Thursday, January 31, 2013

pegang pemandu

‘Saya tangkap pemandu saja’

Cetak
Shah Alam: R Kathavarayan mendakwa tidak mempunyai peranan selain hanya menangkap dan memegang pemandu jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya pada hari kejadian bunuh itu didakwa berlaku di Ladang Gadong pada 30 dan 31 Ogos 2010.

Ketika ditanya Hakim Datuk Akhtar Tahir selesai menjawab soalan peguam bela, apa peranannya pada tarikh itu, bekas pekerja ladang berkenaan berkata, dia hanya memegang pemandu Sosilawati.
“Peranan saya, saya tangkap pemandu itu. Kedua, saya berada di tempat kejadian. Saya tidak lakukan apa-apa. Tiada peranan lain tapi saya ada di ladang,” katanya.


Khatavarayan sebelum ini dituduh bersama peguam N Pathmanabhan, 44; dua pekerja ladang, T Thilaiyalagan, 21, dan R Matan, 22, membunuh Sosilawati, 47; pemandu, Kamaruddin Shamsuddin, 44; peguam, Ahmad Kamil Abd Karim, 32, dan pegawai bank, Noorhisham Mohamad, 38, di Lot No 2001, Jalan Tanjung Layang, Tanjung Sepat, Banting, antara jam 8.30 dan 9.45 malam, 30 Ogos 2010.

Terdahulu, Kathavarayan yang menyambung keterangannya semalam berkata, Pathmanabhan dan adiknya serta peguamnya sebelum ini, ada berbincang mengenai perempuan yang datang ke ladang itu pada 30 Ogos 2010 dan kemudian menyuruh menyatakan wanita yang datang itu kakaknya.

“Memang kebiasaan kakak saya datang ke ladang. Mereka suruh saya berkata begitu supaya boleh menang kes, jika tidak hakim akan percayakan keterangan Siti Hamidah,” katanya.

Kathavarayan juga memberitahu mahkamah, keterangannya adalah benar, justeru menjadi punca mengapa dia tidak bersetuju dengan cadangan peguam Manjeet Singh Dhillon bahawa dia boleh menukar keterangannya kerana dendam kesumat.
Katanya, dia juga sudah memberitahu perkara itu kepada polis tetapi polis tidak mengambil keterangannya.

Ketika ditanya mengapa dia tidak membuat laporan polis selepas kejadian walaupun beberapa kali lalu di depan balai polis, Kathavarayan berkata, dia pernah membuat laporan polis mengenai kejadian lain di ladang itu.

“Pada April 2010, saya pernah buat panggilan telefon kepada polis daripada telefon awam, membuat aduan ada mendengar bunyi bising di ladang.

“Tidak sampai 30 minit selepas saya buat panggilan telefon kepada polis, saya terima panggilan daripada Pathmanabhan yang suruh saya ke ladang untuk lihat apa berlaku kerana dia terima panggilan daripada polis yang menyatakan ada terima aduan.

“Saya tidak beritahu polis kerana selepas saya buat panggilan itu tidak ada tindakan dan kedua, Pathmanabhan ada rakan dalam kalangan polis. Jadi saya tidak buat laporan polis,” katanya.

No comments:

Post a Comment