Thursday, January 17, 2013

nampak kelibat

ARKIB : 16/01/2013

Sosilawati masih hidup?

SHAH ALAM 15 Jan. - Masih hidup?
Persoalan mengenai perkara itu timbul apabila salah seorang tertuduh dalam perbicaraan kes pembunuhan jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya mendakwa melihat wanita terbabit, sembilan hari selepas mangsa didakwa dibunuh.
R. Kathavarayan, 33, menyatakan, kelibat Sosilawati itu dilihat di sebuah restoran di Tanjung Sepat dekat sini pada 7 September 2010 ketika hendak menaiki kenderaan seperti jip dengan seorang lelaki yang tidak dikenali.
Bekas pekerja Ladang Gadong itu berkata demikian sewaktu pemeriksaan utama oleh peguamnya, Hasshahari Johari Mawi pada perbicaraan kes bunuh Sosilawati, 47; pegawai bank, Noorhisham Mohamad, 38; peguam, Ahmad Kamil Abdul Karim, 32; dan pemandu Sosilawati, Kamaruddin Shamsuddin, 44.
Tertuduh itu didakwa melakukan perbuatan itu bersama-sama Pathmanabhan, 44, dan dua lagi pekerja ladang, T. Thilaiyalagan, 22, dan R. Matan, 23, di Ladang Gadong di Lot 2001, Jalan Tanjong Layang, Tanjung Sepat di Banting antara pukul 8.30 malam dan 9.45 malam, 30 Ogos 2010.
Terdahulu, Kathavarayan memberitahu, dia ke restoran terbabit bersama-sama Pathmanabhan selepas majikannya memintanya untuk dihantar ke tempat tersebut.
Setibanya di restoran terbabit, dia diminta agar menunggu di dalam kereta sementara Pathmanabhan yang juga tertuduh pertama dalam kes bunuh itu turun untuk bertemu dengan beberapa rakannya di premis terbabit.
Selepas itu, tertuduh pertama yang turut dipanggil peguam Pathma dan beberapa rakannya dilihat meninggalkan restoran terbabit dan menuju ke kenderaan masing-masing.
''Semasa dalam perjalanan pulang ke ladang, di dalam kereta, saya ada tanya peguam Pathma siapa perempuan di restoran tersebut. Pathma kata itulah perempuan yang datang ke ladang tempoh hari.
''Saya telah tanya kepada peguam Pathma, dia (Sosilawati) nampak lain sebab rambut pendek. Peguam Pathma kata itu perempuan sama,'' katanya.
Kathavarayan yang juga dipanggil Ravi kemudian ditunjukkan gambar Sosilawati.
''Rambut tak sama dalam gambar, pendek. Tak pasti rambut diwarnakan atau tidak. Pakaian biasa,'' jelasnya.
Bekas pekerja Ladang Gadong itu turut menyatakan, terdapat seorang lelaki berkemeja lengan panjang bersama-sama Sosilawati namun dia tidak mengenalinya dan hari tersebut merupakan kali terakhir dia melihat wanita itu.
Beberapa hari selepas itu, Kathavarayan menyatakan, Pathmanabhan ada memanggilnya untuk ke rumah ibu majikannya itu.
Pada pertemuan terbabit, pemilik Ladang Gadong itu menyatakan dia akan ditangkap pada hari tersebut namun tidak ada apa yang perlu ditakutkan.
Majikannya itu turut memberitahunya, kalau ditangkap, akan ditahan reman tujuh hari dan paling lama 14 hari di samping memberitahu tertuduh bahawa dia (Pathmanabhan) akan uruskan segalanya.
Menjawab pertanyaan Hasshahari, dia tidak terkejut dengan apa yang diperkatakan oleh majikannya itu kerana beberapa hari sebelum itu perkara sama pernah dinyatakan.
Pathmanabhan turut memberitahunya, dirinya tidak boleh ditangkap kerana dia seorang bergelar datuk dan merupakan seorang peguam.
Berbalik kepada malam 30 Ogos 2010, Kathavarayan memberitahu, dia ada terdengar perbincangan antara majikannya dengan Sosilawati.
Tertuduh itu mendakwa mendengar Pathmanabhan mengarahkan Thilaiyalagan untuk 'bunuh driver (pemandu) dan kata Sosilawati yang suruh berbuat demikian'.
Keesokan harinya pula, Kathavarayan mendakwa pada waktu petang, dia ada terlihat Thilaiyalagan dan Matan sedang 'membakar orang-orang yang dibunuh di belakang ladang.'
Apabila ditanya apa yang dimaksudkan dengan orang-orang, tertuduh terbabit menjawab: ''Driver, peguam Melayu dan seorang lagi saya tak kenal. Tak ingat muka."
Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Akhtar Tahir bersambung esok.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Mahkamah/20130116/ma_02/Sosilawati-masih-hidup#ixzz2IGvMrwnd
© Utusan Melayu (M) Bhd

No comments:

Post a Comment