Friday, March 2, 2012

tanah 2 ratus juta

Tanah dijual beli Sosilawati dijangka cecah RM200j

1 Mac 2012

SHAH ALAM - Perbicaraan kes bunuh Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga individu lain di Mahkamah Tinggi di sini hari ini diberitahu bahawa syarikat milik jutawan kosmetik itu terlibat dalam urusan jual beli tanah di Pulau Pinang dengan sebuah syarikat.

Perkara itu disahkan oleh saksi ke-99 pendakwaan, pegawai penyiasat ASP Mohd Ishak Yaakob ketika peguam Manjeet Singh Dhillon merujuk beliau kepada beberapa dokumen yang dirampas dari pejabat guaman tertuduh pertama, N. Pathmanabhan.

Mohd Ishak berkata berdasarkan dokumen berkenaan, syarikat Southern Symphony Sdn Bhd yang dimiliki oleh Sosilawati telah menjual tanah yang terletak di Batu Feringghi itu kepada syarikat Ample Quality Sdn Bhd yang mana Adun Sementa,

Datuk Abdul Rahman Palil, merupakan seorang daripada ahli lembaga pengarahnya.

"Tahu atau tidak berapa dibayar Ample Quality untuk beli tanah berkenaan daripada Southern Symphony," soal Manjeet.

"RM2.9 juta telah dibayar sebagai deposit tetapi bakinya tidak dibayar lagi," jawab Mohd Ishak.

Pegawai penyiasat itu menyambung keterangan pada hari ke-69 perbicaraan kes Pathmanabhan yang merupakan bekas peguam serta tiga pekerja ladang T. Thilaiyalagan, R. Matan dan R. Khatavarayan yang didakwa membunuh Sosilawati, 47, pegawai bank Noorhisham Mohamad, 38, peguam Ahmad Kamil Abdul Karim, 32, dan pemandu Sosilawati Kamaruddin Shamsuddin, 44.

Pathmanabhan, 43, Thilaiyalagan, 21, Matan, 22, dan Kathavarayan, 32, didakwa melakukan perbuatan itu di Lot 2001, Jalan Tanjong Layang, Tanjung Sepat di Banting antara 8.30 malam dan 9.45 malam pada 30 Ogos 2010.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Ketika dirujuk kepada satu dokumen bertarikh 2 Ogos 2010 oleh Manjeet, saksi itu mengesahkan pengarah Ample Quality, Andy Lee Lai Heng menghadiri satu
mesyuarat mengenai cadangan untuk menjual tanah yang sama dengan harga RM200 juta.


"Jadi, nilai tanah berkenaan dijangka naik lebih daripada RM200 juta walaupun perjanjian (jual beli tanah) belum diselesaikan," soal Manjeet dan
saksi itu menjawab ya.

"Tetapi pada Ogos 2010 tanah itu masih dimiliki oleh Southern Symphony?" soal Manjeet dan Mohd Ishak menjawab ya.

"Kalau Southern Symphony tarik balik perjanjian apa jadi dengan projek itu," soal Manjeet.

"Projek akan terbengkalai," jawab saksi itu.

"Jadi harapan Ample Quality untuk memperolehi jutaan ringgit akan terhapus," soal Manjeet.

"Ya," jawab Mohd Ishak.

Saksi itu juga bersetuju dengan Manjeet bahawa Southern Symphony yang ditubuhkan pada 13 April 2007 merupakan 'Syarikat Tujuan Khas' (SPV) bagi urusan jual beli tanah di Pulau Pinang.

Ketika dicadangkan Manjeet bahawa Sosilawati dan Abdul Rahman telah menghadiri sebuah majlis berbuka puasa di Shah Alam pada 28 Ogos 2010, iaitu dua hari sebelum jutawan kosmetik itu dilaporkan hilang, Mohd Ishak berkata beliau tidak tahu samada ADUN Sementa itu ada menghadiri majlis berkenaan.

Bagaimanapun, beliau berkata berdasarkan maklumat daripada rakaman percakapan saksi, beliau mengetahui bahawa Sosilawati ada menghadiri majlis berbuka puasa anjuran Dewan Perniagaan Melayu Negeri Selangor itu.

Selain itu, pegawai penyiasat dari Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi itu berkata, analisa ke atas 65 sampel tanah yang diambil dari ladang yang dikatakan menjadi lokasi pembunuhan keempat-empat individu berkenaan tidak menemui sebarang kesan bahan pembakar iaitu bermaksud tiada bukti pembakaran ditemui
pada kesemua sampel tanah berkenaan.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Akhtar Tahir bersambung esok -Bernama

No comments:

Post a Comment