kerja itu dilakukan kerana keadaan persekitaran dengan permukaan yang tajam menyebabkan ia pecah.

Bagi pemeriksaan di sebuah ladang kelapa sawit di Jalan Sungai Arak, Banting pada hari yang sama pula, pasukannya menemui 11 batang kayu termasuk sebesar kayu balak yang ada kesan terbakar serta sampel sisa-sisa kebakaran.

Pada prosiding hari ini, tertuduh keempat, Kathavarayan yang dilihat tidak sihat dan agak susut tubuhnya tidak hadir kerana dibawa oleh pihak penjara ke hospital untuk mendapatkan rawatan.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Akhtar Tahir yang masuk hari ke-36 bersambung esok.
TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:

Tuesday, September 27, 2011

darah pada kayu kriket

Darah, rambut pada kayu kriket dari ladang

SHAH ALAM 27 Sept. - Kesan titisan darah dan sehelai rambut ditemui pada kayu kriket yang dijumpai di bilik ketiga dalam bangunan satu tingkat di Ladang Gadong, lokasi Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga lagi didakwa diikat dan dipukul sebelum dibunuh pada Ogos tahun lalu.

Ketua Bahagian Kimia, Makmal Forensik Polis Diraja Malaysia (PDRM), Supritendan Soo Me Tong semasa memberi keterangan di Mahkamah Tinggi di sini hari ini berkata, kayu yang diperoleh hasil pemeriksaan pada 12 September 2010 diambil untuk ujian perbandingan asid deoksiribonukleik (DNA).

"Kayu pemukul (kriket) itu dijumpai dalam kedudukan sebagaimana dalam foto. Saya ambil kayu pemukul itu berdasarkan taklimat untuk perbandingan DNA. Atas kayu pemukul itu ada titisan darah dan sehelai rambut," katanya semasa disoal oleh Timbalan Pendakwa Raya, Ishak Mohd. Yusoff.

Dalam kes ini, N. Pathmanabhan, 42, bersama tiga pekerja ladangnya, T. Thilaiyalagan, 20, R. Matan, 21, dan R. Kathavarayan, 31, didakwa membunuh Sosilawati, 47, pemandunya, Kamaruddin Shamsuddin, 47, peguam, Ahmad Kamil Abd. Karim, 32, dan pegawai bank CIMB, Noorhisham Mohammad, 38.

Kejadian didakwa berlaku di Lot No. 2001, Jalan Tanjung Layang, Tanjung Sepat, Banting dekat sini antara pukul 8.30 malam dan 9.45 malam, 30 Ogos tahun lalu.

Ishak semasa membuka tirai pendakwaan pada 4 Julai lalu berkata, kes pendakwaan akan diperkukuhkan oleh keterangan Ketua Seksyen DNA Forensik, Jabatan Kimia Malaysia, Lim Kong Boon berhubung penemuan DNA Noorhisham pada kayu kriket.

Sementara itu, semasa ditanya oleh peguam mewakili Pathmanabhan, Manjeet Singh Dhillon, Me Tong mengaku kenyataan Pengarah Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd. Bakri Mohd. Zinin kepada media sebelum ini bahawa kayu kriket ditemui dalam Sungai Panchau adalah tidak tepat.

Saksi pendakwaan ke-48 itu berkata, kesilapan itu berlaku mungkin kerana fakta yang diperoleh tidak tepat, selain tidak pasti jika ada sebarang pembetulan dibuat berhubung kenyataan tersebut.

Beliau juga menafikan memberi sebarang taklimat kepada enam pakar patologi forensik dari enam hospital serta kakitangan perubatan yang hadir untuk membantu melakukan pencarian di ladang kelapa sawit itu pada 14 September 2010.

Sebaliknya, jelas Me Tong, taklimat telah diberi oleh Dr. Nurliza Abdullah yang turut mengetuai pencarian di dalam satu daripada empat zon sebelum kerja-kerja dilakukan di tapak Sosilawati dikatakan dibunuh dan dibakar.

"Saya tidak beri arahan kepada kakitangan perubatan bagaimana hendak mencari bahan bukti. Peralatan untuk membuat pencarian dibawa oleh kenderaan siasatan tempat kejadian jenayah.

"Kakitangan perubatan daripada tiga hospital itu juga membawa peralatan seperti penggali, bakul, penyepit kecil, kasut getah dan lain-lain lagi," katanya.

Semasa disoal balas oleh peguam Amer Hamzah Arshad yang mewakili Matan, saksi itu mengakui bahawa kesan-kesan darah yang ditemui di ladang tersebut tidak dipastikan sama ada ia adalah darah manusia atau haiwan.

Ia berikutan ujian mengenal pasti darah milik haiwan atau manusia tidak dilakukan di situ, sebaliknya hanya ujian untuk mengenal pasti positif atau negatif darah dibuat.

Begitu juga cebisan-cebisan tulang yang dijumpai tidak disahkan sama ada ia milik manusia atau haiwan selain tidak diuji usianya semasa pemeriksaan di ladang kelapa sawit itu.

"Selepas pencarian pada 12 September, kami terpaksa membuat temujanji dengan pakar-pakar patologi. Kami buat pencarian pada 14 September kerana itu adalah tarikh paling cepat yang kami dapat," katanya sewaktu menjawab soalan Hakim Datuk Akhtar Tahir.

Perbicaraan yang masuk hari ke-35 bersambung esok.
TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:

Monday, September 26, 2011

titisan darah

Kesan titisan darah di ladang sawit

Oleh NOOR AZMAH IBRAHIM
pengarang@utusan.com.my

SHAH ALAM 26 Sept. – Cebisan tulang dan gigi ditemui oleh pasukan forensik polis berhampiran pokok kelapa sawit di dalam Ladang Gadong, Banting, iaitu tempat Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga lagi didakwa dibunuh dan dibakar pada 30 Ogos tahun lalu.

Ketua Bahagian Kimia, Makmal Forensik Polis Diraja Malaysia (PDRM), Supritendan Soo Me Tong yang memberi keterangan di Mahkamah Tinggi di sini hari ini berkata, penemuan itu dibuat hasil panduan enam pakar patologi forensik dari tiga hospital yang mengetuai pencarian pada 14 September 2010.

Menurut saksi pendakwaan ke-48 itu, turut ditemui di lokasi yang sama adalah kepingan logam, sebatang kayu dan serpihan kayu terbakar, sehelai seluar dalam jenama Hush Puppies saiz M, seluar panjang jenama Snail Classic saiz M, cebisan kain guni dan stokin, sisa kebakaran berwarna biru, wayar hijau dan satu kod bar.

‘‘Enam doktor dari Hospital Kuala Lumpur, Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang dan Hospital Melaka turut hadir. Peranan mereka untuk membantu mencari sisa-sisa tulang serta mengesahkan sama ada ia tulang atau bahan lain.

‘‘Pencarian dibahagikan kepada empat zon dan setiap satu zon diketuai oleh salah seorang daripada mereka. Satu cebisan tulang ditemui di zon B, dua cebisan di zon C dan lebih 15 cebisan tulang serta gigi ditemui di zon D,’’ katanya ketika menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya, Idham Abd. Ghani.

Dalam kes ini, N. Pathmanabhan, 42, bersama tiga pekerja ladangnya, T. Thilaiyalagan, 20, R. Matan, 21, dan R. Kathavarayan, 31, didakwa membunuh Sosilawati, 47, pemandunya, Kamaruddin Shamsuddin, 47, peguam, Ahmad Kamil Abd. Karim, 32, dan pegawai bank CIMB, Noorhisham Mohammad, 38.

Kejadian didakwa berlaku di Lot No. 2001, Jalan Tanjung Layang, Tanjung Sepat, Banting dekat sini antara pukul 8.30 malam hingga 9.45 malam, 30 Ogos tahun lalu.

Menurut Me Tong, tempat yang dikatakan mayat-mayat mangsa dibakar itu ditutup dengan atap zink dan kayu-kayan, manakala permukaan atas tanah dipenuhi najis kambing semasa beliau dan pasukannya tiba di situ.

Selain membuat pencarian selepas mengalihkan kayu dan zink-zink tersebut, beliau turut melihat terdapat kesan-kesan layu pada pokok kelapa sawit berhampiran kawasan pembakaran itu.

Terdahulu, pegawai forensik polis itu memberitahu, beliau dan pasukannya turut menemui kesan-kesan titisan darah semasa membuat pemeriksaan dalam bangunan satu tingkat yang mempunyai lima bilik di dalam ladang tersebut pada 12 September 2010.

Di dalam bangunan tempat Sosilawati dan tiga lagi didakwa diikat, dipukul dan diserang itu, beliau turut menemui sebatang kayu kriket, satu tong berisi cecair bahan bakar, keratan wayar berwarna hijau dan dua puntung rokok.

Sementara enam kesan cap jari yang berjaya ditimbulkan ditemui pada almari, laci di dalam almari yang sama dan pada botol minuman Coca-Cola di dalam bilik ketiga.

Semasa pencarian itu dilakukan, beliau dan pasukannya mengikut pegawai penyiasat, Asisten Supritendan (ASP) Mohd. Ishak Yaakob dan pegawai soal siasat, Cif Inspektor N. Govindan sambil dipandu oleh dua tertuduh, Matan dan Kathavarayan serta seorang lagi pekerja ladang tersebut, U. Suresh.

‘‘Kesan titisan darah yang diuji dan disahkan positif darah itu ditemui di luar dinding bilik pertama, kedua, ketiga dan kelima, pada kusyen dan sarung kusyen di depan bilik kedua dan pada televisyen di depan bilik ketiga.

‘‘Sebatang kayu kriket dan dua puntung rokok ditemui di bilik ketiga, satu tong plastik berisi dua pertiga cecair bahan bakar serta beberapa keratan wayar hijau ditemui di bilik ke lima. Satu penyodok dijumpai di dalam pondok berhampiran bangunan itu,’’ katanya.

Jelasnya, setiap bahan bukti termasuk sampel tanah di kawasan itu ditanda oleh beliau sendiri dengan tandatangannya serta tarikh hari tersebut sebelum dimasukkan ke dalam sampul dan diserah kepada pegawai penyiasat kes pada hari yang sama.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Akhtar Tahir yang masuk hari ke-34 hari ini bersambung esok.

Saturday, September 24, 2011

kesan panggilan

Panggilan telefon tertuduh dikesan

Oleh NOOR AZMAH IBRAHIM
pengarang@utusan.com.my

SHAH ALAM 23 Sept. – Nombor telefon bimbit yang didaftarkan atas nama firma guaman milik N. Pathmanabhan dikesan membuat beberapa panggilan di sekitar kawasan Subang Jaya antara pukul 9.55 malam dan 11.46 malam pada hari Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga lagi didakwa dibunuh.

Pakar Teknologi di Bahagian Keselamatan, Maxis Mobile Sdn. Bhd., Ahmad Safuan Shaharani, 32, semasa memberi keterangan di Mahkamah Tinggi di sini berkata, panggilan daripada nombor 012-2051243 dibuat kepada dua nombor telefon bimbit lain serta peti simpanan suara.

Menurutnya, kesemua panggilan yang dibuat daripada nombor yang didaftarkan atas nama Pathma Nalli & Patners itu berjaya disambungkan berdasarkan bayaran yang dikenakan bagi setiap panggilan tersebut.

‘‘Pada pukul 9.55 malam, 30 Ogos 2010, nombor itu (dikesan) membuat panggilan kepada nombor 016-2123641 selama 12 saat dan pemanggil berada di Subang Jaya.

‘‘Pada pukul 10.30 malam hari yang sama, nombor tersebut membuat panggilan kepada nombor peti simpanan suara. Panggilan itu berjaya dan pemanggil berada di SS12, Subang Jaya,’’ jelas beliau semasa disoal oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nur Azimul Azami Mohamad Nor.

Pathmanabhan, 42, bersama tiga pekerja ladangnya, T. Thilaiyalagan, 20, R. Matan, 21, dan R. Kathavarayan, 31, didakwa membunuh Sosilawati, 47, pemandunya, Kamaruddin Shamsuddin, 47, peguam, Ahmad Kamil Abd. Karim, 32, dan pegawai bank CIMB, Noorhisham Mohammad, 38.

Kejadian didakwa berlaku di Lot No. 2001, Jalan Tanjung Layang, Tanjung Sepat, Banting dekat sini antara pukul 8.30 malam dan 9.45 malam, 30 Ogos tahun lalu.

Keterangan dua saksi yang merupakan anggota polis sebelum ini mengesahkan kereta BMW dengan nombor pendaftaran AAJ 5 milik Ahmad Kamil ditemui di tempat letak kereta di Jalan SS12/1B, berhampiran Hotel Grand Dorsett, Subang Jaya pada 6 September tahun lalu.

Sementara kereta BMW X5 hitam dengan nombor pendaftaran WTL 11 yang dinaiki Sosilawati dan Kamaruddin pula ditemui di Flat Angsana, USJ 1, Subang Jaya pada hari yang sama.

Menurut Ahmad Safuan, panggilan dibuat sekali lagi kepada nombor 016-2123641 pada pukul 11.12 malam dengan pemanggil ketika itu berada di SS15, Subang Jaya.

Sementara pada pukul 11.19 malam pula, nombor tersebut membuat panggilan kepada nombor lain iaitu 019-2689282 ketika berada di SS17 Subang Jaya.

Kata saksi pendakwaan ke-46 itu juga, panggilan terakhir dibuat pada pukul 11.46 malam kepada nombor yang sama dari SS12, Subang Jaya.

‘‘Nombor 012-2051243 juga turut menerima panggilan daripada 019-2689282 pada pukul 10.26 malam, hari yang sama,’’ katanya lagi.

Menurut saksi, rekod panggilan menunjukkan nombor firma guaman tertuduh pertama itu juga membuat panggilan ke nombor 019-3124041 pada pukul 1.33 petang sebelum itu di Pekan Teluk Datok, Banting.

Jelasnya, satu khidmat pesanan ringkas (SMS) turut dihantar menggunakan nombor itu kepada nombor telefon bimbit yang didaftarkan atas nama Sosilawati pada pukul 7.53 malam melalui stesen pemancar Batu Laut 2, Banting.

Kata Ahmad Safuan, selain mencetak perincian pelanggan, rekod panggilan dan SMS bagi nombor milik firma guaman Pathmanabhan, dia juga melakukan perkara yang sama bagi tiga lagi nombor iaitu 012-2222541, 012-9775266 dan nombor yang didaftarkan atas nama anak jutawan kosmetik itu, Erni Dekritawati Yuliana Buhari.

Sementara itu, beberapa minit selepas prosiding hari ini bermula, mahkamah tiba-tiba dikejutkan oleh bunyi tembakan meriam sempena majlis keberangkatan pulang Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin dan Raja Permaisuri Agong Tuanku Nur Zahirah selepas mengadakan lawatan rasmi selama tiga hari di Selangor.

Tembakan meriam yang dilepaskan di Dataran Dewan Undangan Negeri Selangor, Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah yang terletak bersebelahan dengan kompleks mahkamah itu menyebabkan satu mentol lampu berhampiran tempat duduk Hakim Datuk Ahtar Tahir terjatuh.

Hakim Akhtar kemudian menangguhkan seketika prosiding bagi memberi laluan sehingga tembakan sebanyak 21 das itu selesai.

Perbicaraan yang masuk hari ke-33 hari ini bersambung Isnin ini.
TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:

Friday, September 23, 2011

kesan panggilan

Panggilan telefon tertuduh dikesan

Oleh NOOR AZMAH IBRAHIM
pengarang@utusan.com.my

SHAH ALAM 23 Sept. – Nombor telefon bimbit yang didaftarkan atas nama firma guaman milik N. Pathmanabhan dikesan membuat beberapa panggilan di sekitar kawasan Subang Jaya antara pukul 9.55 malam dan 11.46 malam pada hari Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga lagi didakwa dibunuh.

Pakar Teknologi di Bahagian Keselamatan, Maxis Mobile Sdn. Bhd., Ahmad Safuan Shaharani, 32, semasa memberi keterangan di Mahkamah Tinggi di sini berkata, panggilan daripada nombor 012-2051243 dibuat kepada dua nombor telefon bimbit lain serta peti simpanan suara.

Menurutnya, kesemua panggilan yang dibuat daripada nombor yang didaftarkan atas nama Pathma Nalli & Patners itu berjaya disambungkan berdasarkan bayaran yang dikenakan bagi setiap panggilan tersebut.

‘‘Pada pukul 9.55 malam, 30 Ogos 2010, nombor itu (dikesan) membuat panggilan kepada nombor 016-2123641 selama 12 saat dan pemanggil berada di Subang Jaya.

‘‘Pada pukul 10.30 malam hari yang sama, nombor tersebut membuat panggilan kepada nombor peti simpanan suara. Panggilan itu berjaya dan pemanggil berada di SS12, Subang Jaya,’’ jelas beliau semasa disoal oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nur Azimul Azami Mohamad Nor.

Pathmanabhan, 42, bersama tiga pekerja ladangnya, T. Thilaiyalagan, 20, R. Matan, 21, dan R. Kathavarayan, 31, didakwa membunuh Sosilawati, 47, pemandunya, Kamaruddin Shamsuddin, 47, peguam, Ahmad Kamil Abd. Karim, 32, dan pegawai bank CIMB, Noorhisham Mohammad, 38.

Kejadian didakwa berlaku di Lot No. 2001, Jalan Tanjung Layang, Tanjung Sepat, Banting dekat sini antara pukul 8.30 malam dan 9.45 malam, 30 Ogos tahun lalu.

Keterangan dua saksi yang merupakan anggota polis sebelum ini mengesahkan kereta BMW dengan nombor pendaftaran AAJ 5 milik Ahmad Kamil ditemui di tempat letak kereta di Jalan SS12/1B, berhampiran Hotel Grand Dorsett, Subang Jaya pada 6 September tahun lalu.

Sementara kereta BMW X5 hitam dengan nombor pendaftaran WTL 11 yang dinaiki Sosilawati dan Kamaruddin pula ditemui di Flat Angsana, USJ 1, Subang Jaya pada hari yang sama.

Menurut Ahmad Safuan, panggilan dibuat sekali lagi kepada nombor 016-2123641 pada pukul 11.12 malam dengan pemanggil ketika itu berada di SS15, Subang Jaya.

Sementara pada pukul 11.19 malam pula, nombor tersebut membuat panggilan kepada nombor lain iaitu 019-2689282 ketika berada di SS17 Subang Jaya.

Kata saksi pendakwaan ke-46 itu juga, panggilan terakhir dibuat pada pukul 11.46 malam kepada nombor yang sama dari SS12, Subang Jaya.

‘‘Nombor 012-2051243 juga turut menerima panggilan daripada 019-2689282 pada pukul 10.26 malam, hari yang sama,’’ katanya lagi.

Menurut saksi, rekod panggilan menunjukkan nombor firma guaman tertuduh pertama itu juga membuat panggilan ke nombor 019-3124041 pada pukul 1.33 petang sebelum itu di Pekan Teluk Datok, Banting.

Jelasnya, satu khidmat pesanan ringkas (SMS) turut dihantar menggunakan nombor itu kepada nombor telefon bimbit yang didaftarkan atas nama Sosilawati pada pukul 7.53 malam melalui stesen pemancar Batu Laut 2, Banting.

Kata Ahmad Safuan, selain mencetak perincian pelanggan, rekod panggilan dan SMS bagi nombor milik firma guaman Pathmanabhan, dia juga melakukan perkara yang sama bagi tiga lagi nombor iaitu 012-2222541, 012-9775266 dan nombor yang didaftarkan atas nama anak jutawan kosmetik itu, Erni Dekritawati Yuliana Buhari.

Sementara itu, beberapa minit selepas prosiding hari ini bermula, mahkamah tiba-tiba dikejutkan oleh bunyi tembakan meriam sempena majlis keberangkatan pulang Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin dan Raja Permaisuri Agong Tuanku Nur Zahirah selepas mengadakan lawatan rasmi selama tiga hari di Selangor.

Tembakan meriam yang dilepaskan di Dataran Dewan Undangan Negeri Selangor, Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah yang terletak bersebelahan dengan kompleks mahkamah itu menyebabkan satu mentol lampu berhampiran tempat duduk Hakim Datuk Ahtar Tahir terjatuh.

Hakim Akhtar kemudian menangguhkan seketika prosiding bagi memberi laluan sehingga tembakan sebanyak 21 das itu selesai.

Perbicaraan yang masuk hari ke-33 hari ini bersambung Isnin ini.
TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:

Thursday, September 22, 2011

panggilan misteri

Panggilan misteri malam kejadian

Oleh NOOR AZMAH IBRAHIM
pengarang@utusan.com.my

SHAH ALAM 22 Sept. - Seorang penolong eksekutif di Felda Palm Industry memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini bahawa beliau menerima panggilan 'misteri' daripada nombor telefon bimbit yang didaftarkan atas nama Noorhisham Mohammad pada pukul 10 malam, 30 Ogos tahun lalu.

Jeffrydin Hamdan, 40, biras kepada pegawai Bank CIMB yang turut dibunuh bersama-sama Datuk Sosilawati Lawiya pada malam itu berkata, bagaimanapun tiada sebarang suara didengar di hujung talian selain deruan angin seperti kereta yang sedang bergerak.

''Saya terima panggilan daripada Noorhisham. Saya cakap 'hello, hello Hisham', tetapi sebelah sana tiada jawapan. Saya dengar bunyi angin macam kereta sedang bergerak,'' katanya semasa disoal oleh Timbalan Pendakwa Raya, Saiful Edris Zainuddin.

Dalam kes ini, bekas peguam, N. Pathmanabhan, 42, bersama tiga pekerja ladangnya, T. Thilaiyalagan, 20, R. Matan, 21, dan R. Kathavarayan, 31, didakwa membunuh Sosilawati, 47, pemandunya, Kamaruddin Shamsuddin, 47, peguam, Ahmad Kamil Abd. Karim, 32, dan Noorhisham, 38.

Kejadian didakwa berlaku di Lot No. 2001, Jalan Tanjung Layang, Tanjung Sepat, Banting dekat sini antara pukul 8.30 malam hingga 9.45 malam, 30 Ogos tahun lalu.

Menurut Jeffrydin, beliau kemudiannya mematikan talian tersebut dan tidak cuba menelefon semula Noorhisham dengan anggapan lelaki itu akan menelefonnya semula jika ada perkara penting.

Bagaimanapun katanya, tiada lagi sebarang panggilan diterima daripada Noorhisham selepas itu dan dia mengetahui birasnya itu tiada di rumah kerana bekerja di luar kawasan pada keesokan hari.

''Pada 31 Ogos 2010, saya hendak jemput anak di rumahnya. Sepatutnya hari itu Noorhisham bawa anak saya berbuka di luar. Saya tanya mana Noorhisham. Isterinya, Suzana Radin Pangat beritahu dia kerja,'' jelasnya.

Sementara itu, pakar bahagian teknikal dalam bidang telekomunikasi dan teknologi Celcom, Haizal Hambali, 35, pula memberitahu, dia telah melakukan ujian panggilan dengan menggunakan dua nombor telefon bimbit di beberapa lokasi di Ladang Gadong pada Mac lalu.

Saksi pendakwaan ke-44 yang pernah membuat ujian sama bagi kes pembunuhan wanita Mongolia, Altantuya Shaariibuu berkata, ujian tersebut dilakukan bagi membuat simulasi panggilan dan kedudukan panggilan di ladang tersebut.

''Semasa di ladang itu, saya guna dua nombor iaitu 013-3150352 dan 013-3510353 dan panggilan sentiasa dihubungkan ke stesen pemancar Batu Laut, Banting dan tidak ada satu pun yang dihubungkan ke stesen pemancar luar kawasan Banting,'' jelas beliau.

Menurut Haizal, walaupun kedua-dua nombor tersebut tidak dapat mengeluarkan rekod transaksi telefon bimbit (CDR), nombor yang sama digunakan untuk menguji panggilan termasuk bagi menguji kualiti liputan Celcom.

Berhubung pemilihan stesen pemancar yang menghubungkan panggilan, kata saksi, ia bergantung kepada kualiti liputan yang diterima oleh telefon bimbit, antena dan kualiti telefon itu sendiri.

Menjawab soalan Hakim Datuk Akhtar Tahir tentang jarak panggilan, Haizal mengakui kebiasaannya stesen pemancar yang paling dekat akan memberi isyarat atau liputan yang terbaik.

Perbicaraan yang masuk hari ke-32 hari ini bersambung esok.

Thursday, September 15, 2011

komunikasi

Terdapat komunikasi tertuduh di Banting

Oleh NOOR AZMAH IBRAHIM
pengarang@utusan.com.my

SHAH ALAM 15 Sept. - Mahkamah Tinggi di sini hari ini diberitahu bahawa terdapat beberapa transaksi pada telefon bimbit yang didaftarkan atas nama dua tertuduh, R. Matan dan R. Kathavarayan di sekitar kawasan Banting pada 30 Ogos tahun lalu.

Pengurus Besar Bahagian Bil, Celcom Axiata Bhd., Abdul Latif Mohamad berkata, kedua-duanya berkomunikasi antara satu sama lain selepas pukul 8.30 malam pada hari jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga lagi dibunuh di Ladang Gadong pada tarikh tersebut.

"Transaksi telefon bimbit itu menunjukkan terdapat komunikasi antara kedua-duanya menggunakan stesen pemancar Batu Laut di Banting," katanya semasa ditanya oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nur Azimul Azami Mohamad Nor.

Dalam kes ini, bekas peguam, N. Pathmanabhan, 42, bersama tiga pekerja ladangnya, Thilaiyalagan, 20, Matan, 21, dan Kathavarayan, 31, didakwa membunuh Sosilawati, 47, pemandunya, Kamaruddin Shamsuddin, 47, peguam, Ahmad Kamil Abd. Karim, 32, dan pegawai bank CIMB, Noorhisham Mohammad, 38.

Kejadian didakwa berlaku di Lot No. 2001, Jalan Tanjung Layang, Tanjung Sepat, Banting dekat sini antara pukul 8.30 malam dan 9.45 malam, 30 Ogos tahun lalu

Semasa disoal balas oleh peguam Manjeet Singh Dhillon yang mewakili Pathmanabhan, Abdul Latif mengakui keterangannya itu semata-mata berdasarkan rekod transaksi yang tidak dicetak oleh beliau sendiri.

Saksi itu juga mengaku baru pertama kali melihat rekod transaksi bagi nombor yang didaftarkan atas nama Matan dan Kathavarayan dan diserahkan kepada pihak polis oleh Eksekutif Kanan Unit Perantara, Jabatan Siasatan dan Pencegahan Penipuan, Nor Azlina Ahmad.

Sementara itu, pakar bahagian teknikal dalam telekomunikasi dan teknologi Celcom, Haizal Hambali pula memberitahu transaksi telefon bimbit yang didaftarkan atas nama Sosilawati, Ahmad Kamil dan Noorhisham berlaku di sekitar Banting selepas pukul 5 petang, 30 Ogos 2010.

Katanya, ia berdasarkan lokasi stesen pemancar yang tertulis di dalam rekod terperinci transaksi tersebut seperti Kanchung Laut, TM Banting, Telok Panglima Garang dan lain-lain lagi.

"Berdasarkan rekod transaksi yang menggunakan stesen pemancar Johan Setia, diikuti Jenjarom dan Banting, pengguna telefon bimbit 019-2266222 (Ahmad Kamil) bergerak dari Lebuhraya Kesas ke Banting.

"Sementara rekod transaksi nombor 019-2295153 (Sosilawati) menunjukkan pergerakan berlaku dari Telok Panglima Garang ke Banting antara pukul 4 sehingga 6 petang, 30 Ogos 2010," jelas beliau.

Seorang lagi saksi, Haslin Mohamad Baharudin yang merupakan Pengurus Teknikal Celcom pula mengesahkan nombor telefon bimbit 019-2266222 didaftarkan atas nama beliau.

Bagaimanapun jelas beliau, nombor tersebut diberikan kepada Ahmad Kamil dan ia digunakan oleh peguam itu pada Ogos 2010.

"Saya serahkan nombor itu atas dasar kepercayaan kepada rakan saya. Masa itu dia masih belajar. Nombor tersebut tidak dikenakan bayaran perkhidmatan," jelasnya.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Akhtar Tahir yang masuk hari ke-31 bersambung pada Khamis dan Jumaat ini.
TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:

Tuesday, September 13, 2011

bahan bukti

MAHKAMAH
Keterangan penemuan bahan bukti diterima

SHAH ALAM 13 Sept. - Usaha pihak pembelaan untuk menyingkirkan keterangan seorang pegawai polis berhubung penemuan barang-barang kes membabitkan pembunuhan Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga lagi di beberapa lokasi selepas dipandu arah oleh dua tertuduh gagal apabila Mahkamah Tinggi di sini hari ini menerimanya sebagai bukti.

Hakim Datuk Akhtar Tahir memutuskan untuk menerima keterangan pegawai soal siasat dari Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Cif Inspektor N. Govindan sebagai bukti di mahkamah selepas berpuas hati bahawa tiada unsur penganiayaan dan penindasan terhadap T. Thilaiyalagan dan R. Kathavarayan yang mendorong mereka memberi maklumat-maklumat tersebut.

''Dalam hal ini, saya tidak nampak penganiayaan dan penindasan ke atas tertuduh-tertuduh yang membawa kepada penemuan (bahan-bahan bukti).

''Pencarian telah dilakukan jadi saya benarkan maklumat yang diberikan oleh Govindan diterima masuk sebagai keterangan di mahkamah,'' katanya.

Beliau berkata demikian ketika membuat keputusan untuk bicara dalam perbicaraan (TWT) bagi mengetahui keadaan minda serta kemungkinan berlaku penganiayaan dan penindasan terhadap Thilaiyalagan dan Kathavarayan sewaktu disoal siasat sehingga membawa kepada penemuan barang-barang kes.

Prosiding itu diadakan dengan 19 saksi dipanggil memberi keterangan selepas peguam Manjeet Singh Dhillon bersama barisan peguam bela memohon agar bicara dalam perbicaraan diadakan bagi mengenalpasti kemungkinan bukti diperolehi secara tidak adil oleh Govindan daripada tertuduh-tertuduh.

Govindan dalam keterangannya pada 26 Julai lalu memberitahu bahawa pelbagai barang kes termasuk enam keping zink yang dikatakan diguna sebagai alas untuk membakar mayat Sosilawati dan tiga lagi mangsa ditemui selepas diberi maklumat dan pandu arah Thilaiyalagan dan Kathavarayan.

Hakim Akhtar dalam penghakiman lisannya berkata, dakwaan pihak pembelaan bahawa tertuduh-tertuduh tidak diberi makanan yang mencukupi semasa dalam tahanan bukan satu isu walaupun beliau percaya mereka diberi makanan yang sewajarnya.

Beliau juga berpendapat tiada bukti kukuh untuk menyokong dakwaan berlakunya penderaan fizikal terhadap Thilaiyalagan dan Kathavarayan memandangkan foto-foto yang dikemukakan tidak menunjukkan sebarang kecederaan.

Lebih-lebih lagi aduan tentang kononnya mereka didera secara fizikal termasuk diacukan pistol oleh pegawai polis hanya dimaklumkan kepada Majistret dan doktor sebulan selepas kejadian.

Berhubung dakwaan tertuduh-tertuduh tidak mendapat rehat yang mencukupi, Hakim Akhtar membidas bahawa orang yang patut merungut di sini ialah anggota dan pegawai polis kerana mereka adalah pihak yang berkerja keras dalam kes ini.

''Bagi saya, peraturan bahawa tahanan perlu berada dalam sel lokap antara pukul 6 petang dan 6 pagi hanyalah panduan bukan undang-undang. Siasatan bukan kerja 9 pagi hingga 5 petang. Lazimnya, siasatan memerlukan tahanan dibawa keluar di luar waktu kerja bergantung kepada keadaan sesuatu kes.

''Seseorang yang benar-benar berkerja di sini ialah polis bukan tertuduh-tertuduh. Jika ada sesiapa yang patut merungut, mereka adalah polis, bukan tertuduh-tertuduh. Sudah tentu kamu tidak harapkan dapat mandi air panas dalam penjara,'' katanya lagi.

Semalam, Hakim Akhtar menolak permohonan barisan pembelaan yang diketuai oleh Manjeet agar pihak pendakwaan dikenakan tindakan menghina mahkamah kerana mendakwa saksi utama kes pembunuhan jutawan kosmetik itu, U. Suresh atas tuduhan memberi keterangan palsu dalam perbicaraan kes itu.

Keputusan itu dibuat atas alasan tindakan itu tidak menjurus kepada perbuatan menghina mahkamah selain pihak pendakwaan berhak mendakwa mana-mana individu pada bila-bila masa.

Dalam kes ini, bekas peguam, N. Pathmanabhan, 42, bersama tiga pekerja ladangnya, Thilaiyalagan, 20, R. Matan, 21, dan Kathavarayan, 31, didakwa membunuh Sosilawati, 47, pemandunya, Kamaruddin Shamsuddin, 47, peguam, Ahmad Kamil Abd. Karim, 32, dan pegawai bank CIMB, Noorhisham Mohammad, 38.

Kejadian didakwa berlaku di Lot No. 2001, Jalan Tanjung Layang, Tanjung Sepat, Banting dekat sini antara pukul 8.30 malam dan 9.45 malam, 30 Ogos tahun lalu.

Dalam prosiding hari ini, dua saksi daripada syarikat telekomunikasi, Celcom Aviata Bhd. memberitahu mahkamah bahawa mereka mencetak perincian panggilan untuk beberapa nombor telefon berkaitan kes ini atas permintaan pegawai penyiasat, Asisten Supritendan Ishak Yaakob.

Eksekutif Kanan Unit Perantara, Jabatan Siasatan dan Pencegahan Penipuan, Nor Azlina Ahmad, 30, berkata beliau mencetak perincian transaksi panggilan pelanggan bagi 10 nombor yang diminta.

Sementara Pengurus Besar Bahagian Bil, Abdul Latif Mohamad pula mencetak rekod terperinci termasuk ibu sawat yang menghubungkan panggilan serta panggilan yang masuk ke peti suara bagi nombor-nombor tersebut.

Perbicaraan yang masuk hari ke-31 bersambung Khamis ini.