Muthuraja jumpa Pathmanabhan sebelum hilang
SHAH ALAM 2 Mac - Isteri kepada ahli perniagaan dari India, A. Muthuraja mengesahkan suaminya tidak pulang selepas datang ke Malaysia pada 18 Januari 2010 untuk berjumpa N. Pathmanabhan, bekas peguam yang didakwa membunuh Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga lagi.
S. Usharani, 26, yang memberi keterangan di Mahkamah Tinggi di sini hari ini berkata, beliau mendengar sendiri perbualan telefon antara Muthuraja dengan Pathmanabhan yang menyuruh suaminya datang selama dua hari pada pukul 11.30 pagi (waktu India), 16 Januari 2010.
''Muthuraja ada terima panggilan telefon daripada seorang yang bernama Pathmanabhan menyuruh dia datang ke Malaysia dan cakap boleh pulang dalam masa dua hari atas urusan perniagaan.
''Pathmanabhan yang telefon dan pembesar suara telefon dibuka. Jadi saya mendengar perbualan itu,'' katanya semasa disoal oleh Timbalan Pendakwa Raya, Saiful Edris Zainudin.
Usharani yang datang dari Chennai, India untuk memberi keterangan juga turut mengecam Pathmanabhan kerana dakwanya lelaki itu pernah pergi ke India dan melawatnya yang baru bersalin pada 2007.
Saksi pendakwaan ke-101 itu juga memberitahu mengenali adik Pathmanabhan, N. Surendran serta mengecam lelaki itu kerana dia pernah datang ke India pada November 2009.
Menurut saksi, kali terakhir dia melihat Muthuraja pada pukul 11.45 malam (waktu India), 17 Januari 2010 di lapangan terbang sebelum suaminya bertolak ke Malaysia dengan penerbangan pada pukul 2.15 pagi.
Katanya, Muthuraja menghubunginya pada pukul 10 malam keesokan hari semasa berada di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan memberitahu dia bersama Pathmanabhan dan menyuruhnya menjaga anak mereka dengan baik.
''Muthuraja tidak beritahu tinggal di mana. Selepas itu, dia tidak pernah hubungi saya. Saya cuba hubungi dia pada pukul 7 pagi, 19 Januari 2010 tetapi panggilan masuk ke peti simpanan suara,'' kata saksi.
Usharani mengakui dia hanya membuat laporan kehilangan Muthuraja pada September 2010 sebab Pathmanabhan dan Surendran tidak membenarkannya kerana suaminya konon ditahan polis atas kesalahan dadah.
''Saya hubungi Pathmanabhan dan bertanya di mana suami saya. Dia kata dia tidak tahu. Saya balas, awak orang suruh dia datang ke Kuala Lumpur, macam mana awak tidak tahu di mana dia berada. Pathmanabhan terus putuskan talian,'' katanya.
No comments:
Post a Comment